Kadar faedah tidak harus dinaikkan

MazliZ

EKONOMI Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) memberangsangkan untuk Suku Ketiga 2017 iaitu tumbuh 6.2%. Trend menaik ini konsisten dengan pertumbuhan baik yang telah dicapai untuk Suku Pertama 2017 iaitu 5.6% dan Suku Kedua 5.8%. Percapaian ini melebihi ramalan yang telah di buat oleh ramai pihak samada oleh firma penganalisa dan juga bank-bank pelaburan.

Advertisement

Sebagaimana trend di atas, Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat dalam kenyataan nya yang lalu menjangkakan bahawa KDNK Malaysia boleh tumbuh pada kadar lebih 5% untuk tahun ini. Ini selari dengan ramalan yang dibuat oleh industri iaitu diantara 5.2% hingga 5.4%.

Berdasarkan prestasi dan trend pertumbuhan ekonomi yang positif sekarang, firma-firma penganalisa dan bank-bank pelaburan tempatan dan antarabangsa meramalkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikan kadar faedah dalam tahun 2018 akan datang. Jangkaan mereka akan berlaku dua kali kenaikan yang mungkin dimulakan dengan kenaikan 25 mata asas. Untuk makluman kali terakhir Jawanankuasa Polisi Kewangan BNM (MPC) menurunkan Kadar Asas Semalaman (OPR) adalah pada Julai 2016 iaitu penurunan 25 mata asas. Dan dalam mesyuarat terbaru MPC, OPR telah dikekalkan pada kadar 3%.

Berdasarkan kedudukan semasa yang berlaku ini, kami berpandangan bahawa kadar faedah tidak harus dinaikkan buat masa ini dan sehingga sekurang-kurangkan Suku Ketiga 2018.

Ini adalah berdasarkan suasana isi rumah Malaysia yang masih tidak stabil. Ketidak stabilan ini disokong oleh kadar inflasi yang terus meningkat iaitu naik 2.4% mengikut data terbaru Jabatan Statistik untuk bulan September 2017. Untuk tempoh yang sama Indeks Harga Pengguna (CPI) juga naik 4.3%. Mengikut laporan BNM, faktor utama yang mendorong keadaan ini adalah kenaikan berterusan harga minyak.

Keadaan kesempitan isirumah juga dapat dilihat pada parameter ekonomi Malaysia lain yang juga semakin merosot sebagai contohnya suasana pasaran hartanah yang makin lembab dan menuju kejatuhan. Mengikut laporan oleh BNM, jumlah hartanah yang tidak terjual sehingga bulan Mac 2017 adalah tertinggi untuk dekad ini iaitu 130,690 unit, yang mana 83% yang berharga RM250,000 ke atas. Hasil daripada itu kerajaan telah mengeluarkan arahan pembekuan pembinaan hartanah mewah lebih RM1 juta berkuatkuasa 1 November 2017.

Parameter bank-bank yang dinilai daripada Nisbah Pinjaman Deposit (LDR) yang tinggi melebihi 90% juga amat membimbangkan dan mengesahkan kesempitan keadaan isirumah kini, yang juga memberi kesan kepada permintaan. Ini disokong oleh kenyataan terbaru dari Ketua Pengarah Jabatan Statistik Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bahawa pertumbuhan kadar simpanan rakyat Malaysia adalah membimbang. Malah laporan yang dikeluarkan oleh Khazanah Research Institute dalam tahun 2016 bahawa kadar simpanan rakyat Malaysia adalah yang terendah di dunia pada 1.4% daripada pendapatan boleh guna, mengesahkan kedudukan ini.

Berdasarkan senario sekarang ini, permintaan harus terus disokong dan dengan itu kami berpandangan rakyat haruslah tidak terus ditekan dengan kenaikan kadar faedah. Jesteru, kadar faedah hendaklah dikekalkan sehingga iklim ekonomi mencapai tahap yang lebih kondusif pada masa akan datang.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi,
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.
2 Rabiul Awal 1439H/21 November 2017. – HARAKAHDAILY 21/11/2017