Kompleks perikanan gagal, nasib nelayan tiada pembelaan

MELAKA: Kompleks Perikanan Muara Sungai Duyong dekat sini, berharga RM40 juta masih tidak dapat beroperasi berikutan masalah kawasan cetek dan mendapan berlumpur yang menjadi punca bot-bot nelayan sukar untuk berlabuh di jeti berkenaan.
 
Menurut Timbalan Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar, Dr Mohd Khalid Kassim, kompleks yang dibina sejak 2013 dengan harga RM40 juta itu menjadi projek gajah putih dan pembaziran wang rakyat.
 
“Hampir empat tahun sejak kompleks ini siap pada 2013, ianya tak boleh digunakan kerana masalah kawasan cetek dan mendapan lumpur hingga bot-bot nelayan sama ada besar atau kecil tak dapat masuk ke kawasan jeti kompleks.
 
“Bilakah Hub Perikanan ini akan mula beroperasi? Kren pemunggah ikan dah berkarat dan pembangunan yang pesat di kawasan sekitar telah menyebabkan sistem ekologi musnah.
 
“Projek ini dibina di tempat yang tidak strategik dan tanpa dibuat kajian secara mendalam hingga menyebabkan ianya tidak boleh digunakan sebaik sahaja siap dibina,” ujarnya.
 
Beliau menjelaskan, projek tersebut pada perancangan asalnya bertujuan menyediakan kemudahan kepada nelayan dari Sungai Melaka yang dipindahkan kerana memberi laluan kepada projek pengindahan Sungai Melaka.
 
Terangnya, projek itu sepatutnya dibina pada Oktober 2008, tetapi tertangguh selama tiga tahun sebelum dimulakan pada 2011 dan siap sepenuhnya pada 30 Jun 2013.
 
“Banyak kemudahan yang seperti dua unit bilik sejuk, jeti pendaratan ikan, ruang pemasaran ikan, ruang pembaikan jaring, jeti tambatan bot, pejabat pengurusan, kantin dan kemudahan membaik pulih bot terbiar begitu sahaja.
 
“Kita minta pihak yang bertanggungjawab melakukan sesuatu bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat seperti menjadikannya sebagai pusat medan selera makanan laut, ikan bakar dan sebagainya,” aju beliau yang juga Adun Bukit Baru. – HARAKAHDAILY 23/11/2017
Advertisement