Perihal WINS 2051 (Siri 7)

Urus tadbir: Sasar kedudukan CPI mengatasi Israel

Advertisement

1. DI DALAM fasa pertama WINS 2051 yang menumpukan aspek penyelesaian masalah, 9 teras utama negara dikenal pasti. Teras ini adalah segmen penting yang diperlukan masyarakat madani bagi kehidupan bernegara. Sembilan teras tersebut adalah:

i. Urus tadbir
ii. Pendidikan
iii. Ekonomi
iv. Kesihatan
v. Keselamatan
vi. Pertanian
vii. Sosio Budaya
viii. Alam Sekitar
ix. Prasarana

2. WINS2051 akan melihat apakah masalah yang berlaku pada setiap teras ini. Kemudian strategi pelaksanaan akan disusun berpandukan kepada masalah yang berlaku. Selepas itu, beberapa program-program utama negara akan dirangka bagi menyelesaikan masalah tersebut. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) turut digariskan supaya program yang dijalankan benar-benar mencapai matlamat. Pada akhirnya, enam kunci capaian diletakkan sebagai tanda bahawa WINS2051 telah mencapai matlamat pada fasa pertama iaitu Transformasi Negara Sejahtera

3. Teras pertama negara adalah berkenaan perihal urustadbir negara. Aspirasi dan juga matlamat akhir daripada teras ini adalah supaya berlaku peningkatan kualiti dari sudut integriti, kecekapan dan keberkesanan di samping pembasmian terhadap korupsi & salah guna kuasa. Semua ini terangkum dalam epistomologi Islam sebagai sifat amanah. Allah SWT berfirman:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. [Al-Ahzab:72]

PAS mendapati bahawa negara kini berdepan dengan masalah urus tadbir yang pincang. Walaupun tidak dinafikan sisi-sisi positif yang ada, tetapi tiada siapa dapat menafikan berlakunya gejala seperti rasuah, penyelewengan, serta tidak cekapan mentadbir sehingga berlaku pembaziran dan gerak kerja yang tidak mencapai sasaran.

4. Perkara ini disahkan dengan laporan audit dari Jabatan Audit Negara yang dikeluarkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia menunjukkan berlaku ketirisan di banyak kementerian dan juga jabatan kerajaan. Indeks persepsi korupsi (CPI) dunia 2016 yang dikelolakan oleh sebuah badan antarabangsa Transparency International (TI) menunjukkan Malaysia jatuh ke tangga 55 daripada 176 buah negara yang tersenarai.

5. Bagi menyelesaikan masalah ini, WINS2051 akan menggunapakai modul pentadbiran kerajaan Kelantan yang memperkenalkan konsep UMI (Ubudiyah, Mas`uliyah dan Itqan). Kelantan dipilih kerana keberkesanan mereka dalam menjaga integriti dan kecekapan urus tadbir, sehingga tidak ada seorangpun daripada pemimpin politik mahupun penjawat awam tertinggi di Kelantan yang terpalit dengan isu rasuah sejak memerintah lebih 20 tahun.

6. Konsep UMI ini dicetuskan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memfokuskan kepada prinsip pengurusan dalam pentadbiran awam negeri Kelantan. Ia diletakkan di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI). Konsep ini kemudiannya dikembangkan oleh YAB Ustaz Mohamad Yakob menerusi penubuhan Institut Latihan Guru Kelantan.

7. UMI adalah singkatan daripada ‘Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan.

Ubudiyyah: Konsep ini merujuk kepada kedudukan manusia sebagai hamba Allah yang diciptakan semata-mata untuk beribadah kepada Allah. Ia memberi signifikan dari sudut sifat dirinya, tujuan hidupnya juga cara aktivitinya. Apakah tujuan dia mentadbir sebuah negeri, Adakah sebagai ibadat atau penderhakaan kepada Allah SWT. Ini boleh disebut sebagai penekanan kepada aqidah.

Mas’uliyyah pula bermaksud pertanggungjawaban (akauntabiliti) yang merujuk kepada sifat kerja seseorang yang dikaitkan dengan kedududkan Allah SWT sebagai pemberi tanggungjawab. Segala kerja (tanggungjawab) akan dipersoalkan di hadapan Allah untuk pengadilan. Aspek ini dirakamkan dalam konsep khilafah (vicegerence). Ini juga boleh disebut sebagai penekanan kepada syariat.

