Kecemerlangan graduan PASTI berteras Islam

MIRI: Kecemerlangan PASTI melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran asas pembelajaran berteras Islam dan segala nilai serta moral mulia menyebabkan sambutan masyarakat kian meningkat.
 
Malah, Jabatan PASTI yang bernaung di bawah Dewan Pemuda PAS telah berjaya memperkenalkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dalam meningkatkan kemahiran para gurunya dan kualiti pendidikan tersebut.
 
Demikian maklum Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Ustaz Mohd Azam Abd Samat ketika merasmikan Majlis Ihtifal dan Graduasi PASTI Kawasan Miri di NAIM Clubhouse, Southlake, di sini semalam.
 
Pada majlis penuh gilang gemilang itu, 72 pelajar dari enam PASTI dalam kawasan itu menerima sijil dan anugerah masing-masing.
 
Wakil Ibu Bapa PASTI Miri, Mohd Izuan Khaleb yang turut memberi ucapan menyifatkan kecintaan kepada al-Quran dan al-Hadis diterapkan guru kepada para pelajar adalah asuhan paling diidamkan ibu bapa.
 
Katanya, kebaikan akhlak yang diteladani daripada guru juga adalah harapan utama berbanding kebolehan asas pembelajaran lainnya.
 
Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak, Mohammad Arifiazul Paijo; Pengarah PASTI Sarawak, Awangku Alizul Azahari Awangku Matali; Ketua Pemuda PAS Kawasan Miri, Ustaz Borhanuddin Daud dan ramai lagi. – HARAKAHDAILY 20/11/2017
Advertisement