Seruan PAS: Satukan Umat (2)

Nik Abduh

USAHA menyatukan umat Islam bukanlah mudah. Ia seperti mengubati penyakit kronik akibat kesalahan sendiri yang dibiarkan lama akibat kejahilan dan kealpaan. Ia akhirnya mengundang penyakit demi penyakit yang berkait-kait. Untuk keluar dan membebaskan diri daripadanya, ia memerlukan rawatan yang bersifat menyeluruh.

Advertisement

Kerana itu, seruan ke arah kesatuan umat bukanlah sedikit atau kecil, bahkan hasil kesedaran dan keinsafan, suara-suara yang menyeru kepada kesatuan umat boleh didengari di mana-mana. Ia sudah pastinya amat positif. Malangnya penawar sebenar atau doktor yang berkaliber masih belum ditemui untuk sebuah rawatan yang sempurna.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Hakikatnya perpecahan umat adalah balasan Allah ke atas umat manusia yang engkar kepada ajaran tuhannya. Jika umat terdahulu dihukum dengan kehancuran besar melalui siri bencana besar seperti gempa bumi, ribut taufan, banjir besar dan azab dari atas dan bawah yang membunuh dan menghancurkan umat, tetapi umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam pula diberikan pilihan azab yang paling ringan iaitu perpecahan sesama sendiri yang antara sifatnya adalah masih membuka peluang kepada pintu taubat sebelum kedatangan ajal.

Ertinya dalam kesakitan azab perpecahan yang tentunya boleh mengakibatkan permusuhan, bahkan perang saudara sesama sendiri, umat Islam masih diberi nyawa dan peluang untuk kembali bertaubat di atas jalan-Nya yang lurus. Adapun umat terdahulu, sebaik kehancuran besar berlaku secara tiba-tiba, pintu taubat telahp pun tertutup.

Saya telah ungkapkan dalam tulisan awal sebelum ini bahawa umat Islam berpecah belah adalah akibat gagal berpegang kepada asas-asas ugama yang kukuh yang mampu menyatukan umat dengan teguh. Ia adalah kelalaian dan kejahilan yang nyata. Ia seolah-olah umat Islam hari ini sudah lupa bahawa membina kesatuan umat adalah satu kewajiban besar yang perlu dijaga secara bersama. Mereka sampai lupa bahawa hidup dalam perpecahan umat tanpa usaha kesatuan adalah dosa yang melanggar pelan asal kehadiran ugama Islam di bumi iaitu membina kejayaan ugama melalui kesatuan umat yang jitu.

Penawar

Penawarnya adalah keikhlasan, kesungguhan dan kekuatan yang benar menuju Allah. Jika ia tidak ditemui, maka penawar yang diberikan hanyalah ubat tahan sakit yang sementara sifatnya. Selepas beberapa ketika, kesakitan perpecahan akan kembali merundung. Usaha tersebut walaupun terpuji, namun ia masih lemah untuk mencipta penawar yang sebenar.

PAS adalah sebuah kesatuan umat Islam yang turut berperanan dan berusaha keras menyatukan umat Islam di dalam negara. Adalah jelas pandangan PAS bahawa kelemahan umat Islam dan negara adalah akibat kesatuan umat yang rapuh dan sering dieksploitasi untuk kepentingan peribadi dan kelompok yang berkuasa. Justeru ia sering terbantut, lalu menjadi sebab kepada fitnah berpanjangan. Ia juga mengakibatkan sifat lemah semangat dan putus asa melanda umat Islam yang pastinya akan tambah melambatkan usaha penyatuan.

Tetapi PAS hadir di persada umat tanpa putus asa. Umurnya yang sudah melewati 60 tahun menjadikannya sebuah kesatuan umat Islam yang tertua yang terus gagah berjuang mengajak umat kepada jalan Islam yang lurus dan benar. PAS malah semakin menonjol di dalam sendi politik, dakwah, tarbiyah, pendidikan, sosial, kebajikan, kesukarelawanan dan sebagainya sehingga tidak lagi dipandang enteng terhadap sumbangannya di dalam memajukan negara.

