Faraid: Faktor pengaruhi masalah urus kewangan, harta Muslim

Pendahuluan

Advertisement

Pelaksanaan wasiat si arwah dan pengagihan harta pusaka merupakan perkara penting dalam masyarakat Muslim. Setiap harta yang tertentu boleh membawa kepada isu permasalahan besar dalam pengurusan kewangan dan harta Islam. Hal ini merujuk kepada kes faraid yang sering terjadi dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu penangguhan dan kegagalan pengagihan harta pusaka si arwah, diskriminasi antara ahli keluarga, pengabaian wasiat si arwah, pertikaian antara pewaris dan ketiadaan dokumen mahupun bukti bagi proses pengagihan harta pusaka si arwah.

Dalam kes sebenar yang berlaku, isu utama bermula apabila sebuah keluarga besar berebut untuk memperoleh pemilikan harta pusaka si arwah. Bagaimanapun, antara ahli keluarga tersebut, kebanyakan mereka tidak langsung mengetahui sejauh mana perhubungan keluarga sesama mereka dan langkah prosedur pengagihan harta pusaka yang berlaku. Bagaimanapun, pengagihan harta pusaka tetap berjalan dan menimbulkan lebih banyak isu berkait dengan isu utama iaitu terdapat sekatan dalam proses berpunca daripada isu kekeliruan salasilah keluarga. Akhirnya, proses pengagihan harta pusaka tersebut ditangguhkan dan diabaikan tidak terurus. Beberapa faktor umum ditemui mempengaruhi isu permasalahan yang berlaku dalam pengagihan kewangan dan harta Muslim.

Faktor yang menjejaskan pengagihan kewangan Muslim

1. Cetek pengetahuan dan kesedaran tentang pengagihan harta pusaka Islam

Berdasarkan hukum Islam, Muslim perlu mematuhi sistem faraid mengikut kadar yang telah ditentukan bagi setiap pewaris dalam pengagihan harta pusaka Islam berpandukan sumber Al-Quran dan As-Sunnah setelah diselesaikan segala urusan pengebumian, hutang si arwah, pelaksanaan wasiat dan harta sepencarian. Pengagihan harta pusaka si arwah juga perlu merujuk kepada status pewaris dan hubungannya dengan si arwah (Harun). Pengetahuan am dalam pengagihan harta pusaka ini perlu difahami oleh masyarakat Muslim sebelum menguruskan kewangan yang ditinggalkan si arwah seperti yang telah dijelaskan dalam Al-Quran Surah al-Nisa, ayat 7, 11, 12 dan 176.

2. Maklumat kewangan si arwah kurang jelas semasa hidupnya

Dalam kes faraid masyarakat Muslim, keadaan ini sering terjadi khususnya apabila si arwah membeli polisi insurans atau saham semasa hidupnya. Keadaan ini boleh membawa kepada permasalahan besar dalam proses tuntutan insurans seperti maklumat penama kurang jelas jika si arwah tidak memaklumkan ahli keluarganya mengenai insurans yang dibeli ketika hidupnya. Selain itu, hal ini boleh membawa kepada ketidakadilan dan pengagihan harta pusaka mungkin tidak dapat diakses oleh pewaris sebenar.

Oleh hal sedemikian, si arwah memainkan peranan penting semasa hidupnya untuk memastikan ahli keluarga yang dipercayainya maklum secara jelas mengenai maklumat harta peninggalannya. Dalam hal ini, ahli keluarga juga bertanggungjawab untuk mengingatkan si arwah semasa hidupnya supaya memaklumkan atau melantik orang yang dipercayainya untuk mengurus harta peninggalannya.

3. Hubungan dingin antara ahli keluarga

Dalam sesebuah institusi keluarga, hubungan yang retak dalam kalangan ahli keluarga selalu terjadi sama ada atas kerelaan dan pilihan sendiri atau sebaliknya. Sebagai contoh, ahli keluarga tidak cakna berita sesama ahli keluarga. Hal ini boleh membawa kepada kejanggalan apabila ahli keluarga bertemu pada masa akan datang bagi menyelesaikan isu kewangan si arwah. Keadaan ini juga melibatkan isu permasalahan isteri cerai mati atau hidup terutamanya bagi suami atau si arwah yang berkahwin melebihi seorang. Proses pengagihan harta pusaka si arwah boleh menjadi sukar diurus disebabkan maklumat yang tidak diketahui seperti tempat tinggal terkini pewaris atau cara menghubungi mereka. Maka, dalam konteks hubungan kekeluargaan ini, ibubapa sepatutnya menjadi contoh teladan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli keluarga supaya anak-anak akan mudah terikut untuk bersama-sama cakna dan memperkukuhkan lagi institusi keluarga.

4. Peranan orang awam dalam kes kematian berkumpulan

Kebiasaannya, kemalangan besar seperti kemalangan di jalan raya yang melibatkan keseluruhan ahli keluarga sering kali terjadi sama ada di kawasan awam atau berbahaya. Apabila kemalangan berlaku, bukan sahaja pihak bertanggungjawab bahkan orang awam yang berada berdekatan kawasan kemalangan juga memainkan peranan penting dalam mengenal pasti mangsa dalam kalangan ahli keluarga yang masih hidup walaupun tidak sampai satu jam bertahan.

Hal ini kerana situasi tersebut boleh memberi kesan kepada pengagihan harta pusaka dalam sistem faraid di mana situasi tersebut diambil kira untuk mengetahui pewaris yang berhak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan si arwah. Sebagai contoh, sekiranya mangsa kemalangan terdiri daripada datuk, bapa dan seorang anak, datuk telah meninggal terlebih dahulu sebelum bapa, pewaris bagi harta pusaka peninggalan datuk tersebut akan meningkat jika wujud pewaris di bawah susur galur salasilah keluarga sebelah bapa. Kes sedemikian juga boleh membawa kepada penyalahgunaan harta anak yatim dalam pengagihan harta pusaka si arwah jika penentuan masa kematian bagi mangsa kemalangan tidak dapat dikenal pasti (Hassan).

Sesungguhnya, faktor-faktor yang telah disebutkan di atas jelas memberi kesan besar dalam pengurusan kewangan dan harta Muslim. Oleh itu, Islam sering mengajar umatnya terutama bagi setiap individu, orang awam, masyarakat Muslim dan pihak bertanggungjawab supaya bersama-sama menangani isu permasalahan yang berlaku dengan menyelesaikan proses pengagihan harta pusaka si arwah secepat yang mungkin. Hal ini perlu dilakukan bersama demi pengurusan kewangan dan harta yang lebih baik untuk generasi masa hadapan (Hasliza binti Talib).

Penulis ialah mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia.

RUJUKAN:

Harun, T. H. (n.d.). Isu-isu Pembahagian Harta Pusaka Orang Islam dalam Konteks Perundangan Malaysia. 6-10.

Hasliza binti Talib, N. b. (n.d.). Isu-isu Tuntutan Harta Pusaka: Satu Sorotan Literatur. 8-9.

Hassan, S. N. (n.d.). Isu-isu dan Permasalahan dalam Pembahagian Pusaka Orang Islam di Malaysia. Seksyen Pembahagian Pusaka Kecil Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan).