Hanipa Maidin lebih DAP dari DAP?

SAYA masih ingat lagi betapa Hanipa Maidin adalah antara mereka yang membodohkan saya bila saya mengemukakan laporan polis terhadap Hannah Yeoh di atas dakwaan cuba mendakyahkan ajaran Kristian.
 
Hari ini saya pula yang tergelak sakan bila melihat Hanipa membodohkan diri beliau sendiri di dalam cubaan beliau untuk menyokong hujah Tony Pua bahawa golongan ateis adalah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
 
Sementara Tony Pua sendiri sekadar menghujahkan bahawa hak untuk menganuti agama tidak bermakna seseorang itu wajib menganuti agama (“the right to profess a religion does not at any point compel him or her to adopt a religion”), Hanipa pula pergi lebih jauh dari itu lagi dengan mendakwa bahawa ateisme juga adalah agama (“Datuk Dr Asyraf Wajdi was plainly wrong in driving home the message that atheism is not a religion”).
 
Kot mana tau lah ateisme ini juga adalah satu agama seperti yang didakwa oleh Hanipa ini kerana seingat saya inilah kali pertama saya mendengar seseorang berkata bahawa ateisme juga adalah satu agama.
 
Untuk makluman Hanipa, Tony Pua sendiri menganggap ateisme bukan satu agama dan ini tergambar dalam komentar beliau mengenai ateisme dalam portal berita Malaysia Kini itu.
 
Selain itu, Tony Pua juga pernah, dalam laporan portal berita The Malaysian Insider pada 26 Ogos 2011, merayu SPR supaya membuang kolum “agama” dari borang pendaftaran pengundi.
 
Ini kerana, kata Tony Pua, sekurang-kurangnya satu daripada 20 atau 30 orang dari mereka yang mendaftar sebagai pengundi ditolak kerana menulis “tiada agama” pada borang mereka (atau agama pada borang mereka tidak sama dengan agama yang tercatat pada MyKad mereka).
 
Kata Tony Pua lagi, ada orang yang tiada agama, sama ada dengan menjadi seorang agnostik atau seorang ateis, dan tidak patut permohonan mereka yang tiada agama ini untuk mendaftar sebagai pengundi ditolak.
 
Sehubungan ini juga, jika benar golongan ateis ini dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, kenapa pula permohonan mereka untuk mendaftar sebagai pengundi ditolak oleh SPR? Dan jika mereka berpendapat tindakan SPR tidak berperlembagaan mengapa pula mereka tidak mencabarnya di mahkamah?
 
Apa pun, nampaknya Hanipa semacam lebih DAP dari DAP sendiri dalam isu ateisme ini kerana, di dalam mempertahankan golongan ateis, Hanipa boleh menganggap ateisme sebagai satu agama sedangkan DAP sendiri tidak menganggap begitu. – HARAKAHDAILY 27/11/2017
Advertisement