Adun BN tidak profesional dan demokratik

ALOR SETAR: Kenyataan terbuka oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah yang menyebut bahawa rakyat perlu memilih BN andai ingin peruntukan disalur ke setiap Parlimen dilihat menyimpang dari demokrasi yang menjadi amalan di Malaysia.
 
Ustaz Ahmad Yahaya (Alor Mengkudu-PAS) melahirkan rasa kesal dengan kenyataan terbuka Dato’ Mohd Tajuddin Abdullah (Belantik-BN) yang tidak profesional semasa ucapan penggulungan pada Sidang Dun Bajet Kedah, di sini, kelmarin. 
 
Jelasnya lagi, penafian hak rakyat sedemikian menunjukkan sikap Adun berkenaan yang mengamalkan diskriminasi dan bukannya demokrasi sebagaimana sering dicanang dibibir mulut pemimpin parti terbabit. 
 
“Perkara sebeginilah yang terjadi terhadap negeri Kelantan dan Terengganu (sewaktu ditadbir PAS), di mana peruntukan royalti minyak dinafikan untuk kedua-dua negeri tersebut.
 
“Sedangkan Al-Marhum Tunku Sultan Kedah merupakan seorang sultan yang amat menghormati demokrasi dan hak-hak rakyat,” ujar beliau kepada pemberita. 
 
Sehubungan itu katanya, peruntukan setiap Parlimen sebanyak RM35,000,000 sepanjang tempoh lima tahun (sepenggal) yang tidak diterima oleh Ahli Parlimen Pembangkang 
dilihat satu tindakan tidak adil.
 
Malah bidasnya, ia membuktikan Kerajaan Kedah yang diterajui Umno-BN ternyata tidak menghormati pilihan rakyat.
 
Lebih mengecewakan lagi apabila Adun Belantik itu menyarankan agar Ahli Parlimen Pembangkang membuat permohonan andai inginkan peruntukan berkenaan.
 
“Saranan itu menunjukkan sikap yang tidak profesional sedangkan semua rakyat tidak mengira parti membayar cukai dan lain-lainnya,” tempelak beliau lagi. – HARAKAHDAILY 16/11/2017
Advertisement