Muslim disaran bertaubat, berdoa seperti Anbiya’

doa

IMAM al-Ghazali menyatakan; bahawa doa kebanyakan para Nabi Alaihimussalam, ialah berdoa seperti berikut (bermaksud) : “Ya Allah ya Tuhanku, aku minta ampun kepada-Mu dari sebarang dosa yang aku telah bertaubat, tapi setelah itu ku lakukan semula. Aku minta ampun dari semua yang telah ku janji dalam hati kepada-Mu tetapi tidak ku laksanakan.

Advertisement

“Aku bertaubat dari dosa waktu aku ibadat  untuk-Mu, tetapi tiba tiba mencelah sesuatu menyebabkan ibadah berubah kepada kerana yang lain dari-Mu. “Aku mohon ampun kepada-Mu kerana nikmat yang Engkau kurniakan itu sepatutnya untuk mentaati-Mu, sebaliknya telah aku gunakannya untuk meingkari suruhan-Mu.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5”}

“Wahai Tuhan yang Maha Mengetahui sama ada yang zahir atau yang terselindung, aku minta ampun dari sebarang dosa yang aku lakukan di siang hari atau di malam gelap di tempat tersorok, ketika beramai atau ketika menyepi seorang diri, ampunilah daku wahai Tuhan yang Maha lemah lembut.”

Demikian doa dan istighfar para nabi sejak dari nabi Adam hingga ke Nabi akhir zaman, telah dinukilkan oleh Imam al-Ghazali yang dimuatkan dalam kitabnya. Untuk mendapat perhatian dan menjadi amalan umat akhir zaman, yang persoalannya sangat penting dan tinggi nilainya.

Kini dibincangkan mengenai adab tidur. Meskipun tidur itu hanya sebagai perkara tabi’ei kebiasaan bagi manusia, sebagaimana makan minum dan naluri lain seumpamanya. Semua tuntutan naluri tabi’ei dan segala gerak geri itu, boleh dijadikan sumber pahala untuk bekalan akhirat.

Meskipun tidur merupakan kesinambungan dari sifat mengantuk. Sesungguhnya sifat mengantuk itu bukan sesuatu yang dicari atau diusahakan, tetapi ia terjadi setelah tubuh letih akibat kegiatan sepanjang hari. Islam mengajar manusia sama ada perkara yang diikhtiar atau sebaliknya, jika mereka tahu ia akan jadi bekalan di akhirat.

Tidur setelah rasa mengantuk kurniaan Tuhan, akan menjadikan tubuh rehat dan cergas segar semula. Di akhirat pula ada habuan bagi manusia itu. Islam mengajar peraturan dan adab tidur, supaya tidur menjadi suatu ibadah yang berfaedah kepada manusia di dunia dan akhirat.

Peraturan dan adab yang pertama, ialah bersihkan mulut dengan bersugi (gusuk gigi) dan bersuci serta berwudhuk. Islam bukan sahaja suruh berwudhuk kerana hendak menunaikan solat atau mebaca al-Quran sahaja, bahkan dianjurkan berwudhuk itu mengajar manusia agar tidur dalam keadaan suci beribadat kepada Allah SWT.

Seseorang yang berwudhuk andainya meninggal dunia semasa tidur, maka matinya dalam keadaan suci bersih. Tiada yang boleh beri jaminan bahawa selepas tidur dia akan bernafas semula untuk meneruskan hidupnya. Oleh itu apabila seseorang akan tidur dia hendaklah bersiap, kerana dia sendiripun tidak tahu masih adakah baki umurnya selepas tidur.

Setelah bersugi dan berwudhuk mereka dikehendaki bersiap menyediakan air (khusus ditempat yang sukar air) untuk bersugi dan berwudhuk selepas bangun pagi esoknya. Jika dia dikurniakan umur lagi, persiapan itu  untuk mengulangi keperluan bersugi dan berwudhuk sebagai sunnah Nabi s.a.w.

Sebelum meletakkan kepala ke bantal untuk tidur, hendaklah dia menaruh azam dalam hati dengan niat untuk bangun menunaikan ibadat solat tahjud dan witir juga ibadah selainnya. Kalau tidur berniat begini akan dipermudah oleh Allah SWT untuk bangun di hujung malam. Kerana tidur dengan hasrat untuk melakukan ibadah sebagaimana kelazimannya, tidurnya tidaklah tidur mati tetapi sentiasa teringat ingat akan niatnya.

Adab tidur seterusnya ialah bagi mereka yang sepatutnya ada wasiat lantaran berhutang, maka kewajiban mereka ialah menyediakan surat wasiat. Kewajiban orang berhutang ialah berwasiat kepada keluarganya, supaya tanggungjawab itu dipikul warisnya jika dia meninggal dunia.

Orang yang berhutang itu mati rohnya tersiksa, tidak boleh ke mana-mana dan tidak dapat menikmati fadilat syahid, hutang yang belum dilunaskan jadi penghalang menikmati segala fadilat itu.

Orang yang mempunyai keyakinan tentang bahaya hutang yang belum dijelaskan, wajib baginya berwasiat kerana seseorang itu tidak selamat dari diambil nyawanya oleh Tuhan semasa tidur. Sedarlah bahawa seseorang ketika tidur mempunyai peluang lebih luas untuk mati, berbanding peluang untuk terus hidup.

Kerana apabila seseorang tidur rohnya akan beredar meninggalkan jasad, meskipun jantung dan nadi bergerak darah terus mengalir dan nafas keluar masuk. Hal tersebut terserah sepenuhnya kepada kudrat Allah SWT. Justeru itu dalam keadaan tidak sedar kerana roh naik ke atas seperti benar-benar telah mati.

Adab seterusnya apabila bersiap untuk tidur, seseorang itu bertaubat dari semua dosa, dan tidur dalam keadaan hati suci bersih dengan semua orang Islam. Tiada hasrat di hati hendak menganiaya orang apabila terjaga esok. Dengan adab itu dunia akan aman dari segala kemungkaran dan penyelewengan juga keburukan. Jika seseorang tidak menghormati janji sendiri yang dibuat sebelum tidur, lalu bagaimanakah orang lain akan menghormati dirinya.{/mprestriction}