Bajet Kedah 2018 tidak selesai masalah rakyat

DrAhmadFakh
ALOR SETAR: Bajet Kedah 2018 merupakan ‘Bajet Pilihan Raya’, bahkan rakyat masih tertunggu-tunggu lagi hadiah yang akan diberikan kepada mereka menjelang PRU nanti, demikian pandangan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.
 
Menganggap ia tidak ubah hanya sekadar menarik sokongan rakyat untuk PRU akan datang, beliau berpandangan pada masa yang sama bajet itu mengenepikan keutamaan serta perkara yang mendatangkan kerugian kepada rakyat.
 
“Sebagai contoh, pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat adalah baik, namun apakah pemberian berkenaan dapat menyelesaikan masalah air yang dihadapi oleh rakyat?” soal beliau.
 
Tegasnya lagi, kerajaan seharusnya meningkatkan usaha untuk mengurangkan ‘Air Tidak Berhasil’ (NRW) yang mencecah 46.7 peratus daripada sumber air bersih.
 
Selain itu kata beliau, rakyat perlu mengetahui status permohonan sejumlah RM50 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk penambahbaikan infrastruktur penggantian paip asbestos berumur tidak kurang daripada 30 tahun seperti yang dinyatakan oleh exco tahun lalu.
 
“Pemberian air percuma seolah-olah mahu menutup pelbagai kelemahan dalam pengurusan air yang akibatnya terpaksa ditanggung oleh rakyat. PAS Kedah mengambil sikap menyokong perkara-perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat, namun secara total menolak tindakan yang bakal menyusahkan mereka,” bidas Dr Ahmad lagi.
 
Beliau mempersoalkan rasional keputusan kerajaan berkenaan projek bekalan air luar bandar menerusi peruntukan pinjaman yang menelan belanja hampir RM1 billion untuk menaik taraf beberapa logi air.
 
Walhal menurut beliau, Kerajaan Persekutuan boleh memperuntukan sejumlah geran kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi menaik taraf prasarana pempaipan dan agihan air bersih.
 
Pertikainya, itu akan membebankan rakyat untuk membayar semula hutang terhadap Kerajaan Persekutuan sedangkan Kerajaan Negeri berpeluang memperolehinya secara peruntukan geran.
 
Selain itu ujarnya lagi, kerajaan juga dilihat lebih berminat untuk berbelanja besar dengan kadar defisit tinggi apabila menganggarkan sebanyak RM 75.72 juta pada tahun 2018.
 
Sebaiknya seru beliau, kerajaan berusaha meminimumkan jangkaan kadar hutang kepada Kerajaan Persekutuan dengan pelan-pelan strategik menerusi peningkatan hasil negeri serta hemah berbelanja dalam menghadapi ketidakstabilan ekonomi global.
 
“Saya berharap pemimpin kerajaan khususnya dari kalangan pemimpin Umno-BN mengambil iktibar dari kisah Nabi Yusuf A.S. Bagaimana kisah Nabi Yusuf  mencadangkan rancangan tujuh tahun kepada Raja Mesir yang akhirnya dapat menyelamatkan seluruh rakyat negara itu daripada musibah kemarau serta krisis kebuluran.
 
“Oleh itu, tidak menjadi kesalahan andainya pihak kerajaan juga menerima pakai cadangan dari pihak pembangkang andainya ia membawa kesejahteraan kepada rakyat,” cadang beliau. – HARAKAHDAILY 16/11/2017
Advertisement