Wawancara Timbalan Speaker, Ustaz Shafie Ngah

DEWAN Negeri ini adalah tempat terbaik untuk PAS menyumbangkan sumbangan dan buah fikiran. Ini kerana bila parti mahukan sesuatu hala tuju itu diletakkan di tempat tertinggi dalam sebuah negeri di situlah tempatnya.  

Advertisement

Wawancara PENGARANG Harakah, SAIDAH HAIRAN bersama Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, YB USTAZ SHAFIE NGAH di Dewan Annex, Shah Alam.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

H : Sidang Dewan Negeri Selangor terikat dengan Peraturan Tetap. Adakah semua Ahli Dewan mematuhi Peraturan Tetap tersebut?

YB SHAFIE : Semua Ahli Dewan sedia maklum bahawa Dewan adalah tempat yang mulia dan dihormati. Semua Ahli Dewan juga maklum dengan Peraturan Tetap yang perlu dihormati kerana statusnya tinggi dalam Dewan Negeri.

Dalam Peraturan Tetap itu ialah menghormati Ahli Dewan yang lain. Bukan setakat tidak boleh mengeluarkan kata-kata kasar tetapi sehingga menyebut nama Ahli Dewan Negeri lain secara peribadi pun tidak boleh.

Jika hendak sebut, katakanlah Yang Berhormat Bangi, kita tidak boleh sebut nama Yang Berhormat itu tetapi kena sebut nama kerusi itu, contoh YB Bangi, bukan YB Shafie.

Ini kerana Yang Berhormat tersebut kerana dipilih oleh rakyat di kawasannya untuk sampai ke Dewan Negeri. Hingga ke pringkat itu Peraturan Dewan telah tentukan. Apatah lagi berkaitan dengan mengeluarkan perkataan kasar.

Ini sebagai bahasa tidak beradab.

Sebenarnya semua Ahli Dewan tahu mereka tidak boleh menggunakan bahasa kasar tetapi apabila ada provokasi daripada parti lawan ada kalanya mereka panas hati, lalu mereka bangun sehingga bila hilang kawalan akan keluar perkataan yang tidak baik.

Saya bersama Speaker Dewan Negeri Selangor (YB Hannah Yeoh) selalu mengingatkan kepada Ahli Dewan supaya kembali kepada Peraturan Tetap Dewan. Peringatan ini penting supaya mereka tidak menyakiti hati dan perasaan rakan-rakan dan seharusnya menghormati Ahli-Ahli Dewan lain.

(H) YB Umno sering mengadakan sidang media di luar Dewan jika mereka tidak berpuas hati dengan jawapan daripada pihak Kerajaan. Apakah YB melihat tindakan itu betul?   

Ini adalah amalam pembangkang yang lama berlaku di Selangor. Apabila tidak puas hati dengan penjelasan dengan pihak kerajaan, YB daripada Umno tidak akan membangkitkan semula soalan di dalam Dewan sebaliknya mereka akan buat sidang media di luar sebab mereka sasarkan pandangan awam melalui media.   

Bagi YB Umno iaitu pembangkang di Selangor, mereka mempunyai alat media yang boleh ditarik perhatian dan cenderung kepada mereka. Sebenarnya, cara ini ada baik dan tidak baiknya. Perkara yang baik, mereka terus sampaikan hasrat mereka kepada media dan terus kepada orang awam.

Manakala yang tidak baik, sepatutnya mereka menggunakan medium rasmi dalam Sidang Dewan Negeri  untuk mengemukakan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan.

Memandangkan kerajaan Negeri Selangor hari ini telah banyak menyelesaikan banyak masalah rakyat dan jika YB Umno menegur atau membuat kritikan terhadap kerajaan, sudah tentu ada jawapan yang konkrit.

Maka mereka akan tergugat dan caranya adalah di luar daripada Dewan dengan membuat sidang media. Sikap mereka ini menggambarkan sebenarnya mereka bukan ‘anak jantan’ kerana hanya berani di luar Dewan.

Bagaimana YB melihat kehadiran Adun-Adun Umno daripada penggal pertama hingga penggal terakhir ini?

Sesi yang terakhir ini ada perubahan berbanding yang lepas. Ini kerana sesi terakhir ini dekat dengan pilihan raya umum. Pada pandangan peribadi saya, mereka kena menunjukkan komitmen mereka sebab ada yang sedang memerhatikan mereka.

Sekiranya mereka tidak menunjukkan kesungguhan hadir ke Sidang Dewan Negeri mungkin mereka akan disingkirkan daripada menjadi calon pilihanraya umum nanti.

Bagaimanapun ada juga teguran yang diberikan kepada Dewan Negeri yang bagus,  antaranya tentang pelaksanaan projek infrastruktur  awam dan universiti di Selangor.

Ada beberapa teguran dikemukakan supaya ditambah baik. Yang itu ok.

