Kenapa Lubnan dan Hizbullah jadi sasaran?

TAHUN 2006 ialah titik permulaan episod terkini apa yang berlaku di rantau Asia Barat dan Afrika Utara sekarang ini. Setiausaha negara Amerika Syarikat masa itu, Condoleezza Rice dalam kenyataannya mencadang pembentukan sebuah “new Middle East,” menunjukkan yang Lubnan dan Hizbullah menjadi satu sasaran penting untuk dihapuskan supaya realiti politik baharu itu dapat dicapai.

Advertisement

Apa yang dimaksudkan untuk dicapai itu ialah sebuah Asia Barat yang dikuasai oleh Israel, tanpa ada pencabar dan penentang, lebih-lebih lagi yang bersenjata dan menjadi satu proksi Iran yang berkesan seperti Hizbullah di Lubnan.

Negara yang penting selain Lubnan ialah Syria, yang menjadi hab penentangan terhadap Israel telah terjejas teruk akibat perang saudara dan proksi sejak 2011. Syria menyokong dan melindungi Hizbullah dan kumpulan-kumpulan penentang lain, yang membentuk satu paksi bersama Iran di Syam dan Asia Barat.

Kerana faktor peranan Syria itu, hasil kebangkitan digelar “Arab spring,” Syria menjadi sasaran untuk dimusnahkan, diubah rejim pemerintahnya supaya dapat diletakkan sekutu Arab, Israel, dan Barat yang boleh memainkan peranan melindungi kepentingan kuasa-kuasa terbabit.

Tahun 2006 juga Hamas telah menang pilihan raya Palestin dan kemudian Fatah terkeluar dari Gaza selepas satu pertempuran ganas antara kedua-dua pihak. Tahun berikutnya, 2007, Hizbullah berperang dengan Israel di Lubnan, yang akibatnya mendorong satu usaha ke arah satu “pakatan Sunni-Israel” yang dicadang antaranya oleh bekas duta AS ke Israel, Martin Indyk.

Tahun 2007 menunjukkan tanda-tanda yang mendorong kepada kemuncak kebimbangan Israel dan sekutu terhadap pengaruh Iran, yang antaranya ditunjukkan oleh keupayaan ketenteraan Hizbullah dan populariti kumpulan ini di Lubnan hasil perang musim panas itu.

Perkembangan tahun 2007 itu juga membenarkan ketakutan terhadap apa yang disifatkan sebagai “bulan sabit Syiah,” iaitu kawasan berbentuk seakan bulan sabit dari Syam ke Iraq hingga ke kawasan di timur Semenanjung Arab, kawasan dikuasai Syiah dan Iran.

Sejak itu, usaha menangani pengaruh Iran yang dilihat meningkat itu digiatkan oleh negara-negara Arab diketuai Arab Saudi dan sekutu-sekutu penting seperti Emiriyah Arab Bersatu, yang termasuk melibatkan kerjasama dengan Israel.

Selepas perjanjian nuklear Iran dengan enam negara, Israel dan negara-negara Arab yang berpandangan sama semakin bimbang terhadap Iran, yang dilihat telah tidak dibelenggu oleh sekatan dan akan meningkatkan usaha meluaskan kuasa dan pengaruh di rantau Asia Barat.

Perkembangan sejak Donald Trump menjadi presiden Amerika Syarikat menampakkan pakatan negara-negara Arab dengan Israel ini semakin rapat dan lebih bersedia untuk berdepan Iran.

Trump yang bersikap keras terhadap Iran dan berhubungan baik dengan Israel dan negara-negara Arab berpengaruh kini kelihatan sebagai telah bersedia untuk konflik dengan Iran.

Hubungan baik Trump dan individu tertentu dalam pentadbirannya dengan Israel dan pemimpin-pemimpin Arab bermakna masa sekarang ini ialah yang paling memungkinkan usaha lebih keras dikenakan terhadap Iran.

Laporan penubuhan sebuah “Nato Arab” bersama Israel kelihatan disambut baik oleh Arab Saudi dan negara-negara sekutu, mengukuhkan lagi kerjasama yang telah dijalin secara senyap antara negara-negara tersebut.

Tumpuan dan retorik-retorik panas berhubung pengaruh Iran telah disuarakan dengan lantang sejak kebelakangan ini, sebagai perang propaganda membina dan memanipulasi sentimen anti-Syiah/Iran di dunia Arab dan seluruh dunia Islam.

Persoalan-persoalan yang timbul hasil perletakan jawatan Perdana Menteri Lubnan Saad al-Hariri yang dipercayai dipaksa oleh Riyadh, dan dengan alasan yang terang-terang bertujuan menghalakan tumpuan pada Hizbullah, sekaligus Iran, menunjukkan satu pelan sedang dijalankan terhadap Lubnan.

Selepas Syria dihancurkan akibat perang yang kini memasuki tahun ketujuh, Lubnan yang menjadi pangkalan Hizbullah ialah sasaran yang bertepatan dengan agenda melemahkan Iran melalui tindakan ke atas proksinya.

Tahun 2017 ini, Syria telah dilemahkan, begitu juga Hizbullah yang telah kehilangan ramai anggota akibat perang. Hab Iran di Syria telah terjejas teruk, dan kelihatan gabungan negara anti-Iran melihat Lubnan kini lebih mudah ditangani.

Masa sama, Hamas dan Fatah telah berdamai dalam satu perjanjian yang nampaknya tidak menyebelahi Hamas. Perang dan sekatan panjang telah melemahkan Hamas, dan ditambah dengan perubahan pendirian politik ekoran kebangkitan Arab yang akhirnya menyebabkannya kehilangan sokongan kuat Iran yang dinikmati sebelum ini.

Presiden Mesir, Abdel Fatah al-Sisi mengatakan perjanjian Hamas-Fatah (yang disokong kuat Mesir, Saudi, dan Emiriyah Arab Bersatu) ialah permulaan untuk usaha ke arah perdamaian Palestin-Israel, memudahkan negara-negara Arab lain meneruskan normalisasi dengan Israel.

Terbaru, Riyadh telah memanggil satu pertemuan Liga Arab untuk membincangkan isu Lubnan. Saudi kini berada dalam posisi yang kuat, mendominasi Liga Arab, dan dijangka pertemuan nanti akan menggerakkan lagi agendanya untuk menyekat dan melemahkan kuasa Iran.

Ancaman kuat terhadap Israel kini ialah Hizbullah yang disokong kuat Iran, selepas Hamas dilemahkan akibat daripada peristiwa sepanjang “Arab spring.” Hizbullah di Lubnan kini menjadi satu penghalang terakhir dalam usaha untuk melemahkan Iran. – HARAKAHDAILY 15/11/2017