Assabiqun lengkapkan pakej PAS

GOMBAK: Penubuhan Assabiqun PAS Pusat melengkapkan pakej kepelbagaian PAS yang menunjukkan parti itu diwakili serta didokong segenap lapisan masyarakat.
 
Antara golongan menyertai Assabiqun adalah ahli PAS berusia 55 tahun ke atas dengan mengisi borang Keahlian Assabiqun yang boleh diperolehi dari Setiausaha PAS Negeri dan Kawasan.
 
Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hasan berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran Assabiqun PAS sempena Konvensyen Sekretariat PAS Kebangsaan Kali Ke-3 di Dewan Dato’ Fadhil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini hari ini.
 
Katanya, PAS mempunyai pelbagai sayap di mana masing-masing berperanan membawa mesej Islam dengan pendekatan yang seiring tuntutan parti bagi memastikan PAS menjadi pilihan rakyat.
 
“Kita mempunyai sokongan bukan Islam yang diselia dibawah Dewan Himpunan Penyokong PAS, bahkan baru-baru ini ada dalam kalangan mereka telah menyempurnakan pengajian di Institut Latihan Kepimpinan dan Pengkaderan Dakwah Islamiyyah minggu lalu.
 
“Penubuhan Assabiqun PAS adalah satu usaha menggabungkan tenaga orang lama serta berpengalaman membantu parti untuk meneruskan perjuangan Islam di tanah air,” jelasnya.
 
Pelancaran Assabiqun disaksikan oleh Pengerusi Assabiqun PAS, Subky Latif bersama semua peserta konvensyen serta diakhiri dengan sesi bergambar. – HARAKAHDAILY 18/11/2017
Advertisement