Direct Debit permudahkan ahli infak kepada parti

DIRECT Debit merupakan satu lagi produk di bawah Jabatan Bendahari PAS Pusat yang menyediakan kemudahan kepada ahli-ahli PAS untuk menyalurkan sumbangan atau menginfakkan sebahagian pendapatan kepada parti.

Advertisement

Berkolaborasi dengan bank-bank di negara ini, Direct Debit dibangunkan dengan sistem terkini seiring dengan pembangunan teknologi terkini merupakan projek kedua selepas produk Smart PAS

Menurut koordinator projek, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata menyedari hasil kutipan dana yang diwujudkan masih berada di takuk yang lama selain ahli PAS terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan dan kerenah untuk infak kepada parti maka Direct Debit dihasilkan untuk kemudahan ahli membuat infak secara berterusan.

“Sebelum ini kita melihat ramai orang yang nak beri infak kepada perjuangan Islam, tetapi kita tidak ada satu mekanisme yang ampuh untuk menampung pembelian itu. Kalau dulu kena pergi ke bank buat ‘standing instruction’ untuk potong setiap bulan kepada perjuangan Islam, tetapi berapa ramai orang yang nak pergi dan beratur di bank hanya kerana nak sumbang RM10 secara tetap kepada PAS.

“Kaedah tersebut ideanya bagus tetapi sebenarnya gagal. Sekarang ini dengan kerjasama bank, kita wujudkan sistem orang tidak perlu lagi beratur dan boleh dibuat secara ‘offline’ walau nak sumbang RM10 setiap bulan.

Mereka hanya perlu isi borang dan beritahu berapa nak infak kepada PAS, paling minimum RM10 dan tidak ada had dan kita akan turun ke negeri-negeri untuk war-warkan projek ini ke seluruh peringkat,” katanya selepas perasmian Direct Debit oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di KUIZM, semalam.

Tambah beliau, 40 peratus daripada sumbangan tersebut akan diberikan kepada kawasan, 20 peratus kepada pusat, 20 peratus kepada negeri dan 20 peratus lagi kepada pengurusan.

Projek ini tidak ditetapkan pada pilihan raya cuma atas mood pilihan raya sekarang ini kita mulakan dengan dana pilihan raya, tapi pilihan raya ini akan berterusan sebab kalau pilihan raya bulan lima bulan enam pun ada potongan lagi, jadi kita tidak mahu terikat dengan pilihan raya tetapi kita kata dana PAS pusat.

“Sudah tentulah kalau dikumpul sebelum pilihan raya kita akan gunakan keperluan itu sebahagiannya untuk pilihan raya pusat,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2017