Banteras kegiatan haram disebalik Pusat Hiburan Keluarga

ALOR SETAR: Kegiatan judi yang beroperasi dan berselindung disebalik Pusat Hiburan Keluarga didapati semakin berleluasa dan aktif terutama di bandar dan pekan-pekan besar di seluruh Kedah. 
 
Ustaz Ahmad Yahaya (Alor Mengkudu-PAS), memohon agar kerajaan negeri mengambil perhatian serius berkenaan perkara tersebut memandangkan ia membawa kesan negatif terhadap masyarakat terutama dari kalangan remaja.
 
Tegasnya lagi, Kedah seharusnya mencontohi Melaka yang telah mengambil tindakan tidak akan mengeluarkan sebarang lesen baharu kepada premis Pusat Hiburan Keluarga bermula 1 Februari 2018 untuk mengekang kegiatan judi yang beroperasi disebaliknya.
 
Begitu juga di Johor, di mana pihak polis tidak memberi sokongan pembaharuan lesen berkenaan memandangkan kebanyakan pengusaha melanggar syarat yang dikenakan. 
 
Beliau juga mengambil perhatian sidang dewan bahawa di Kota Setar sahaja terdapat 111 buah premis Pusat Hiburan Keluarga yang aktif dan tidak terkecuali menjalankan operasi haram perjudian disebalik lesen premis berkenaan.
 
“Tidak timbul sama ada kita menafikan hak orang bukan Islam untuk berjudi, sedangkan hal yang sama pernah disebut oleh Adun Bakar Arang mewakili masyarakat Cina dan Adun Bukit Selambau mewakili masyarakat India.
 
“Yang penting sekarang ini kegiatan seumpama itu perlu dibenteras dengan memberhenti mengeluar atau pembaharui lesen Pusat Hiburan Keluarga yang menjadi tempat operasi mereka berselindung,” tambah beliau.
 
Sambungnya lagi, judi ini berlaku dua keharaman di mana perbuatannya haram dan kegiatannya juga haram, bermakna andainya kerajaan masih ragu-ragu untuk bertindak, ini menunjukkan seolah-olah kerajaan dikuasai oleh pihak lain sama ada ‘dragon’ atau tauke-tauke judi.
 
Tegasnya juga, tiada alasan untuk mempertahankan premis berkenaan kerana tiada hujah bagi mana-mana pihak untuk kegiatan judi tersebut diteruskan.  
 
Sementara itu, Mohd Nasir Mustaffa (Kubang Rotan-PAS) bangun menyokong saranan Adun Alor Mengkudu itu memandangkan premis Hiburan Keluarga didapati tidak mematuhi syarat yang dikenakan.
 
Antaranya hujah beliau, tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun masuk ke premis itu, namun tinjauan di buat, syarat berkenaan tidak dipatuhi, selain kebanyakan premis terbabit menggunakan cermin gelap walaupun ia tidak dibenarkan. 
 
Menurutnya, sungguhpun pihak polis melakukan serbuan, tetapi bukti pengubahsuaian alatan di premis berkenaan tidak dapat dikesan dan ini menunjukkan kegiatan judi tersebut beroperasi secara terancang.
 
Cadangan Alor Mengkudu itu juga mendapat reaksi terbaik dari Nor Saidi Nanyan (Kuah-BN) yang memberi pandangan sama dan memohon agar kerajaan mengambil tindakan menyeluruh menangangani masalah tersebut dan bukannya bertindak mengikut musim.
 
“Kita tidak mahu ketika penguat kuasa masuk membuat pemeriksaan, semua ok tapi bila mereka keluar, jadi tidak ok,” kata Adun Kuah itu lagi. – HARAKAHDAILY 17/11/2017
Advertisement