Biarkan Amiruddin pergi….

Dr Azman1
YANG pergi biarkan dia pergi. Kafilah perjuangan ini terus melangkah. Dalam PAS, pemimpin serta ahli boleh datang dan pergi, Allah akan menentukan bahawa perjuangan meninggikan agama-Nya akan terus dipacu oleh satu kelompok hamba-Nya yang istiqamah.
 
Kita sayangkan sahabat kita yang pernah bersusah payah bersama. Bila tiba di simpang, akhirnya sahabat memilih arah perjalanan yang berbeza.
 
Ketika saya sebagai Pengerusi Lajnah Petani, Nelayan dan Peneroka PAS Setiu, kita pernah menganjurkan beberapa program bersama YB Ir Amiruddin Hamzah yang ketika itu Pengerusi Lajnah Pertanian PAS Pusat. Kita masuk sampai ke Kampung Jelapang Langkap di Setiu menangani isu pesawah padi di Jelapang. Sama-sama bersila makan nasi dengan orang kampung. Akhirnya YB pilih untuk naik bahtera lain. Cuma sedikit ingatan sahabatku yang dikasihi, antara kita sama-sama melafazkan bai’ah ketika memikul amanah parti menjadi calon dalam PRU.
 
Sebagai Pengerusi Lajnah Petani, Nelayan dan Peneroka Setiu, Mazlan Aliman adalah boss saya di PAS Pusat. Kenangan paling diingati ialah ketika disekat dari memasuki Felda Selasih, Jabi ketika Kembara Oren. Mazlan ialah abang saya dalam perjuangan. Akhirnya dia pergi. Doakan semoga saya terus istiqamah di sini.
 
Di era kepimpinan Almarhum Dato’ Abu Bakar Chik di Lajnah Pendidikan PAS Pusat, antara dua orang sahabat karib yang menganggotai Jawatankuasa Lajnah Pendidikan PAS Pusat ialah ambe dan Cikgu Azrin Ab Majid. Sahabat yang saya ingat segala kebaikan dan nasihat dia. Banyak susah senang dalam jemaah kami kongsi bersama. Saya ingat Cikgu Azrin sebagai seorang sahabat yang berbudi tinggi tapi akhirnya dia memilih untuk berbeza haluan. Selamat berjaya sahabatku.
 
Ketika saya sebagai Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Terengganu, boss saya di PAS Pusat ialah Dato’ Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Lajnah Pengguna dan Haji Zulkifli Mohd Omar sebagai Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat.
 
Seorang dah pergi, sorang lagi nampaknya bakal dilupakan orang dengan sendirinya. Kepada mereka berdua juga saya ucapkan selamat berjaya. Jangan lupa, kita bertiga sebagai bekas calon PRU, pernah melafazkan bai’ah dengan nama Allah untuk tidak khianat kepada perjuangan ini. Bai’ah tempoh sahnya sampai akhir hayat. Tidak ada tarikh expired. 
 
DR AZMAN IBRAHIM
AJK PAS Pusat
27 November 2017 – HARAKAHDAILY 27/11/2017
Advertisement