PRU14: BN T’ganu gagal kemuka calon MB berkaliber

DALAM kolum Kalam Perantau (Harakah bil: 2296; 10-12 November) saya ada menulis, selepas PRU ke-14: Terengganu akan mendapat MB baharu? Apa yang berlaku di Terengganu? Cakap-cakap di Terengganu ketika ini, rakyat memerlukan Menteri Besar yang baharu yang dilihat berwibawa untuk mentadbir negeri bukan sekadar Seberang Takir sahaja.

Advertisement

Pada pengamatan pengkaji politik, sama ada BN berjaya mengekalkan pemerintahan atau tidak selepas PRU ke-14, saya optimis Terengganu akan mendapat seorang Menteri Besar yang baharu yang lebih berwibawa bukan. hanya ‘gah’ dengan slogan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) tetapi apa yang ‘ditransformkan’ tidak dirasai dan  dipersoalkan rakyat.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Kedudukan Menteri Besar sekarang, Ahmad Razif Abdul Rahman kini dilihat goyah dan sukar untuk dikekalkan selepas PRU ke-14. Kini beliau hanya dilihat ‘proksi sementara’ Dato’ Seri Najib Razak selepas Perdana Menteri berjaya ‘mereda’kan kemurkaan Sultan Terengganu. Pertanyaan yang popular sekarang, siapa akan menggantikan beliau?

Siapakah calon Menteri Besar yang dapat ‘membangunkan semula’ negeri Terengganu yang masih menjadi negeri yanag mundur, walaupun hasil petroleum berbillion ringgit? Banyak isu pembangunan dan ekonomi yang perlu dirancang semula selepas ini oleh sebuah kerajaan yang baharu.

Selepas ‘serangan’ hebat Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said terhadap Datuk Seri Ahmad Razif bukan sahaja sekadar meminta beliau meletakkan jawatan, malah pernah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Terengganu.

Helah

Beliau berjaya diselamatkan dengan ‘helah’ Speaker DUN, Dato Zuber Embong. Kepimpinan Ahmad Razif Abdul Rahman dilihat tidak bermaya dan bagaikan sudah berada ‘dibawah ehsan’ pembangkang terutama PAS yang mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) supaya kerajaan beliau terus berfungsi hingga pilihanraya.

Saya tidak bercadang untuk memberikan pandangan saya sendiri pada peringkat ini, tetapi cukupb untuk saya perturunkan ringkasan seorang penulis yang membuat analisis tentang persoalan ini. Saya perturunkan pandangan seorang penulis, Hambali Abdul Latif yang menulis tentang persoalan yang dibicarakan ini. Dibawah adalah sedutan apa yang beliau tulis dalam artikelnya, ‘Analisis oleh Hambali Abdul Latiff’ sebelum ini.

Sama ada secara terbuka atau melalui kumpulan WhatsApp, Ahmad Razif kini dilihat begitu ‘kecil’ dan paling gagal berbanding menteri-menteri besar sebelumnya. Selain isu politik yang jelas wujud pertelingkahan dalaman, isu penting ialah perancangan dan menguruskan ekonomi negeri dengan baik, bukan yang ‘Berat 66’ dan ‘Tok Rok Cetong’.

Menjadi pertanyaan juga, apakah Ahmad Razif akan kekal senarai Menteri Besar jika beliau dan BN menang sekali lagi? Dan jika beliau diselamatkan Najib dan dibawa ke Putrajaya jika BN berjaya memerintah semula, siapa akan menggantikan beliau sebagai Menteri Besar?

Isunya sekarang , apakah BN berani mengemukakan calon Menteri Besar yang baru menggantikan Ahmad Razif dalam kedudukan beliau sendiri jelas mahu meneruskan ‘tugasnya yang beliau selesai’ di Terengganu?

Tiada siapa

Sehingga kini BN Terengganu tidak menunjukkan sesiapa walaupun ada beberapa nama disebut-sebut daripada kalangan ADUN sedia ada dan tokoh-tokoh baru yang mungkin diletakkan sebagai ADUN bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Kalaupun Ahmad Razif  bersetuju ke Putrajaya selepas PRU14, siapa yang akan mengganti beliau dan ‘patuh kepada kehendaknya di negeri’ agar kepentingan beliau tidak terjejas dan dilondehkan? Atau sekurang-kurangnnya calon itu mestilah ‘orang rapat dengan Najib’ agar kepentingan Najib dan Ahmad Razif dapat dijamin berterusan.

Rasanya nama-nama seperti Datuk Mohd Jidin Shafee (ADUN Permaisuri) dan Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut) serta Datuk Tengku Putera Tengku Awang (ADUN Kuala Berang) antara yang pertama sengaja dihilangkan daripada radar Menteri Besar belumpun  PRU14.

Kumpulan lain

Maka timbullah kumpulan ADUN lain seperti Muhammad Pehimi Yusof (ADUN Jerteh yang dikatakan akan bertanding di DUN Kota Putera), Wan Hakim Wan Mokhtar (Air Puteh), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (Kuala Besut yang dikatakan mungkin akan ke Parlimen Besut) , Mohd Iskandar Jaafar (Jabi) dan juga Bazlan Abdul Rahman (Batu Rakit).

Tiga  lagi yang dilihat benar-benar berpotensi ialah A Latiff Awang (ADUN Pengkalan Berangan), Datuk Sabri Mohd Noor  (ADUN Langkap) dan Datuk Rozi Mamat (ADUN Telemong).

Daripada kesemua itu rasanya yang berpotensi menang untuk menjadi Menteri Besar ialah Rozi serta Wan Hakim. Mohd Jidin mungkin menang tetapi dilihat sudah lanjut usia dan kesihatan yang kurang memuaskan. Namun, apakah Rozi dan Wan Hakim merupakan calon terbaik untuk Menteri Besar Terengganu selepas ini? Persoalannya berapa ramai daripada mereka akan bertanding semula atau akan menang pada PRU14?

Harapkan Menteri Besar yang ‘Berat 66’ dan ‘Tok Rok Cetong’ sekarang umpama menguburkan Umno-BN walaupun sebelum PRU14. Lantas timbul pertanyaan, apakah calon baru yang disebut-sebut akan dikemukakan oleh BN untuk bertanding pada PRU14 akan merupakan antara calon Menteri Besar?

Dikatakan Datuk Jailani Johari yang kini Ahli Parlimen Hulu Terengganu akan bertanding DUN Kuala Berang, Mohd Sabri Alwi dikatakan akan bertanding di DUN Ladang serta Datuk Jailani Ngah di DUN Batu Rakit akan menjadi saingan kepada Rozi dan Wan Hakim?

Dengan gagalnya  Umno-BN Terengganu mengemukakan calon Menteri Besar selepas PRU 14 bermakna Umno-BN tiada hala tuju yang jelas. Jangan salahkan rakyat jika mereka menolak Umno-BN kerana gagal mengemukakan ‘naskhoda’ untuk bangunkan Terengganu dan menjamin rakyatnya kea rah kehidupan yang semakin makmur.

Terengganu kini dilihat bagai ‘telur di hujung tanduk’ dan kerana itu Perdana Menteri dan Timbalannya asyik datang ke Terengganu untuk menjamin UMNO/BN Terengganu tidak tumpas. Kini rakyat sudah faham dan tahu menilai siapa yang selayaknya menerajui Terengganu selepas PRU14 nanti!!! {/mprestriction}