Konvensyen Sekretariat Kebangsaan segarkan pengurusan organisasi

GOMBAK: Penganjuran Konvensyen Sekretariat Kebangsaan Kali Ke-3 berjaya menghimpunkan penggerak utama pengurusan organisasi dengan tujuan memperkemaskan sistem pentadbiran di samping memberi kesedaran peranan Jabatan Setiausaha.
 
Peserta didedah dengan slot-slot penyegaran jentera pengurusan berdasarkan indikator ditetapkan pada program yang berlangsung di Dewan Dato’ Fadhil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, semalam.
 
Pembentangan utama mendedahkan peserta mengenai peranan Setiausaha dalam menguruskan perjalanan parti dan posisinya untuk menghadapi pilihan raya akan datang yang disampaikan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyudin Hassan.
 
Turut dibentangkan adalah berkaitan persempadanan semula yang perlu diberikan perhatian sebagai langkah awal menjelang PRU14.
 
Pengetahuan menguruskan aset juga dibentang oleh Timbalan Pengarah JUHAM, Fairuz Idris berikutan beberapa insiden yang berlaku melibatkan perundangan, supaya memastikan hak pemilikan harta hasil usaha sumbangan ahli-ahli PAS terpelihara.
 
Sementara itu, untuk memastikan kelangsungan PAS mampu memberikan impak kepada politik Malaysia, Jabatan Bendahari PAS telah melancarkan Sistem Infak Auto Debit Serendah RM 10.
 
Taklimat tersebut disampaikan oleh Bendahari PAS, Razman Zakaria diikuti pelancaran Assabiqun PAS. – HARAKAHDAILY 19/11/2017
Advertisement