Perihal WINS 2051 (Siri 8)

Pendidikan: Pelajar bukan bahan uji kaji

Advertisement

1. TERAS kedua negara yang dikenalpasti adalah pendidikan. Dari segi bahasa, pendidikan ialah “usaha sistematik yang disengajakan,yang dibuat oleh sesuatu masyarakat untuk menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya, usaha memperkembangkan potensi individu dan perubahan yang berlaku dalam diri manusia.

2. Walaupun mungkin model pemerintahan negara moden yang berkonsepkan materialisme tidak begitu menjadikan pendidikan sebagai keperluan utama, tetapi WINS 2051 menjadikannya yang kedua selepas urustadbir. Walaupun pendidikan mungkin tidak memberi kesan secara langsung kepada fizikal negara, tetapi sebagaimana definisi di atas, pendidikan adalah melibatkan diri manusia, yang merupakan sebahagian daripada rukun bernegara dan juga penentu kepada jatuh bangun sesebuah ketamadunan. Matlamat akhir daripada pentadbiran politik sesebuah negara juga adalah untuk menguruskan kehidupan sosial manusia, supaya harmoni dan tenteram.

3. Islam meletakkan pendidikan sebagai teras utama ketamadunan. Ayat pertama yang diwahyukan kepada Nabi SAW adalah “bacalah”. Tiga kali Jibril mengulangi perkataan pertama dari surah al-Alaq itu sebelum menyampaikan baki ayat yang lain. Membaca merupakan medium paling utama dalam pendidikan, menunjukkan bahawa Islam meletakkan unsur pendidikan di hadapan mengatasi segala yang lain.

4. Dunia moden mengiktiraf pendidikan sebagai sebahagian hak asasi manusia sebagaimana makan-minum dan tempat tinggal. Justeru dengan meletakkan pendidikan sebagai teras utama, segala perancangan dan juga perbelanjaan negara haruslah mengambil kira aspek pendidikan dan tidak ada kompromi terhadapnya. Walaupun pendidikan mungkin akan melibatkan kos yang tinggi kepada kerajaan, ianya merupakan pelaburan jangka masa panjang yang sangat baik buat masa depan negara.

5. Pendidikan yang dimaksudkan oleh WINS 2051 bukan menumpukan aspek mentaliti semata-mata. Tetapi ianya lebih holistik, bermatlamatkan untuk membangunkan semua unsur yang ada pada diri manusia secara fizikal, mental dan spiritual. Inilah yang dinamakan sebagai pembangunan insan yang menjadi misi utama WINS 2051.

Mentaliti adalah elemen paling utama, justeru soal pendidikan dan budaya kajian ilmu akan menjadi tumpuan WINS 2051. Selain itu WINS 2051 turut menitik beratkan pendidikan berkenaan penjagaan jasmani dan gaya hidup sihat. Istimewanya, WINS 2051 turut menumpukan pembangunan rohani. Ia adalah asas kepada nilai dan moraliti rakyat bagi mencerminkan sebuah masyarakat bertamadun. Bahkan aspek inilah yang paling penting dalam membezakan manusia dengan mana-mana makhluk yang lain.

6. Aspirasi WINS 2051 dari sudut pendidikan adalah pembinaan nilai spiritual insan, dasar pendidikan yang jelas dan holistik serta meraikan kepelbagaian potensi. Justeru falsafah pendidikan nasional mungkin akan disemak kembali bagi menepati aspirasi yang dicitakan.

7. Kebanyakan masalah yang berlaku di berbagai sektor dalam negara hari ini dikesan berpunca daripada kegagalan sistem pendidikan. Jenayah kolar putih di sektor pentadbiran, jenayah sosial dan keruntuhan moral di sektor sosio-budaya, kerosakan ekosistem di sektor alam sekitar, kesedaran tentang kesihatan yang lemah, vandalisme dan berbagai lagi.

Antara punca paling utama adalah kerana pendidikan negara tidak menggabungjalinkan antara duniawi dan ukhrawi. Justeru mereka hanya menumpukan aspek mentaliti semata-mata, sehingga spiritual masyarakat kosong dan jauh terkebelakang. Inilah yang menyebabkan mereka tidak merasa apabila melakukan sebarang salah laku.

Justeru WINS 2051 akan menggubal kurikulum yang menekankan aspek spiritual dan nilai. Juga modul-modul latihan akan diperkenalkan bagi melahirkan graduan yang tinggi integriti sebelum menempuh alam kerjaya.

8. Dasar pendidikan negara sehingga sekarang masih belum jelas. Sering bertukar-tukar mengikut pertukaran menteri yang memegang portfolio pendidikan. Kesannya adalah kepada para pelajar yang menjadi seolah bahan ujikaji. Guru, pensyarah dan pengamal akademik juga terbeban kerana terpaksa meneliti kembali dasar-dasar yang bertukar.

