PAS Batu teruskan prosiding saman terhadap PAN

MAHKAMAH semalam telah bersidang untuk pendengaran prosiding saman terhadap 4 orang ahli bekas AJK PAS Kawasan Batu yang telah bermufaraqah dan kini merupakan penggerak PAN Batu.

Advertisement

Permohonan yang difailkan oleh pihak PAN untuk menggugurkan tuntutan PAS ini bagaimanapun tetap akan diteruskan walaupun PAN membangkitkan isu nama pertubuhan PAS, salah satu daripada 3 penama Plaintif, atas alasan entiti PAS tidak mempunyai ‘locus standi’ terhadap saman kerana nama pertubuhan PAS tidak dicatat di dalam geran premis tersebut.

Permohonan tersebut yang telah dibenarkan oleh mahkamah itu walau bagaimanapun tidak menjejaskan perjalanan kes iaitu saman tetap akan diteruskan menerusi satu plaintif iaitu pemilik berdaftar bangunan tersebut.

PAS Batu menyifatkan permohonan ini hanyalah sia-sia dan usaha PAN untuk melengah-lengahkan prosiding Mahkamah. Ini kerana, melalui satu Surat Ikatan Amanah antara pemilik berdaftar bangunan tersebut Haji Mansur Ali dengan PAS Batu, Haji Mansur secara jelas telah mengakui bahawa beliau hanya memiliki bangunan tersebut sebagai pemegang amanah bagi pihak PAS Batu.

Pengarah JUHAM, Wan Rohimi yang mewakili PAS Batu dalam tindakan ini berkata, barisan peguam percaya keputusan menggugurkan nama PAS sebagai Plaintif langsung tidak mengurangkan merit kes, dan PAS tetap akan meneruskan saman terhadap PAN. Bersama-sama Wan Rohimi daripada pihak peguam Plaintif ialah Nazrin Abu Bakar dan Izzat Ghazali.

YDP PAS Batu, Ustaz Azhar Yahya ketika ditemui berkata, segala duit infaq yang dikutip daripada generasi PAS terdahulu hanyalah bertujuan untuk menjadikan bangunan tersebut sebagai markas operasi bagi kegunaan jemaah PAS. Tambah beliau lagi, tindakan PAN menafikan hak PAS adalah perbuatan yang biadap dan khianat terhadap amanah para penderma. Beberapa siri rundingan dengan Defendan yang masih menemui jalan buntu telah menyebabkan PAS memfailkan saman untuk mendapatkan kembali hak mereka.

Kes yang dibicarakan di hadapan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim hari ini telah menetapkan 24  Januari 2018 depan sebagai tarikh pengurusan kes yang seterusnya. – HARAKAHDAILY 21/11/2017