Malah PAS hari ini mula melangkah yakin memberikan solusi-solusi Islam yang ampuh di dalam isu ekonomi, kewangan dan perundangan negara yang semakin kritikal. PAS menawarkan, malah ‘memulakan’ praktikal sistem ekonomi dan kewangan Islam yang akhirnya diterima dan diadaptasi oleh pihak pemerintah. Antaranya keberanian menolak pemakaian kewangan berunsur riba di Kelantan, pajak gadai Islam (al rahnu), pinjaman tanpa riba untuk pegawai kerajaan, melonjakkan sistem percukaian Islam bagi menggantikan cukai GST, solusi rumah mampu beli yang adil dan sebagainya.

Ini adalah contoh bagi pengenalan PAS hari ini yang terus berperanan  memajukan negara dengan Islam yang bersih dan benar. Dalam konteks kesatuan umat, ia adalah sebagai pengenalan terbaik bagi mengajak masyarakat Islam agar melihat PAS dengan penuh positif sebagai sebuah jamaah yang disediakan bagi sebuah kesatuan sebenar umat Islam di dalam negara ini.

Usaha PAS

Sekarang saya lakarkan serba ringkas bagaimana PAS begitu berusaha keras meletakkan dirinya menjadi inspirasi utama ke aras kesatuan umat. Usaha keras dan penuh istiqamah inilah akhirnya yang membebaskan dan menyelamatkan PAS daripada kehancuran akibat halangan, fitnah dan kezaliman oleh mereka yang zalim dan penuh dendam kesumat. Jika tidak, pastinya PAS telah pun berkubur sebagaimana parti-parti lama dan sezamannya yang lain.

Pertama, PAS beriman dengan Islam yang syumul, lengkap dan sempurna. Ia merangkumi sifat ugama Islam yang rabbani, akidiyah, alamiyah, akliah, sederhana dan sejahtera. Ia juga merangkumi ruhani dan jasmani serta deen dan daulah.

Ini menjadikan PAS begitu kukuh untuk diserang daripada sudut-sudut lemah yang cuba diintai dan dicapai peluang oleh musuh yang berusaha memfitnah PAS sebagai sebuah parti yang sesat atau hanya memperkudakan ugama untuk kepentingan politiknya. Justeru di dalam pergerakan dan aktivitinya, PAS hampir saja memasuki segala sendi kehidupan masyarakat untuk memperkenalkan dirinya dengan solusi yang Islamik dan menarik sekali.

Kedua, PAS sentiasa melengkapkan dirinya menuju kesempurnaan. Ia adalah dinamika yang begitu penting bagi menempatkan dirinya di tengah-tengah masyarakat sebagai contoh dan teladan untuk umat. PAS selain membina jentera, sistem dan struktur parti yang diperbaharui mengikut hambatan semasa, ia juga sentiasa melahirkan sumber insan dan para pejuangnya yang semakin sempurna dengan ilmu dan tenaga yang mantap.

Masyarakat tanpa sekatan mampu menilai PAS dan membina keyakinan diri mereka dari satu tahap ke tahap seterusnya sehinggalah mereka berpuas hati dengan kekuatan dan kelayakan PAS. Hari ini menempatkan kekuatan sumber manusianya di setiap bidang dan lapangan. Mereka memperkenalkan PAS melalui tindakan dan bukan sekadar laungan dan teriakan penuh semangat.

Ketiga, PAS memiliki suara paling penting di dalam dakwah kepada Allah. Ia adalah suara para ulamak yang amilin (bekerja) di medan kehidupan. Para ulamak adalah lidah ugama sebagaimana para penguasa adalah pengawal kedaulatannya. Tanpa kehadiran para ulamak, seruan kepada perpaduan Islam adalah sukar sekali. Ini kerana suara yang paling ditakuti di dalam usaha penyatuan umat adalah suara para ulamak juga. Masyarakat Islam terbina dengan institusi ulamak sebagai tiang utama kehidupan mereka.

Kekuatan suara para ulamak di dalam PAS boleh dilihat secara jelas melalui institusi Majlis Syura Ulamak sebagai badan tertinggi yang mengawal dasar-dasar parti, Dewan Ulamak PAS yang berjaringan di seluruh negara bagi memastikan peranan terbaik oleh para ulamak di dalam masyarakat. Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat juga dibarisi oleh para ulamak yang bergandingan bekerja bersama para pejuang yang lain.

