PAS tidak melatah difitnah UG

TITIWANGSA:  PAS Kawasan Titiwangsa telah mengadakan ceramah bertajuk “UG vs UP” yang menjawab segala fitnah seperti isu ‘Unity Government‘ (UG) serta penerangan berkaitan penyelesaian diutarakan PAS dalam politik negara di Kampung Datok Keramat, di sini semalam.
 
Ceramah anjuran Lajnah Penerangan PAS Titiwangsa itu menampilkan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad; Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Dr Khairuddin Razali Aman At-Takiri dan Ketua Penerangan PAS Titiwangsa, Ustaz Raihan Abdul Aziz.
 
Menurut Ustaz Idris, PAS pada masa ini diserang dari segenap penjuru hingga setiap tindakan pimpinannya ditangkap muat lalu dibuat tafsiran dan keterangan yang menimbulkan persepsi negatif kepada PAS. 
 
Jelas beliau, dari isu baju sedondon sehingga duduk semeja, lensa musuh politik sangat pantas menyebar fitnah dan skeptisma, namun PAS sehingga kini terus berdiri teguh kerana memiliki prinsip dan integriti. 
 
“PAS tak tergopoh-gapah menyebar gambar-gambar kontroversi pihak lawan dengan ‘caption‘ yang berbaur provokasi. Kita ada gambar-gambar tersebut, malah berita berkenaan disiarkan oleh syarikat berita MalaysiaKini,” ujar Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mengadakan penjelasan menerusi tayangan gambar adegan keakraban pimpinan PH dengan BN. 
 
Terdahulu beliau menjelaskan, idea UG yang pernah disuarakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada tahun 2007 di mana ia mendapat tentangan lantaran salah faham berkenaan frasa UG berkenaan. 
 
Pun begitu menurutnya, rentetan idea tersebut, bekas Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim muncul dengan idea Konsensus Nasional, sekali gus mengajak Presiden PAS untuk bersetuju dengan beliau, tetapi Tuan Guru bertindak bijak mengambil sikap tidak bersama. 
 
Sementara Dr Khairuddin membentang berkenaan inisiatif ditawarkan PAS dalam menangani ekonomi negara yang kian kronik antaranya penegasan bahawa PAS menolak GST kerana Al Qur’an mengharamkan cukai dikutip daripada orang-orang miskin walaupun jumlahnya sedikit.
 
“Ini bukan bermakna, PAS menolak semua jenis cukai. Bahkan, PAS memperkenalkan cukai yang dikenakan kepada orang kaya, iaitu cukai simpanan korporat dan cukai saham,” jelas beliau yang turut menyatakan statistik kasar hutang negara di mana telah mencecah RM 685 bilion sehingga Jun 2017. 
 
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menjelaskan, negara akan mendapat keuntungan berganda sehingga RM 57 bilion setahun jika mengamalkan kaedah Islam dalam pentadbiran ekonomi negara seperti yang dicadang PAS itu.
 
Manakala Ustaz Raihan Abdul Aziz pula mengingatkan ahli PAS supaya istiqamah memperjuangkan syariah Allah dengan mengambil kandungan al-Quran dan menjauhi taksub akal.
 
Katanya, segala dilalui PAS dalam dunia politik sejak 1951 termasuk dikhianati kawan dalam kerjasama, namun tetap teguh dengan prinsip Islam diperjuangkan. 
 
Tegas beliau, PAS tidak akan sekadar berhenti di Putrajaya, bahkan hingga ke Syurga Allah di mana PAS komited melawan kemungkaran serta kezaliman, disamping mencetuskan pelbagai alternatif demi pembangunan negara yang sejahtera. – HARAKAHDAILY 22/11/2017
Advertisement