Mengunjung Najib akan Anwar di hospital

POLITIK matang dan sejahtera yang digagas TG Haji Abdul Hadi Awang dipraktik oleh Perdana Menteri Najib dengan mengujungi musuh politik ketatnya TS Anwar Ibrahim yang menjalani rawatan di hospital.

Advertisement

Perdana Menteri dan isterinya disambut oleh Ketua Pembangkang, Dr. Wan Azizah Ismail di wad suaminya Anwar.

Memang politik tinggi, dan matang pada pandangan setengah, seorang ketua kerajaan ziarah seorang yang mahkamah sabitkan layak jadi banduan, seorang politik besar yang uzur di hospital. Mungkin boleh disamakan dan tindakan matang al-Marhum Sultan Kedah ziarah pusara as-syahid Ibrahim Libya dan rakan-rakan yang jamaah ulama rasmi Kerajaan Kedah dapati bughah – penderhaka.

Mana mungkin Sultan ziarah pusara penderhaka dan di mana kunjung banduan yang mahkamah sabitkan jenayah yang tak terkata? Melainkan matang yang payah difaham.

Hikmahnya mungkin ada, menenangkan suasana yang tegang.

Besar pahala tak terkira ziarah orang yang uzur.

Saya mendengar kaset riwayat TG Haji Abdul Hadi Awang puluhan tahun dulu, betapa 70 ribu malaikat sentiasa berada di sisi seseorang pesakit. Apabila datang pelawat, maka sekalian malaikat mendoakan keampunannya.

Melupakan segala yang terjadi, logiknya besar pahala Najib dan isteri beroleh dari ziarah ke atas seteru politik utamanya.

Tuhan yang tahu ziarah itu ibadat atau semata-mata suka-suka?

Akan tetapi sesiapa yang didoakan keampunannya oleh malaikat tentu beroleh bahagia. Doa malaikat tentulah diterima Allah kerana malaikat itu tidak buat hal-hal yang tidak diizin Allah.

Maka sedap membanyak takwil atas apa jua yang dilihat ibadat.

Yang jelas kunjungan Najib itu tidak memberi apa-apa kesan kepada politik Anwar Ibrahim. Itulah hebat dan lebihnya Anwar dengan yang lain.

Tiada siapa akan kata keduanya sudah berpakat. Tiada akan kata Anwar akan masuk UMNO dan akan kembali bersama kerajaan.

Belum tentu tiada spekulasi sekiranya Najib ziarah juga yang selalu masuk hospital itu. Adalah yang orang akan desuskan.

Tok Guru Haji Hadi, dengan zuhudnya patutnya kebal dengan unsur fitnah. Tapi beliau tidak sekebal Anwar. Orang tak akan ada apa-apa bila Najib mengunjungi Anwar.

Tapi apabila Najib mengunjungi Haji Hadi di hospital dan mengunjungi al-Marhum Dr. Haron Din di hospital dulu, heboh orang kata PAS hendak masuk UMNO dan Guan Eng pula yakin sangat PAS sudah bersatu dengan Najib.

Tidak sekadar yakin sangat TG sudah dan PAS sudah masuk UMNO, percaya juga PAS telah dibagi duit RM90 juta.

Percaya pula kebanyakannya PAS sudah dijual kepada UMNO. Semua penafian tidak dipercaya. Katakanlah TG Haji Hadi bersumpah junjung Quran, pun mereka tidak percaya.

Mungkin sampai mati pun mereka tidak percaya.

Najib pun tidak pernah percaya dan tidak penah memikirkan PAS dan Tok Gurunya Haji Hadi akan membawa penyokongnya masuk UMNO. Apa yang Najib mahu bukan PAS dan TG masuk UMNO, tetapi kalau semua orang boleh kata dan percaya beliau sudah bersama UMNO, maka itulah yang Najib suka.

Tidak perlu PAS berbaik dengan UMNO. Cukup dengan semua orang kata PAS sudah bersama UMNO.

Akan tetapi Najib tahu dan tak mahu Anwar bersama UMNO, dia percaya orang tidak percaya Anwar akan masuk UMNO, tetapi dengan dia mengunjung Anwar dia dapat melihat Anwar, ketuanya dulu. Lepas rindu. – HARAKAHDAILY 20/11/2017