Kerajaan Kedah diminta kaji semula konsesi air

ALOR SETAR: Kerajaan negeri sekali lagi diminta mengkaji semua perjanjian kontrak air bersama Air Utara Indah Sdn Bhd (AUI) dan Taliworks yang akan tamat pada tahun 2020 akan datang.
 
Dato’ Amiruddin Hamzah (Anak Bukit-PAS) bercakap semasa ucapan perbahasan Bajet Kedah 2018 mengharapkan kerajaan negeri membuat keputusan dengan mengambil kira kesengsaraan yang terpaksa ditanggung akibat kos terlalu tinggi dari perjanjian berkenaan.
 
Beliau turut menarik perhatian ahli sidang agar keputusan yang diambil kira-kira 15 tahun (2002) lalu, tatkala perjanjian berkenaan akan tamat pada 2005, tetapi disambung semula sehingga 2020.
 
“Ketika itu terdapat usul agar perjanjian berkenaan tidak disambung, namun tidak diterima.
 
“Hasil perjanjian itu membuatkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian yang besar dan akibatnya rakyat menerima padah,” kata beliau yang juga Ketua Pembangkang Dun Kedah.
 
Ekoran itu beliau bertanya sama ada Menteri Besar (Bakar Bata-BN) bersetuju dengan jaminan yang pernah dibuat oleh Menteri Besar terdahulu (Ayer Hitam-Bersatu) akan menamatkan perjanjian tersebut.
 
Sehubungan itu katanya, pengumuman air percuma untuk penggunaan 20 meter kuib ke bawah bagi pengguna domestik dalam Bajet 2018 itu hanyalah sekadar meminta pengguna berjimat. 
 
Bagi beliau, ia bukannya satu insentif dari kerajaan untuk membantu rakyat secara keseluruhan di mana secara realiti penggunaan itu sukar bagi keluarga besar. – HARAKAHDAILY 13/11/2017
 
 
Advertisement