Misi PASRelief bersama delegasi T’ganu ke Cox’s Bazar

KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) meneruskan lagi misinya untuk sekalian kali ke Kem Pelarian Rohingya di Bulukhali, Cox’s Bazar, Bangladesh bermula hari ini hingga 17 November depan.
 
Diketuai Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor, kumpulan seramai 17 anggota itu kebanyakannya disertai petugas PASRelief Terengganu dipimpin Pengerusinya, Yahya Ali.
 
Menurut Yahya, misi kali ini berfokus untuk menyampaikan sumbangan membina rumah bagi kediaman dan telaga tiub bagi bekalan air bersih, serta surau bagi tujuan ibadah.
 
Katanya, misi itu juga mencerminkan bahawa PAS bukan semata-mata parti siyasah, tetapi juga penggerak agenda kemanusiaan dan kebajikan sejagat.
 
Kumpulan tersebut akan berlepas dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Dhaka jam 2:30 pagi ini, sebelum ke Cox’s Bazar dengan pesawat tempatan jam 9:30 pagi waktu tempatan Bangladesh, sebelum pulang ke Malaysia dan dijangka tiba di KLIA jam 1:30 pagi 18 November nanti
 
PASRelief meningkatkan kekerapan menghantar petugasnya ke kem-kem pelarian sekitar sempadan Bangladesh – Myanmar sejak tragedi pembantaian 25 Ogos lalu.
 
Sehingga kini agensi kemanusiaan antarabangsa menyatakan sekitar 600,000 umat Rohingya telah menjadi pelarian, selain dibunuh pelampau atau tentera Myanmar atau terbunuh semasa melarikan diri.
 
Orang ramai yang prihatin boleh membantu dengan menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 5640 7061 1352 atas nama Tabung Kemanusiaan Antarabangsa. – HARAKAHDAILY 13/11/2017
Advertisement