Rawatan gigi anak-anak istimewa

ANUGERAH Allah kepada kita dalam bentuk pengurniaan anak-anak istimewa sebenarnya tersembunyi hikmat yang banyak bagi mereka yang reda serta menerima dugaan ini dengan penuh ketabahan. Walau bagaimana sekalipun keadaan fizikal dan mental mereka, mereka berhak disayangi dan disantuni dengan penuh kemanusiaan.

Advertisement

Masih saya ingat ketika bertugas di Hospital Kuala Terengganu pada awal tahun 2000, ada seorang pesakit cerebral palsy (kegagalan fungsi otak) yang ditinggalkan oleh orang tuanya di sebuah rumah kebajikan di Kuala Terengganu. Semenjak dihantar ke situ dalam jangka masa hampir 20 tahun, kedua ibu bapanya tidak pernah sekalipun menjenguknya dan gagal dihubungi. Begitu sekali tega dan tergamaknya ibu bapa anak ini bertindak sedemikian. Saya tidak berhajat untuk memaklumkan apakah bangsanya.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Kegagalan otak yang dialami anak istimewa ini menyebabkan walaupun usianya hampir 20 tahun, pesakit ini masih kelihatan seperti seorang kanak-kanak. Beberapa kali saya berpeluang merawatnya ketika dia dihantar oleh kakitangan rumah kebajikan tersebut untuk mendapatkan rawatan pergigian di Klinik Pakar Pergigian, Hospital Kuala Terengganu ketika itu.

Cabaran utama untuk merawat anak-anak istimewa terutama bagi yang mempunyai kelainan upaya dari segi mental adalah ketidakmampuan anak-anak ini untuk memberikan kerjasama sepanjang proses rawatan dilakukan. Mereka tidak dapat berkomunikasi dengan kita dan kita juga tidak mampu untuk berkomunikasi dengan baik bersama mereka. Kekurangan mereka dari segi fizikal dan mental juga menyebabkan biasanya anak-anak ini mempunyai masalah pergigian yang agak kronik.

Dalam kes sebegini biasanya saya akan berbincang dengan ibu bapa dan mencadangkan kepada mereka agar rawatan pergigian untuk anak istimewa ini dilakukan di bawah bius am (general anesthesia). Rawatan secara keseluruhan (full mouth treatment) akan dilakukan di dalam dewan bedah di mana-mana hospital besar yang mempunyai dewan bedah am oleh pakar-pakar pergigian setelah pesakit tersebut dibius oleh doktor pakar bius.

Ia sangat selesa dan memudahkan baik untuk pesakit sendiri, ibu-bapa serta juga pegawai perubatan dan pergigian. Sekalipun pesakit perlu dimasukkan ke dalam wad untuk sehari bagi menjalani beberapa pemeriksaan rutin tetapi ia masih jauh lebih memudahkan daripada terpaksa berulang-alik ke klinik untuk beberapa kali yang kadang-kadang rawatannya belum tentu berjaya dilakukan disebabkan keadaan pesakit yang tidak mengizinkan.

Mungkin bila mendengar perkataan dewan bedah, ia agak menakutkan dan menggerunkan lantas timbul persoalan, “apa yang doktor nak buat kepada anak saya?”
Sebenarnya yang hendak dibuat hanyalah rawatan pergigian tetapi disebabkan peralatan dan kelengkapan bius am ada di dewan bedah, maka dewan bedah perlu digunakan.

Bila pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri setelah dibius, doktor gigi akan selesaikan semua rawatan yang perlu sama ada tampalan, cucian, cabutan dan lain-lain lagi. Keluar saja dari dewan bedah, semuanya sudah selesai. Mudah bukan?

Gigi palsu ganti gigi kekal?

Satu hari, saya menyambut kedatangan seorang pesakit berumur hampir seusia dengan ibu saya berasal dari satu daerah di pinggir Kota Bharu. Wajahnya penuh bersifat keibuan dan peramah sekali.

“Doktor, mak cik hajat nak cabut semua gigi,” pintanya kepada saya.

“Sebab apa sampai nak cabut habis gigi mak cik, sakit ke?” Saya cuba untuk mendapatkan maklumat sebenar.

