Isu ECRL akan panaskan Sidang Dun Terengganu

PROJEK Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dijangka akan menjadi topik hangat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Sidang DUN) Bajet Terengganu 2018 yang akan berlangsung pada Isnin 11 Disember sehingga Khamis 14 Disember akan datang.
 
Antara yang bakal dituntut rakyat adalah, janji Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menggantikan tanah-tanah yang terlibat dalam pembangunan Projek ECRL.
 
Pada 4 Ogos 2017, sempena Majlis Pelancaran Skim Khas RTB Tapak Rumah 2017 di Wisma Darul Iman, Razif berkata, mesyuarat Exco sudah bersetuju dengan perkara itu.
 
Ia membayangkan, Razif akan terus menjadi ‘MB Najib’ bukan ‘MB rakyat’ kerana umumnya mengetahui bahawa ia adalah projek ‘mega’ Perdana Menteri.
 
Kos Pembinaan Terlalu Mahal
 
Projek menghubungkan Lembah Klang dengan Kuantan, Pahang sehingga ke Terengganu serta Tumpat di Kelantan dianggarkan sejauh 600 kilometer.
 
Kos pembinaan ECRL adalah dijangka RM55 bilion, jika dibahagikan kepada 600km, kos setiap kilometer adalah bersamaan dengan RM92 juta.
 
Secara perbandingan, ia melebihi kos pembinaan jalan keretapi paling mahal sebelum ini iaitu ‘YiChang-Wanzhou Railway’ berharga RM36 juta sekilometer dan ‘Qinghai-Tibet Railway’ yang hanya berharga RM17 juta per kilometer.
 
Maka dengan itu, ECRL adalah 250 peratus dan 540 peratus lebih mahal daripada projek yang ‘paling mahal’ di China yang dibina di Malaysia, hampir keseluruhannya dengan teknologi negara ‘komunis’ itu.
 
Rakyat Tanggung Kos
 
Pembayar cukai Malaysia iaitu rakyat Malaysia, sudah pasti akan menjadi penjamin bagi pinjaman yang dibuat oleh Putrajaya untuk membayar sebuah syarikat China bagi pembinaan ECRL.
 
Pakar ekonomi terkemuka, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dalam ulasannya berkata, pinjaman yang dibuat Malaysia daripada Export-Import Bank of China (Exim Bank) akan digunakan untuk membayar China Communications Construction Company (CCCC), kontraktor utama ECRL.
 
Dalam makna lain, ‘rakyat digadai’ untuk memenuhi hasrat seorang Perdana Menteri ‘dihujung tanduk’ yang sedang dihukum kerana ketidakteluasan dalam pentadbirannya.
 
“ECRL akan dibiaya oleh Exim Bank milik China, dengan Kerajaan Malaysia iaitu pembayar cukai sebagai penjamin. Jadi, risiko dan liabiliti akan ditanggung sepenuhnya oleh Malaysia,” tulisnya dalam satu komen di sebuah portal.
 
Tanah Rakyat Diambil Kerajaan
 
Hampir 4,000 lot tanah rakyat akan menjadi ‘korban’ projek ECRL yang belum pasti membawa kembalian faedah kepada orang ramai.
 
Di daerah Besut sebanyak 613 lot, Setiu 280, Kuala Nerus 925, Kuala Terengganu 435, Marang 1024, Dungun 275 dan Kemaman sebanyak 343 lot.
 
Rekod Kerajaan Umno-BN Terengganu, amat buruk dalam kira bicara mereka dengan rakyat dalam soal tanah.
 
Projek Jambatan dan Jalan dari Bukit Guntong ke Jeram Tokong adalah bukti bahawa Umno tidak ada belas kasihan terhadap rakyatnya sendiri.
 
Kes pengambilan semula tanah bagi jalan raya pantai di kampung Pasir Putih, Dungun juga memakan masa bertahun untuk diselesaikan, kerana kerajaan negeri ‘kedekut’ dengan rakyat.
 
Untuk memberi sedikit pampasan bagi membiayai perpindahan kerajaan sangat ‘lokek’.
 
Tetapi mahu membina kawasan bebas cukai di dalam hutan dalam Tasik Kenyir, membesarkan Zoo dan membangunkan Pulau Poh yang tiada ‘faedah secara langsung’ kepada rakyat, begitu muda sekali kerajaan meluluskan ratusan juta ringgit.
 
Kes pemindahan penduduk sekitar Seberang Baroh dan Jalan Kelantan dalam DUN Wakaf Mempelam, masih belum selesai, sedangkan pembinaan telah dibuat.
 
Tidak banyak yang diminta oleh orang ramai terbabit dalam pembinaan jalan ‘KT By-Pass’ tetapi pemimpin kerajaan tidak mahu mendengar.
 
Mereka hanya mahu bayaran saguhati yang setimpal, untuk biaya pindah dan kos bagi mencari tanah baharu, bagi memulakan kembali perniagaan mereka yang premisnya akan dirobohkan.
 
Hutan Musnah
 
Selain manusia yang menjadi mangsa kepada pembinaan ECRL, haiwan juga terancam, kerana beberapa habitat mereka dalam hutan sedia ada sepanjang jajaran, akan turut musnah.
 
Sembilan kawasan hutan yang terlibat adalah;
 
i. Pak Kancil
ii. Mercang
iii. Bukit Terendak
iv. Jambu Bongkok
v. Bukit Bauk
vi. Kuala Paka
vii. Rasau Kertih
viii. Bukit Palus
ix. Kuala Kemaman
Advertisement