YB Umno hanya menyentuh beberapa kelemahan pengurusan atau pentadbiran pihak kerajaan negeri. Manakala perkara yang besar di peringkat dasar, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik.

Cuma daripada sudut pelaksanaan, mungkin belum sempurna dan itulah yang dibesarkan oleh Adun Umno dan ia dilihat oleh pembangkang sebagai kelemahan kerajaan negeri.

Sebagai contoh dasar kerajaan negeri untuk menyediakan 40,000 rumah mampumilik (Rumah Selangorku).

Sasaran ini belum tercapai sepenuhnya  walau pun dasarnya telah ada. Adun pembangkang mengatakan program Rumah Selangorku gagal atau  `omong kosong’, sedangkan sebenarnya ia sedang dalam proses.

Bagaimana YB melihat prestasi Adun-Adun PAS sepanjang sidang Dewan Negeri. Apakah ada perbezaan?

Dari sudut kehadiran Adun PAS komited. Begitu juga dari sudut menghormati Peraturan Tetap. Mereka juga mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dan sesi soal jawab serta soalan tambahan. Cuma Adun-Adun PAS dilihat kurang menonjol kerana mereka kurang bertengkar dalam Dewan.

Sangat jarang mereka `provoke’  Ahli Dewan lain. Mereka juga tidak menerima provokasi daripada pihak lain. Ahli Dewan Negeri PAS mengambil sikap `gentleman’ dan tidak menegur membabi buta. Mereka bersikap intelektual dan membina kerajaan yang sedia ada.

Jika YB PAS mengkritik pembangkang pun mereka menegur tanpa merendah atau menghina mereka. YB PAS juga tidak melakukan provokasi. Prestasi YB PAS bagus.

YB…mengapa Speaker menolak usul menyokong titah Tuanku Sultan yang dikemukakan daripada YB Umno?

Atas sebab menyokong titah Tuanku Sultan Selangorlah maka usul itu ditolak. Apabila Tuanku telah bertitah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Tun Mahathir maka Dewan menghormati dan menjunjung kasih atas titah Tuanku. Isu tersebut tidak dibincang dalam Dewan Negeri.

Ini kerana proses itu sedang berjalan dan proses itu pun adalah permintaan Tuanku. Kita bimbang sekiranya Speaker menerima usul itu, maka perbahasan usul itu mungkin akan menyentuh kemuliaan Tuanku yang bertitah. Sebab itu usul tersebut telah ditolak. Saya difahamkan oleh Speaker begitu.

Usul daripada Ahli Dewan Negeri (Umno) itu dibuat dalam bentuk Usul Tergempar. Usul Tergempar ini adalah usul yang akan menghentikan semua urusan persidangan yang sedang berjalan. Dewan Negeri ketika itu sedang membahaskan usul yang sangat penting untuk diluluskan iaitu Belanjawan Negeri 2018.

Jika usul Belanjawan tidak diluluskan maka kita tidak boleh membelanjakan duit untuk kerajaan Negeri pada tahun 2018. Jika ada usul tergempar ia akan menghalang dan mungkin beberapa hari menghalang proses persidangan  Belanjawan. Maka usul daripada YB Umno itu diterima ia akan dilihat lebih penting daripada usul Belanjawan Negeri Selangor.   

Sebab itu ‘Usul Tergempar’ itu tidak boleh didahulukan.

Secara teknikal sebenarnya ia tidak menepati keperluan mendesak, cuma dari segi politiknya mungkin ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap isu ini. Lalu mereka menuduh kerajaan negeri dan Speaker, yang diketuai satu parti tertentu, sengaja menolak usul tersebut atas faktor faham politik.

Berapa usul yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negeri?

Usul persendirian yang dikemukakan oleh YB-YB ada 9 tetapi semua ditolak oleh Speaker. Ada yag mengatakan Speaker menolak usul-usul tersebut  kerana kepentingan parti dia. Saya tidak bersetuju kerana semua ‘content’ usul yang ditolak itu boleh dibahas dalam sesi perbahasan.

Sebagai contoh usul YB Adun Tanjong Sepat, (Mohd Haslin Hassan) membawa usul; “Satu tindakan di pihak kerajaan untuk program pembangunan melebarkan kampung”.

Usul ini ditolak kerana Adun tersebut boleh membahaskan usul ini dalam sesi perbahasan Belanjawan. Ruang perbahasan luas,  boleh beri hujah dan teguran kepada kerajaan. Tiada masalah.
 
Saya nak beritahu, tidak ada sebab untuk menghalang YB Tanjong Sepat berbahas dan mengemukakan isi-isi yang beliau mahu sampaikan,  sekalipun usulnya telah ditolak.

Begitu juga dengan usul daripada Adun Sri Andalas (PKR) iaitu tentang arak.

YB Sri Andalas meminta kerajaan negeri meminda atau menguatkuasa undang-undang yang lebih ketat terhadap peminum arak di tempat awam.

