Sahabat almarhum TGNA pelarian di Bangladesh

KUALA LUMPUR: Ulama Hadis, Maulana Safiuddin berasal dari Arakan, Myanmar merupakan antara pelarian yang sempat ditemui Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman di Bangladesh.
 
Pertemuan secara kebetulan itu berlangsung semasa beliau bersama delegasinya ke negara tersebut menyampaikan sumbangan bantuan untuk pelarian Rohingya di tinggal di Kem Thankali, Cox’s Bazar pada minggu lalu.
 
Menurut beliau, ulama berketurunan Rohingya itu pernah belajar bersama mantan Mursyidul Am PAS, Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di Lakhnouw, India.
 
“Beliau memaklumkan bahawa Tuan Guru Nik Aziz adalah pelajar yang hebat dan pintar semasa belajar dengannya dahulu. Malah, beliau tahu bahawa Tuan Guru adalah pemimpin politik dan gerakan Islam yang masyhur di Malaysia.
 
“Kini beliau menghadapi kesulitan dalam perjuangan hidupnya kerana terpaksa lari dari bumi Arakan dengan meninggalkan madrasahnya. Mereka berdepan operasi pihak tentera dan ektremis Myanmar yang membunuh orang-orang Rohingya sejak Ogos lalu.
 
“Beliau juga mendoakan supaya dirinya dan penduduk Rohingya yang berlindung di Bangladesh pada waktu ini dapat kembali ke kampung halamannya meneruskan saki baki hidup di sana,” ujar beliau.
 
Turut bersama beliau ketika pertemuan tersebut ialah Timbalan Presiden MAPIM, Ustaz Zulkifli Ibrahim. – HARAKAHDAILY 15/11/2017
 
Advertisement