Safety Insider: Melindungi pengguna untuk dapat maklumat

DEMI perlindungan pengguna melalui maklumat, Persatuan Pengguna-Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan (SCA), mewujudkan Safety Insider.

Advertisement

Safety Insider yang mendapat kerjasama daripada Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Consumers International, merupakan sebuah platform maklumat keselamatan pengguna khusus untuk rakyat Malaysia.

Pengurus projeknya, Sharvin A. Subramaniam berkata, Safety Insider diwujudkan untuk memenuhi keperluan dan jurang maklumat bagi pengguna Malaysia terhadap sebuah platform yang komprehensif untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan keselamatan produk dan perkhidmatan.

“Inisiatif ini satu platform sehenti bagi semua maklumat keselamatan yang perlu bagi pengguna, yang membolehkan mereka berbincang, menyatakan persoalan dan sebagainya,” katanya kepaaa Harakah, 14 November lalu.

Katanya, Safety Insider yang baru dilancarkan itu menyediakan berita dan koleksi maklumat dari seluruh dunia, termasuk beberapa produk yang ditarik balik yang disahkan di pasaran Malaysia.

Safety Insider katanya, komited untuk menerbitkan laporan berkala yang menyediakan berita dan maklumat yang berkaitan dengan pengguna dan keselamatan.

Katanya, Safety Insider keluaran Oktober 2017 memberi tumpuan kepada tema kenderaan dan keselamatan, yang mengandungi topik seperti memilih kerusi kereta kanak-kanak yang betul dan penarafan bintang Asean NCAP.

Pasukan Safety Insider yakin maklumat-maklumat tersebut dapat membnatu pengguna Malaysia untuk membuat keputusan yang lebih bermaklumat apabila membeli sesuatu produk atau perkhidmatan.

“Platform Safety Insider dapat diakses di www.safetyinsider.info dan dihubungkan ke media sosial seperti, facebook.com/safetyinsider/ dan di Twitter: https://twitter.com/safety_insider,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/11/2017