Kempen borang rumah generasi Felda makin rancak

USAHA ini memberi lembaran baharu kepada ribuan anak peneroka Felda di 20 tanah rancangan di Terengganu sejak beberapa bulan lalu dan isu ini semakin panas selepas Bajet 2018 dibentangkan baru-baru ini.

Advertisement

narazaIni mengulangi episod sebelum PRU13 yang lalu, bila tempoh penggal parlimen ke-13 sudah tinggal sekitar hanya beberapa bulan sahaja lagi, cerita pasal borang rumah untuk mereka mula didendang semula.

Jika dilihat janji PRU13 seperti projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), Terengganu dijanjikan projek ini akan dilaksanakan di beberapa tanah rancangan seperti Felda Chalok Barat, Felda Seberang Tayur, Felda Kertih dan beberapa lagi seperti Felda Bukit Bading yang sudah dibersihkan tapaknya oleh YAB Menteri Besar Terengganu pada 2012.

Projek Perumahan Warga Felda (PWF) yang diperkenalkan oleh Pengerusi Felda ketika itu, Tan Sri Dr Yusof Noor pada 2010 di Felda Neram1 sehingga akhir Oktober 2017 masih belum diagihkan walaupun pada asalnya rumah ini sudah siap sepenuhnya.

Bila pihak kami membangkitkan isu ini pada awal 2016, YB Adun Air Putih berjanji kepada anak-anak Felda Neram, projek ini akan diagihkan pada akhir 2016. Temuduga sudah dijalankan penghujung 2016 bila desakan demi desakan dibuat.

Dipercayai seramai 900 peserta temuduga dipanggil dan sampai sekarang masih menjadi tanda tanya dan ada desas desus mengatakan temuduga akan dibuat semula. Mengapa semua ini menjadi rumit? Atau ada agenda umpan menjelang pilihan raya?

Sebelum ini Ahli Exco kerajaan negeri terpaksa turun di Felda Bukit Bading untuk majlis pencerahan pembahagian lot di tapak PGBF yang bersihkan 2012 gagal dibina walaupun sebatang tiang rumah daripada cadangan untuk menyediakan 98 unit PGBF yang jangkaannya boleh diduduki 2014.

Bila anak-anak peneroka Felda Bukit Bading bangkit mendesak kerajaan tunaikan hasrat mereka, sekali lagi borang diagihkan. Sekali lagi majlis diadakan dan sekali lagi mereka menaruh harapan tinggu untuk memiliki rumah. Dan sekarang kerajaan menukar strategi dengan menawarkan lot sahaja dan rumah akan cuba dibina oleh agensi lain seperti SPNB dan MyHome.

Manakala di Felda Belara pada 20 November lalu Felda terpaksa memanggil anak-anak generasi kedua untuk sekali lagi memberi taklimat perumahan dan pengagihan borang rumah kepada golongan ini.

Disusuli pula pihak pengurusan Felda Chalok Barat memanggil temuduga pada 22 November 2017. Seramai 121 peserta dipanggil untuk diberi peluang memiliki rumah melalui skim SPNB. Ke mana peruntukan PGBF mereka sebelum ini untuk dibina187 unit rumah. Selepas pihak media BuletinOnline membuat liputan khas projek ini beberapa bulan lalu, pihak pengurusan Felda mula mengagihkan borang tawaran pembelian rumah kepada anak peneroka di sini.

Kempen borang yang sedang digerakkan sekarang jika datang dari tanggungjawab kerajaan memang dialu-alukan dan ianya satu berita gembira. Jika ianya hanya diulang-ulang seperti beberapa siri sebelum pilihan raya sebelum ini sewajarnya anak-anak peneroka Felda bangkit memberi amaran tentang keperluan mereka ini bukan permainan untuk dipermainkan oleh pihak kerajaan yang memerintah sekarang ini. – HARAKAHDAILY 22/11/2017

Penulis ialah Pegawai Khas Seranta Felda PAS Terengganu.