Madrasah Darul Taqwa terbaik UPSRI 2017

KUALA NERUS: Sekolah Rendah Islam (Madrasah) Darul Taqwa Batu Enam, di sini telah dinobatkan sebagai sekolah terbaik dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI) 2017 sebagaimana diumumkan semalam.

Advertisement

Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu, Ustaz Ismail Osman berkata, ia merupakan kejayaan dua tahun berturut-turut sekolah itu, selain pelajarnya juga mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan tersebut.

Pelajar sekolah itu, Ahmad Amir Muzakkir Sazali diisytihar sebagai pelajar terbaik setelah memperoleh keputusan cemerlang 13A dalam semua mata pelajaran.

“Jumlah calon yang menduduki peperiksaan UPSRI pada tahun 2017 seramai 489 orang berbanding tahun lepas 478 orang. Kejayaan ini merupakan kejayaan berturut-turut dua tahun dengan gred purata 2.36,” maklum beliau.

“Pada tahun ini kita mendapat 12 pelajar dengan peratusan 2.84 peratus, berbanding dengan tahun lepas 11 orang dengan peratusannya 2.3 peratus dan ada peningkatan 0.1 peratus.

“Seramai 144 orang yang menduduki peperiksaan dengan peratusan 29.6 peratus dan kesemua lulus yang mendapat A, B dan C. Berbanding pada tahun lepas seramai 200 pelajar tetapi hanya 42.3 peratus,” ujarnya.

Tambah beliau, peratusan gagal yang mendapat D dan E pada tahun ini 7.2 peratus berbanding tahun lepas hanya 4.7 peratus, manakala gred purata tahun 2017 adalah 2.58, sedangkan pada tahun lepas ialah 2.48.

“Peratusan A mengikut mata pelajaran tahun ini sebagaimana kita lihat dalam lapan mata pelajaran meningkat dan empat mata pelajaran terbaik adalah Al-Quran 50.9 peratus jika dibandingkan pada tahun lepas 48.6 peratus, ada kenaikan 2.3 peratus,” kata beliau.

Selain itu maklum beliau, empat mata pelajaran yang menurun  dan yang paling rendah atau lemah ialah Bahasa Inggeris penulisan iaitu 9.2 peratus di mana mata pelajaran tersebut terangnya, mengikut format baru. – HARAKAHDAILY 17/11/2017