“Tak sakit lagi, cuma mak cik takut akan sakit lepas ni. Sebelum sakit, lebih baik cabut terus!” Pesakit ini menyuarakan kebimbangannya dengan sesuatu yang belum berlaku lagi.

“Kalau kita cabut habis, macam mana mak cik nak makan?” Saya cuba mengajaknya berbincang.

“Kita buat gigi palsu, selesai masalah,” jawab mak cik ini dengan yakin.

Bila saya melakukan pemeriksaan, didapati sebahagian besar gigi pesakit ini masih elok. Hanya sebatang dua sahaja yang dikategorikan sebagai tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dicabut.

Ada beberapa perkara penting yang kita perlu fahami merujuk kepada masalah pesakit ini. Yang pertama, adalah silap untuk kita mencabut gigi yang masih elok semata-mata dengan tujuan untuk mengelakkannya sakit di kemudian hari. Sihat atau sakitkah kita sebagai manusia pada esok hari tiada siapa yang mampu menjangkanya dengan tepat. Semuanya di dalam kehendak Allah.

Ramai saya temui pesakit yang berada di usia emas, tetapi giginya masih elok dan sempurna. Ada pula pesakit yang berusia awal 30-an, tetapi telah kehilangan kesemuanya giginya. Dengan peningkatan usia, bukannya kemestian gigi juga akan turut rosak dan sakit. Tidak ada istilah rawatan pencegahan dengan mencabut gigi yang masih elok semata-mata untuk mencegahnya dari sakit. Cabutan adalah pilihan rawatan yang terakhir setelah semua pilihan rawatan lain untuk mengekalkan gigi tersebut tidak berjaya.

Yang kedua, gigi yang hendak dicabut dengan harapan ia boleh digantikan dengan gigi palsu. Saya suka mengajak pembaca meneliti perkataan ‘PALSU’ dengan erti dan makna yang sebenar.

Palsu dalam istilah pergigian bermakna menggantikan gigi asal ciptaan Allah dengan gigi buatan ciptaan manusia. Bukannya digantikan dengan gigi sebenar yang diambil dari orang lain. Ciptaan Allah tentunya lengkap dengan segala kesempurnaannya sementara sedia dimaklumi bagaimanakah ciptaan kita manusia yang penuh dengan kekurangan sekalipun teknologi yang terbaik telah diaplikasikan.

Memang terdapat beberapa pilihan dan kaedah bagaimana gigi yang hilang tersebut boleh diganti yang saya akan bincangkannya di dalam tajuk yang lain. Setiap satunya datang dengan ciri-ciri, kualiti serta kaedah rawatan yang tersendiri. Walaupun begitu, tentunya gigi asal ciptaan Allah adalah yang terbaik. Sekiranya gigi asal tersebut telah rosak serta tidak dapat diselamatkan lagi, maka ketika itulah kaedah pemakaian gigi palsu akan digunakan sebagai alternatif. Janganlah gigi asal yang masih sempurna dicabut semata-mata kerana hendak pakai gigi palsu. Ini suatu tindakan yang sangat silap.

Satu lagi kesilapan pemahaman yang biasa saya temui, sekiranya terdapat beberapa batang gigi yang telah rosak dan perlu dicabut, maka untuk membolehkan gigi palsu dibuat, kesemua gigi yang masih elok juga perlu dibuang sehingga licin. Barulah gigi palsu boleh dibuat! Dengan makna korbankan gigi yang masih elok untuk memberi laluan kepada gigi palsu.

Yang sebenarnya, gigi palsu boleh dibuat berdasarkan beberapa batang gigi yang telah hilang sahaja. Kalau kita hilang sebatang gigi, maka sebatanglah gigi palsu kita. Kalau 3 batang gigi kita telah dicabut, 3 batanglah gigi palsu kita. Kalau keseluruhan gigi kita telah hilang, maka jadilah gigi palsu kita sebagai gigi palsu penuh.

– Dr Azman Ibrahim, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Berkelulusan ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dari Universiti Of Baghdad Iraq. Pernah berkhidmat di beberapa Institusi Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum menjawat jawatan Pensyarah Pelatih di Universiti Sains Malaysia. Sekarang memiliki klinik persendirian di Kubang Kerian Kelantan. Boleh dihubungi melalui email [email protected].{/mprestriction}