PAS tanding lima kerusi Kemaman

KEMAMAN: Semua lima kerusi Dun dan Parlimen akan ditandingi PAS Kawasan Kemaman pada PRU-14 nanti, demikian tegas Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid.
 
Maklumnya, persiapan tersebut selaras ketetapan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang akan bertanding semua kerusi Dun dan Parlimen dalam negeri itu.
 
“PAS Kawasan Kemaman akan meletakkan calon di Parlimen Kemaman dan empat kerusi Dun melibatkan Kemasik, Kijal, Cukai dan Air Putih, ertinya lima kerusi kita akan bertanding.
 
“Tidak seperti sebelum ini, PRU13 lalu, PKR bertanding di peringkat Parlimen, manakala semua empat Dun, PAS yang bertanding.
 
“Peluang PAS lebih cerah kali ini walaupun jika berlaku pertandingan tiga penjuru, kita melihat dengan sokongan yang ada, peluang PAS meraih undi meningkat dan kita bakal memperolehi kemenangan,” ujarnya optimis.
 
Ustaz Alias ditemui selepas merasmikan Hari Ihtifal PASTI Kampung Baru Kertih pada tengahari tadi.
 
Hampir 100 pelajar institusi pendidikan awal milik PAS itu diraikan dalam majlis tersebut. – HARAKAHDAILY 18/11/2017
Advertisement