Usul ini ditolak bukan sebab arak itu tidak penting tetapi sebab ruang perbahasan sangat luas untuk YB berkenaan berbahas di sesi perbahasan.

Mengenai usul Umno iaitu memperkasakan Mahkamah Syariah, yang dikatakan bahawa Speaker telah menolak usul tersebut dan telah merendah-rendahkan hak orang Islam di Selangor.

Sebenanrya tidak betul dakwaan tersebut.

Ini kerana orang yang mengusulkan itu boleh berbahas seluas-luasnya dalam sesi perbahasan. Tidak munasabah jika dikatakan Speaker tidak menerima usul berkenaan sebab ianya datang daripada Adun Umno, atau Speaker anti Syariah, dalam konteks ini.

Persidangan kali ini sangat penting kerana ini persidangan Belanjawan Negeri oleh Menteri Besar Selangor untuk perbelanjaan  tahun 2018. Rakyat Selangor menunggu-nunggu selepas Perdana Menteri membentangkan usul Bajet di Parlimen dan bagaimana pula usul Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Besar untuk rakyat Selangor.

Sebagai Timbalan Speaker, adakah YB berpuas hati dengan prestasi YB-YB PAS dalam sesi soal jawab, soal tambahan dan perbahasan?

Sebenarnya di pihak PAS, kami telah membahagikan bahagian dengan tajuk berpandukan latar belakang Adun masing-masing. Antaranya, Adun Selat Klang, Dr Halimah dengan Adun Sri Serdang, Noor Hanim Ismail diberikan mandat untuk berbahas bahagian pendidikan dan hal ehwal wanita serta keluarga.  

Mengenai permasalahan di kampung pula diserahkan kepada Adun Tanjong Sepat, YB Mohd Haslin Hassan; Adun Paya Jaras, YB Mohd Khairuddin Othman dan Adun Dusun Tua, YB Razaly Hassan.

Ini kerana kedudukan DUN mereka banyak melibatkan kawasan kampung dan mereka lebih memahami keperluan masyarakat di kawasannya.

Adun Gombak Setia, YB Ustaz Hasbullah Ridzwan pula menggalas amanah untuk membawa isu belia. Ini kerana beliau lebih hampir dengan situasi belia. Adun Meru, Dr Abdul Rani Othman pula menyentuh isu keselamatan dan  kesihatan.

Sebenarnya tugas yang lebih besar untuk YB adalah membina satu negeri yang hormoni dan sejahtera berpandukan dasar-dasar kerajaan negeri. Ia melibatkan undang-undang, dasar dan hala tuju kerjaan negeri itu. Ini belum sampai ke peringkat yang terbaik dimainkan oleh YB-YB PAS.

Bagaimana pun ia boleh dipertingkatkan supaya disamping turun kepada masyarakat, YB-YB PAS perlu ke hadapan untuk membina satu polisi negeri yang baik untuk seluruh rakyat.  

Pada pemerhatian saya, aspek ini perlu dipertingkatkan untuk menjadi seorang Yang Berhormat dengan sebenarnya.

YB PAS `Tip Top’
 
Di luar kita tahu YB-YB PAS kerja memang `tip top’. Bekerja 7 hari  seminggu dan sampai lewat malam menyantuni rakyat. Belum ada kritikan yang besar yang kita dengar di mana-mana DUN di Selangor ini.

Ini membuktikan bahawa YB-YB PAS Selangor melakukan kerja dengan amat baik.

Cuma di Dewan Negeri iaitu tempat untuk menentukan dasar kerajaan Negeri penglibatan mungkin perlu dipertingkatkan.

PAS mesti berada dalam kerajaan Negeri…

Dewan Negeri ini adalah tempat yang terbaik untuk PAS menyumbangkan tenaga dan fikiran parti itu sendiri. Ini kerana bila parti mahukan sesuatu hala tuju itu diletakkan di tempat tertinggi dalam sebuah negeri maka YB-YB PAS harus mengemukakan idea itu kepada negeri dan tempatnya adalah Dewan Negeri.

Bagi saya PAS harus berada di posisi sekarang ini dan jangan sampai PAS terkeluar daripada apa yang sedia ada, iaitu terkeluar daripada kerajaan negeri yang bagus ini.

Saya sebenarnya risau jika PAS menjadi pembangkang kerana banyak peluang yang PAS boleh menyumbang dalam negeri yang sedang kehadapan ini.

Selangor bukan terbaik dalam dunia, bukan juga negeri yang cukup Islamik tetapi banyak yang terbaik yang boleh kita manfaat dan banyak amalan-amalan Islam yang boleh dikehadanpan.

Justeru, PAS mesti berada di persada ini dan jangan sampai terkeluar daripada posisi yang sedia ada kerana ia akan merugikan PAS dan perjuangannya.  

Pesan saya, sabar, jangan gopoh dan beristiqamahlah.{/mprestriction}