Larang bertudung polisi ketinggalan, penindasan wanita

KESEJAHTERAAN dan keharmonian beragama di Malaysia sekali lagi digugat dengan polisi diskriminasi agama, kali ini melibatkan hotel antarabangsa. Pekerja yang bekerja di bahagian hadapan kaunter hotel tidak dibenarkan memakai tudung atas alasan ianya polisi hotel antarabangsa. Ameerah Malaysia mengkritik larangan ini dan menganggap ianya sebagai satu polisi ketinggalan zaman serta menindas hak wanita yang mahu mengamalkan agamanya. 
 
Amalan bertudung bukan lagi satu praktis yang janggal. Pemakaian hijab sudah diamalkan di seluruh dunia sama ada negara-negara majoriti muslim atau sebaliknya. Ia dipakai di pertandingan sukan antarabangsa,  dipakai oleh pemimpin-pemimpin utama negara serata dunia , bahkan oleh artis-artis popular di Malaysia sendiri mahupun luar negara. 
 
Pemakaian tudung  jelas tidak langsung membataskan gerak kerja mahupun menjadi halangan dalam apa jua aktiviti pekerjaan sebagaimana dibuktikan oleh wanita-wanita Malaysia yang berkerja di seantero negara. Oleh itu menjadikan pemakaian tudung sebagai satu larangan dalam polisi pekerjaan adalah tidak relevan dan munasabah. 
 
Bertudung sebagai salah satu cara berpakaian menutup aurat merupakan satu tuntutan dalam agama Islam. Ianya melibatkan pegangan agama  sebagaimana pemakaian turban dalam agama sikh serta bindi dan sidhur dalam agama hindu. Wanita berhak memilih untuk berpakaian mengikut etika agama, justeru ‘memaksa wanita menanggalkan hijab’ sebagai syarat untuk terus dapat bekerja adalah penindasan terhadap wanita. 
 
Kebebasan mengamalkan agama dijamin Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Apa-apa sahaja peraturan mahupun polisi yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan seharusnya terbatal. 
Malah, walaupun atas nama polisi antarabangsa, ia haruslah tertakluk pada penghormatan budaya dan norma setempat. 
 
Larangan bertudung di tempat kerja atas apa jua alasan tidak boleh diterima dan dilihat sebagai polisi terkebelakang di saat masyarakat dunia semakin ke hadapan dalam menghormati hak kebebasan beragama. Persatuan Hotel tidak seharusnya membela polisi terkebelakang dalam negara demokrasi ini.
 
Kerajaan digesa membuat pemantauan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas ke atas hotel-hotel yang masih lagi mengenakan polisi diskriminasi agama seperti ini. Kegagalan bertindak tegas di pihak Kerajaan hanya mencetuskan kebimbangan berterusan di kalangan rakyat bahawa hak kebebasan beragama mereka tidak terbela. 
 
HUSNA HASHIM
Pengarah Ameerah Malaysia – HARAKAHDAILY 13/11/2017
 
 
Advertisement