Keempat adalah keterbukaan PAS. Walaupun dilihat begitu eksklusif di dalam menentukan kepimpinannya demi memilihara nilai dan kualiti parti, PAS begitu terbuka di dalam merangkumkan umat Islam seluruhnya sebagai pendukung dan penyokong parti. Malah PAS semestinya melihat rakyat Malaysia sebagai sumber kekuatannya yang sebenar.

Salam keamanan

Kesatuan tidak akan dicapai tanpa huluran salam kesejahteraan dan keamanan kepada seluruh rakyat termasuk golongan bukan Islam yang penting di dalam menjamin kesejahteraan dan kestabilan negara. PAS berjaya menonjolkan keterbukaannya melalui hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam dalam negara. Malah, melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), PAS berjaya menarik golongan bukan Islam turut menyumbang di dalam perjuangan politik ke arah sebuah negara yang menerapkan nilai-nilai Islam yang syumul di dalam pentadbiran dan pemerintahannya.

Pembentukan Gagasan Sejahtera bersama beberapa parti lain, selain sokongan terbuka oleh pertubuhan NGO-NGO adalah petunjuk penting bahawa PAS sentiasa terbuka di dalam berganding bahu ke arah Malaysia yang lebih baik dengan nilai kesejahteraan.

Kelima, PAS menyatukan fraksi-fraksi Islam yang bertelingkah di dalam soal-soal cabang. Ini adalah bukaan paling penting ke arah kesatuan umat. Anda akan mendapati bahawa PAS berjaya menolak ke tepi isu-isu khilafiah yang sentiasa menghantui penyatuan umat Islam. Anda boleh melihat mereka yang bertelingkah di luar tiba-tiba boleh duduk semeja berbincang mengenai isu-isu umat yang penting. Akhirnya ketajaman bertukar ketumpulan, kepanasan bertukar kenyamanan dan kemarahan bertukar kepada kasih sayang.

Keenam adalah penyuburan tiga kekuatan utama Islam di dalam PAS. Ia adalah kekuatan akidah, kekuatan ukhuwwah atau persaudaraan Islam dan kekuatan jihad fi sabilillah.

Kekuatan akidah yang benar adalah terpenting. Ia membina tiang utama parti PAS sehingga begitu teguh menerjang badai perjuangan. Akidah membina prinsip perjuangan ahli sehingga sukar bagi pihak musuh untuk merobohkan PAS dari luar dan dalam.

Kekuatan ukhuwwah juga begitu penting. Ia membina kesatuan dalaman yang nantinya mampu menarik seluruh umat Islam untuk turut bersatu dan bernaung di bawah lembayung persaudaraan Islam yang kukuh.

Kekuatan jihad adalah paling utama. Tanpa jihad, perjuangan akan terhenti bahkan berkubur dibadai gelombang kejahatan yang siang dan malam bekerja keras untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Justeru PAS, dengan ketiga-tiga kekuatan tersebut semestinya mampu menyatukan umat yang terumbang ambing dilambung ombak perpecahan hari ini.

Ketujuh adalah jaringan persaudaraan Islam sejagat. PAS tidak mencampuri urusan negara luar. Tetapi PAS membina hubungan melalui nilai persaudaraan Islam sejagat. Umat Islam sedunia adalah aset penting kekuatan umat, bahkan keamanan sejagat. Dengan PAS yang begitu berperanan di peringkat antarabangsa, adalah semestinya ia akan mendapat tempat baik di hati masyarakat untuk menerima PAS sebagai peneraju penting ke arah kesatuan umat Islam.

Setelah anda melihat tujuh petunjuk utama di atas, maka anda mampu melihat dengan jelas bagaimana PAS bekerja keras membimbing umat kepada kesatuan Islam yang sebenar. Ia bukan tugas yang mudah. Ia adalah perjuangan yang perlu dikendalikan dengan betul, ikhkas dan istiqamah. Salam daripada PAS untuk seluruh rakyat Malaysia.{/mprestriction}