Malang Rohingya, negara berjiran sokong Myanmar di PBB

PERISTIWA di depan hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui, tetapi selama Islam digenggam, kejayaan mutlak akan menjadi milik umat Islam.

Advertisement

Setuasi semasa memang rumit dan kompleks. Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan satu resolusi untuk dipatuhi, tetapi Myanmar tegas menolaknya. Ketua turus tentera Myanmar berselindung di sebalik alasan bodoh – Rohingya tidak boleh balik ke Arakan (Rakhine State) sehingga penduduk asal Myanmar menerima mereka.  Siapakah penduduk asal Arakan kalau bukan orang Rohingya?

Presiden pertama Burma, Sao Shwe Thaik pernah menegaskan di awal pembentukan Burma yang merdeka bersama Arakan yang dimasukkan ke dalam negara itu – “Jika kita tidak mengakui orang-orang Rohingya adalah penduduk asal Burma, maka tidak ada satu kaum pun di negara ini berhak mengakui mereka adalah penduduk asal Burma”. Kenyataan ini kemudiannya ‘dipadamkan’ dari catatan sejarah, seiring dengan matlamat baru Regim Myanmar iaitu melaksanakan genocide terhadap muslim Rohingya.

Terkini, jiran-jiran musyrikin Myanmar – Viatnam, Kemboja, Laos dan Filipina turut menyertai China, Russia, Zimbabwe, Syiria dan Belarus menentang usul negara-negara OIC di persidangan Hak Asasi PBB, supaya Myanmar menghentikan operasi tentera ke atas etnik Muslim Rohingya. Usul itu juga adalah mengenai hak etnik Rohingya untuk pulang ke Arakan, hidup dengan aman dan kewarganegaraan mereka dikembalikan.

135 negara anggota menyokong, 26 lagi berkecuali. 10 negara yang menentang usul hak asasi ini sebahagiannya adalah jiran-jiran Myanmar.

Walaupun telah terbentang kekejaman dan kezaliman Myanmar terhadap Muslim Rohingya, tetap ada negara kuasa besar dunia, diikuti negara-negara jiran berpendirian menyebelahi Myanmar.

Isu besar sekarang adalah, negara-negara ini juga adalah anggota Asean. Apakah sebabnya mereka yang berjiran dengan Myanmar, tidak nampak kekejaman Myanmar dan penderitaan jutaan Muslim Rohingya? Apakah mereka juga telah dibutakan oleh China?

China diketahui membantai muslim di Xinjiang, dan tekanan demi tekanan dikenakan kepada Muslim China termasuk larangan beribadat.

Syria juga membantai rakyatnya pasca Arab Spring dengan alasan mereka sendiri, jutaan mati dan menjadi pelarian. Hampir saja krisis di Syiria mencetus perang dunia. Sehingga sekarang belum selesai, apinya masih menyala.

Apa pula alasan negara jiran Myanmar dalam Asean? Apakah sudah menjual diri kepada China?

Apakah mereka sedang mengharapkan manfaat projek mega dalam pelaburan besar China di Myanmar. Laluan paip minyak, laluan keretapi, perlombongan, deposit minyak dan gas yang besar dan yang terbaru, penemuan uranium di Arakan akan melimpahkan kemajuan kepada negara serantau? Ataupun mereka sebetulnya telah masuk ke poket China dengan projek-projek pembangunan berskala mega yang dibiayai oleh China juga.

Patutlah dalam sidang Asean di Manila tiga hari lalu isu Rohingya tidak dibangkitkan langsung.

Isu yang lebih besar sekarang ialah kita di Malaysia sedang berada dalam lingkungan negara-negara jiran yang menyebelahi kekejaman, menolak hak asasi manusia dalam isu Rohingya dan mempertahankan pembunuhan dan genocide ke atas umat Islam.

Jika demikian, apakah masa depan Muslim Rohingya, dan bagaimana pula Malaysia pada masa depan?

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengarah PASRelief
AJK PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 19/11/2017