Beku projek mewah: CAP telah kata 29 tahun lalu

MENTERI Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah mengumumkan bahawa kerajaan akhirnya akan bertindak membekukan pembangunan hartanah mewah mulai 1 November 2017 kerana sektor  ini dibelenggu pelbagai masalah.

Advertisement

Pembekuan itu akan membabitkan kondominium pencakar langit, pusat membeli-belah, unit-unit komersial, termasuk hartanah yang bernilai lebih daripada RM1 juta.

CAP ingin mengulangi fakta bahawa kami telah memberi amaran mengenai senario ini sejak 28 tahun yang lalu melalui buku terbitan kami berjudul ‘Housing for the People’. Namun amaran itu tidak diendahkan hingga sekarang.

Menurut kandungan buku tersebut, “punca masalah perumahan ialah sumber-sumber binaan negara disalurkan bukan untuk memenuhi keperluan rakyat yang memerlukan rumah, tetapi lebih kepada pasaran yang boleh membayar.”

Masalah seumpamanya bercambah di seluruh negara, berikutan pembinaan secara berlebihan hartanah mahal yang tidak digunakan kerana sebahagian besar penduduk di negara ini tidak mampu untuk memilikinya. Misalnya istilah ‘perumahan mampu milik’ begitu mengelirukan kerana harganya adalah sekitar RM400,000 seunit.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah merendahkan had itu kepada RM300,000 di bahagian pulau dan RM200,000 di bahagian Seberang Perai. Namun jumlah itu pun masih tidak mampu dibeli oleh orang kebanyakan.

Kita perlu mengambil kira bahawa kelemahan serius dasar perumahan negara telah menimbulkan masalah kepada unit-unit hartanah yang tidak terjual, boleh menyebabkan pemaju, bank dan negara bergelut dalam masalah kewangan.

Kami menggesa kerajaan agar memberikan tumpuan untuk menyediakan perumahan kepada rakyat miskin, sama ada rumah pangsa kos rendah atau jenis sewa untuk memiliki (rent-to-own). Tidak ada gunanya membina ‘rumah mampu milik’ dengan nilai ratusan ribu ringgit secara berlebihan kerana selepas membayar kepada bank, nilai unit hartanah itu akan meningkat dua kali ganda daripada harga asal. – HARAKAHDAILY 21/11/2017