Penarik beca diberi sara hidup RM1,200

MENGAMBIL kira bebanan yang terpaksa ditanggung penduduk miskin ekoran kenaikan harga barang dan GST, kerajaan Kelantan memperkenalkan beberapa insentif kepada golongan tersebut.

Advertisement

Antaranya bantuan sara hidup sebanyak RM1,200 setahun kepada penarik-penarik beca berdaftar. Ia akan dibayar dua kali tahun hadapan.

Selain itu mengecualikan cukai pintu premis-premis yang dikenakan cukai RM50 ke bawah.

Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pelajar-pelajar tingkatan satu daripada keluarga miskin yang mendaftar di sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) pula diberi bantuan pendidikan RM100.

“Bayaran denda berkaitan premium tanah dan bayaran denda lewat bayar cukai tanah akan diberikan diskaun sebanyak 90 peratus.

“Penyambungan semula meter air secara percuma bagi pelanggan-pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang membuat sambungan semula,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2018 hari ini.

Menurutnya diskaun berkaitan tanah dan sambungan semula percuma berkaitan air bagi tempoh bermula 1 hingga 31 Disember 2017. – HARAKAHDAILY 20/11/2017