WINS 2051 akan menyelesaikan masalah ini. Antara pendekatan yang akan diambil adalah menetapkan dasar yang lebih holistik bermula dari peringkat pra-sekolah. Sememangnya sumbangan PAS dalam membangunkan pendidikan negara tidak boleh dinafikan lagi. PAS memiliki beratus institusi pendidikan daripada peringkat pra-sekolah hinggalah peringkat pengajian tinggi. Dari sudut kepakaran, ia tidak perlu dipertikaikan.

9. WINS 2051 turut meletakkan aspirasi untuk memaksimumkan bakat dan potensi pelajar. Penilaian pencapaian pelajar tidak berasaskan peperiksaan semata-mata. Sistem penilaian lebih berkonsepkan penambahbaikan untuk semua pelajar mampu menguasai ilmu dengan keunikan penerimaan mereka yang pelbagai. Bukan untuk membezakan antara yang pandai dan lemah sehingga berlaku diskriminasi melalui pembahagian kelas dan sekolah.

Juga bukan bertujuan untuk memenuhi permintaan pasaran kerja sahaja. WINS 2051 memandang semua bidang akademik dan kemahiran adalah setaraf dan perlu disokong secara adil. Tiada bidang yang dikategorikan sebagai kampungan atau tiada masa depan.

10. Masalah lain yang membelenggu pendidikan adalah kos yang terlalu tinggi. Selepas dasar liberalisasi pendidikan diperkenalkan era 90an, pendidikan bertukar menjadi sektor perniagaan kepada pengusaha-pengusaha institusi swasta. Mereka memanipulasi keperluan masyarakat untuk belajar, dengan menawarkan pendidikan dengan caj yang tinggi, tetapi dipermudahkan sementara waktu dengan pinjaman PTPTN. Pengusaha institusi pendidikan dijamin keuntungan mereka melalui PTPTN, tetapi rakyat terpaksa menanggung beban hutang berpuluh tahun lamanya selepas tamat pembelajaran.

WINS 2051 mengambil berat akan masalah ini. Mekanisme lain bagi menggantikan PTPTN perlu dicari. Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan pada tahun 2007 telah mengeluarkan Buku Ungu Endowmen yang mencadangkan sistem endowmen ataupun waqaf dalam Islam diaplikasikan dalam membiayai kos pendidikan negara. Endowmen menjadi sistem yang telah terbukti berjaya di beberapa negara barat seperti UK dan US. Universiti terkemuka seperti Cambridge dan Harvard antara yang menggunakan kaedah ini berpuluh tahun dahulu.

Sistem endowmen juga menepati aspirasi negara berkebajikan yang diperkenalkan oleh PAS. Rakyat dan kerajaan sama-sama terlibat dalam membangunkan negara. Namun persoalannya, kenapa kaedah ini tidak diaplikasikan sedangkan modulnya telah siap digubal oleh Kementerian Pendidikan?

11. Matlamat WINS 2051 adalah supaya rakyat menyedari kepentingan pendidikan. Akses kepada pendidikan boleh didapati dengan mudah tidak kira latar belakang. Membaca dan mengkaji menjadi budaya masyarakat Malaysia. Tidak dinafikan belanjanya sangat besar, tetapi pelaburan ini sangat berbaloi untuk negara.

WINS 2051 melihat tamadun dunia hari ini yang terkehadapan dari sudut sains dan teknologi datangnya daripada tamadun Islam. Secara lebih tepat, barat menceduk khazanah ilmu daripada pakar-pakar akademik dan hasil kajian Islam semasa kerajaan Andalus. Mengikut sebuah kajian, di zaman tersebut terdapat kira-kira 300,000 buah perpustakaan di Cordoba sahaja! Jumlah ini tidak dapat ditandingi oleh mana-mana peradaban manusia di mana-mana zaman samada sebelum dan selepasnya.

12. Satu kisah yang sangat inspiratif dalam membangunkan manusia. Ketika para sahabat duduk bersama dalam sebuah bilik, Saidina Umar mengajukan kepada sekalian sahabat: “Sila nyatakan impian kalian.” Lalu seorang sahabat menyahut: “Impianku adalah supaya biliki ini dipenuhi dengan dinar emas, supaya dapat digunakan di jalan Allah.” Saidina Umar mengajukan lagi: “Sila nyatakan impian kalian.” Seorang lagi menyahut: “Impianku adalah supaya biliki ini dipenuhi dengan batu permata yang bernilai, supaya dapat digunakan di jalan Allah.”

Saidina Umar terus mengajukan: “Sila nyatakan impian kalian.” Para sahabat membalas: “Kamu asyik bertanya tentang impian kami. Apa pula impianmu?”

Saidina Umar menjawab: “Impianku adalah supaya biliki ini dipenuhi dengan orang seperti Abu Bakar as-Siddiq, Abu Ubaidah al-Jarrah dan lain-lain, supaya dapat digunakan di jalan Allah.”

Saidina Umar yang dikenali sebagai Bapa Pembaharuan Pentadbiran Islam mengajar kepada kita bahawa material bukanlah keperluan utama sesebuah komuniti, sebaliknya yang penting adalah nilai manusia itu sendiri. Dan inilah yang yang ditekankan oleh WINS 2051 melalui teras pendidikan. – HARAKAHDAILY 23/11/2017