PASRelief bantu pelarian Syria hadapi musim sejuk

KUALA LUMPUR: Pelarian perang Syria dilihat bakal berdepan situasi kecemasan lebih buruk, khususnya ancaman survival menjelang musim sejuk yang bakal tiba di negara itu dan sekitarnya sehingga Mac depan.
 
Bendahari Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief), Mohd Adram Musa berkata, konflik yang telah menyebabkan kemusnahan harta benda dan nyawa di Syria itu kini memasuki tahun keenam, di mana tidak menampakkan tanda-tanda pengakhiran.
 
“Lebih lima juta rakyatnya menjadi pelarian di negara jiran seperti Turki, Lubnan dan Jordan. Manakala, tujuh juta lagi menjadi pelarian dalam negara setelah kediaman dan kampung halaman mereka musnah akibat peperangan.
 
“Kini menimbulkan krisis kemanusiaan cukup besar, lebih-lebih lagi untuk menempuh musim sejuk tanpa kemudahan, tanpa pakaian sewajarnya dan mencukupi. Sekali gus akan menyebabkan ancaman nyawa,” ujarnya.
 
Bakal menghadapi situasi alam semulajadi boleh menyebabkan maut itu adalah kanak-kanak, warga emas dan wanita yang merupakan kumpulan teramai dalam kalangan pelarian tersebut tanpa makanan, tempat perlindung dan pakaian asas.
 
Sehubungan itu maklum Adram, PASRelief akan menggerakkan misi bantuan kemanusiaan ke Syria pada Disember ini untuk menyampaikan keperluan berupa makanan dan selimut bagi menghadapi cuaca ekstrem tersebut.
 
Rayunya, orang ramai yang prihatin dan bersimpati kepada para saudara terlibat dengan krisis peperangan tersebut diharap dapat turut sama menjayakan misi menerusi sumbangan derma boleh disalurkan untuk tujuan itu.
 
Semua sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank 5640 7061 2333 atas nama Tabung  Kemanusiaan  Antarabangsa PASRelief dan maklumkan ke talian 012-596 9220 dengan nota ‘Selimut’ atau ‘Makanan’. – HARAKAHDAILY 26/11/2017
Advertisement