Tahanan Memali disiksa untuk akui cerita rekaan

BALING: Kertas Putih disediakan oleh pihak berkuasa diadakan bertujuan untuk membolehkan mereka yang terlibat dengan tragedi berdarah Memali ditangkap dan ditahan dibawah ISA, demikian dinyatakan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan pada Pengkisahan Tragedi Memali di Madrasah Islahiah Diniah, Memali, di sini, kelmarin. 
 
Katanya, pada November 1984, satu Kertas Putih berhubung ancaman perpaduan umat Islam dan negara telah diadakan dan setahun selepasnya iaitupada 19 November 1985, berlakulah peristiwa yang sehingga kini menjadi ingatan setiap pencinta Islam.
 
“Tidak salah mewujudkan undang-undang, namun ia kerap kali disalahgunakan untuk tujuan politik parti tertentu,” ujar beliau.
 
Terang beliau, ironinya apabila seseorang itu ditangkap pihak berkuasa, maka ia perlu mengaku bersalah terlebih dahulu sehingga dibicarakan untuk mendapatkan keadilan sewajarnya sekiranya tidak bersalah. 
 
Insiden berkenaan jelasnya, berkait rapat dengan tekanan dan desakan dari pihak pendakwa agar membolehkan mangsa tangkapan mengaku bersalah dan perkara sedemikian dilakukan
kepada mangsa-mangsa tahanan Memali untuk mendapatkan kenyataan bagi membolehkan Kertas Putih itu diwujudkan. 
 
“Kebanyakan kenyataan yang diambil dari tahanan secara paksa dan ketika mereka diugut serta disiksa,” kata beliau lagi.
 
Berkongsi pengalaman sebagai peguam, beliau memaklumkan, sekiranya berlaku kematian orang awam akibat ditembak oleh pihak polis, maka akan diadakan siasat untuk mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku.
 
Namun katanya, kejadian Memali yang melibatkan 18 kematian di mana empat antaranya anggota polis dan puluhan yang cedera, malangnya tiada satu penyiasatan diadakan sehingga ke hari ini.
 
Justeru itu, Kertas Putih yang dibentang oleh Tan Sri Musa Hitam pada Februari 1986, menyebut bahawa terdapatnya penubuhan gerakan revolusi Islam untuk menggulingkan kerajaan secara bersenjata adalah amat memalukan.
 
Sebaliknya tempelak beliau, apabila dirujuk, senjata itu cumalah parang, kapak, buluh runcing, senapang patah dan jamung, selain disertakan gambar kolah air yang dikatakan mengandungi air jampi.
 
Sehubungan itu, cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) perlu mendapat sokongan dari semua pihak agar dakwaan yang terdapat di dalam Kertas Putih berkenaan dan kematian 14 syuhada serta empat orang anggota polis dapat disiasat untuk mendapatkan keadilan serta kebenaran.
 
“Kita tidak mahu pihak tertentu menggunakan kuasa mereka menganiaya mangsa-mangsa tragedi ini dan seterusnya fitnah terhadap mereka tiada pembelaan,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 21/11/2017
Advertisement