Bajet 2018: Belia Perak perlukan rumah

DEWAN Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) meneliti pembentangan Bajet 2018 dari Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dalam isu-isu yang sangat hampir dengan belia. Dalam penilitian kami, ucapan Menteri Besar seolah-olah tidak membentangkan jumlah yang tepat bagi tempoh tahunan kejayaan menyelesaikan masalah perumahan tetapi banyak bercerita sejak dari awal pelaksanaan.

Advertisement

akmalperakSeandainya Menteri Besar cuba mengambi langkah mengelabukan mata rakyat dengan angka yang “dilihat banyak”, seharusnya beliau membuka kembali manifesto Barisan Nasional pada PRU13 yang lalu. Janji BN 20,000 unit perumahan rakyat akan dibina ke arah setinggan sifar hanya omongan yang tidak mampu direalisasikan.

Lebih malang lagi apabila saban tahun peruntukan Lembaga Perumahan Hartanah Perak (LPHP) ditambah, namun gagal menyampaikan kepada rakyat terutamanya golongan muda. Carian di google ternyata hanya terdapat cerita lama dan carian di FB pula menjumpai laman rasmi hanya 15 orang yang mengikuti. Sewajarnya pihak kerajaan negeri bukan hanya megah merancang, apa yang dimahukan anak muda adalah melaksanakan perancangan perumahan ini dengan efektif dan efisyen.

DPPN Perak menyatakan kebimbangan pada peruntukan RM56 juta buat LPHP hanyalah bersifat gula-gula menjelang PRU14. Dalam masa yang sama, rakyat juga masih kabur peranan dan tugas LPHP sedangkan senarai projek PPRT dikeluarkan dari Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Apakah jaminan bahawa rumah yang dijanjikan dapat diselesaikan pada 2018?

Kerajaan Negeri Perak perlu sedar bahawa dalam suku pertama 2017, sebanyak 130,690 unit jumlah harta tanah kediaman tidak terjual di seluruh Malaysia. Salah satu faktor utama adalah kerana harga rumah yang terlalu tinggi dalam keadaan pendapatan isi rumah masih dalam kadar yang rendah dan sederhana. Rumah yang terjual hanya mampu lihat. Kegagalan pihak kerajaan mengurus isu perumahan, memberi kesan yang buruk kepada anak muda malahan meningkatkan migrasi anak muda Perak ke luar.

DPPN Perak mendesak agar pihak kerajaan Negeri Perak bersifat serius, telus dan proaktif dalam membantu belia muda memiliki rumah. Belia Perak perlukan rumah untuk didiami. Jangan hanya waktu PRU ditabur janji namun hakikatnya gagal ditepati. Ini juga selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al Maghfurlah dalam perasmian Mesyuarat Pertama penggal keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan ketiga belas lalu yang mahukan isu rumah dan belia dapat diselesaikan segera.

Mara Menuju Cita
Sedia Memerintah

Mohd Akmal Kamarudin
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
23 November 2017 – HARAKAHDAILY 23/11/2017