PAS wakili Malaysia ke Persidangan Islam di Istanbul

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menyertai Persidangan Kerjasama Kebudayaan Belia Islam Antarabangsa Kali Ke-12 di Istanbul, Turki pada 13 dan 14 November lalu.
 
Seterusnya mewakili PAS pada Kongres Kesatuan Pertubuhan-pertubuhan Islam Antarabangsa Kali Ke-26 yang berlangsung bermula 14 November dan berakhir kelmarin.
 
Delegasi Malaysia itu dipimpin Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan turut disertai dua Exconya, Dr Mohammad Ibrahim dan Ustaz Hazmi Dibok.
 
Dalam persidangan belia bertema “Sejarah dan Masa Depan Bersama” itu, Ustaz Khalil menyampaikan pembentangan bersama Presiden Persatuan Pelajar Islam Pakistan, Syed Sohaib Uddin dan Pengerusi Inisiatif Graduan Model untuk Lembaga Pendidikan dan Latihan – Ethiopthia, Binmalek Mahamed.
 
Turut sama pada pembentangan dipengerusikan oleh Ketua Pemuda Parti Saadet, Salih Akyuz itu ialah Presiden Persekutuan Persatuan Pelajar Islam United Kingdom, Mohamed Fadil dan Presiden Persatuan Belia Anatolia Turki, Salih Turhan.
 
Lebih 200 peserta dari 60 negara menyertai persidangan dirasmikan oleh Presiden Parti Saadet Turki, Tamel Karamollaoğlu tersebut melibatkan juga pelbagai bengkel dan perbincangan berkait dengan peranan belia Islam.
 
Sementara pada kongres bertema “Krisis Global, Dunia Islam dan Barat” yang dianjurkan Pusat Kajian Ekonomi dan Sosial (ESAM) itu menyaksikan ucaptama disampaikan Presiden General ESAM, M Recai Kutan.
 
Manakala ucapan wakil-wakil pertubuhan Islam menampilkan pelbagai organisasi antaranya Presiden Gerakan Islam Sudan, El Zubeir Ahmed El Hasan dan Presiden MILF Filipina, Dr Murat Ibrahim.
 
Juga pimpinan Jemaat Islami Pakistan, Abdul Gaffar Aziz serta wakil dari Muritanya, Muhammed Cemil Mansur dan Lubnan Seyh Zuheyr Cad melibatkan enam sesi pembentangan.
 
Pada persidangan dihadiri lebih 400 peserta dari 85 negara itu, Malaysia diwakili Ustaz Khalil yang membentangkan tajuk “Islamic World in Equation of Problem and Opportunities”.
 
Manakala Presiden International Foundation of Research and Development, Hussein Ismail juga dari Malaysia membentangkan topik “Disaster in Islamic World: Ethnical and Secterian Conflicts”. – HARAKAHDAILY 17/11/2017
Advertisement