Itqan: Konsep ini merujuk kepada kualiti yang boleh diterjemahkan sebagai ketekunan, komitmen dan kesungguhan pada peringkat awal dan disusuli dengan fokus dalam melakukan kerja. Konsep ini juga bermaksud berterusan dengan tidak memberi ruang berlakunya penyelewengan atau sikap sambil lewa. Ini juga boleh disebut kepada penekanan kepada Akhlak.

8. Apa yang menarik, UMI telah dijadikan falsafah penting oleh kerajaan Malaysia dalam membangunkan generasi yang menggabungkan duniawi dan ukhrawi. YAB Perdana Menteri Malaysia dalam ucapannya pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2017 telah memetik konsep UMI ketika menjelaskan elemen soul dalam membentuk generasi Khayra Ummah yang merupakan sebahagian dari wacana TN50.

Ini bermakna, Kelantan sekali lagi mendepani perubahan untuk melahirkan Malaysia yang lebih baik. Sebagai maklumat tambahan, sebelum ini pun telah banyak dasar dan polisi kerajaan negeri Kelantan yang ditiru sama ada oleh Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri lain. Antaranya skim insurans percuma warga emas, pajak gadai ar-Rahnu, cuti bersalin 90 hari, kerja lima hari seminggu, konsep hotel Islam, rumah 3 bilik dan banyak lagi.

9. Mengikut sebuah rencana yang dikeluarkan oleh TI, korupsi bukan sahaja memberi kesan kepada pentadbiran yang pincang, malah ia turut memberi kesan kepada ketidakadilan sosial. Data CPI menunjukkan trend yang selari dengan data ukuran keadilan sosial yang dijalankan oleh Bertelsmann Foundation. Korupsi bermaksud pembahagian kekayaan negara berlegar di kalangan kelompok kecil elitis, yang boleh membawa kepada polarisasi sosial dan akhirnya berlaku ketidakseimbangan.

10. Menurut rencana yang sama juga, memerangi korupsi menjadi kempen popular politikus untuk meraih undi. Namun, ia cuma tindakan bersifat populis dan retorik semata-mata. Hakikatnya mereka tidak serius untuk memeranginya. Apabila mereka berjaya meraih kuasa, tiada perubahan positif yang berlaku, malah sebahagiannya menjadi lebih negatif.

Melihat kepada perkembangan yang berlaku di Malaysia, rencana tersebut ada benarnya. Justeru WINS 2051 tidak memandang enteng akan perkara ini. Kerana itulah model pentadbiran Kelantan dijadikan contoh, kerana ia bukan pendekatan populis. Ia telah terbukti berkesan dalam memerangi korupsi kerana ianya berasaskan ajaran Islam, bukan berkiblatkan mana-mana ideologi moden lain samada haluan kanan mahupun kiri.

11. WINS 2051 mensasarkan kedudukan sekurang-kurang tangga ke 25 daripada indeks persepsi korupsi (CPI) menjelang 2030. Walaupun matlamat akhir adalah supaya Malaysia mengungguli tangga teratas indeks sebagai negara yang bersih dari sebarang unsur penyelewengan, tetapi sasaran semasa itu adalah lebih realistik dengan perkembangan mutakhir dan keupayaan yang ada, mengambil kira jangka masa yang diperuntukkan.

12. Sekurang-kurangnya, Malaysia perlu berada di atas negara haram Israel yang kini menduduki tangga ke 28. Ia sebagai motivasi kepada negara umat Islam yang lain untuk tidak dilihat lebih buruk daripada negara haram tersebut. Amat tidak patut bagi negara Islam memiliki tahap ketelusan yang lebih rendah dari musuh Islam sendiri.

Setakat ini, di kalangan negara OIC hanya UAE yang berjaya mengatasi Israel. Negara arab tersebut berada di kedudukan ke 24. Brunei pula menyusul jauh apabila berada di tangga ke 41, manakala negara OIC lain semuanya di belakang Malaysia.

13. Integriti ataupun amanah bukan perkara baru dalam peradaban manusia. Bukan juga baru diperkenalkan dalam syariat Nabi Muhammad SAW sahaja. Bahkan ia sudah sebati dengan tamadun manusia beribu kurun lamanya . Firman Allah SWT merakamkan dialog antara Nabi Syuaib AS dan anaknya:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Sesungguhnya sebaik-baik orang yang perlu diambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.
[Al-Qasas:26]