Lantik ketua pembangkang Dun lebih wibawa

UMNO Kelantan dicadang melantik ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang lebih berwibawa pada masa hadapan.

Advertisement

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, ketua pembangkang hendaklah seorang ahli dewan yang tahu dan patuh kepada peraturan mesyuarat.

Katanya, apa yang berlaku Rabu lepas Ketua Pembangkang Datuk Nozula Mat Diah mahu mengambil bahagian berbahas ketika sesi penggulungan oleh kerajaan.

“Sesi perbahasan Bajet sudah diperuntukan secukupnya dan 10 Adun mengambil bahagian pada sesi perbahasan.

“Malah ketika ruang diberi selepas 10 Adun berucap tidak ada wakil rakyat yang bangun pada petang Selasa termasuk ketua pembangkang daripada BN,” katanya pada ceramah di perkarangan Pejabat PAS Kota Bharu di Berek 12 malam tadi.

Pada program itu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melancarkan Bilik Operasi Pilihan Raya PAS Kota Bharu.

Bendera besar PAS dinaikkan petugas Jabatan Amal biarpun dalam keadaan hujan agak lebat.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, timbalannya, Datuk Dr Ramli Mamat, Ketua Muslimat, Rohani Ibrahim dan Ketua Pemuda, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi.

Semalam Pemuda UMNO Kelantan menyerah memorandum mendesak Speaker Dun Kelantan dan timbalannya meletak jawatan ekoran tidak memberi ruang Nozula yang juga Adun Paloh berucap.– HARAKAHDAILY 24/11/2017