Menjengah duka sang nelayan di musim tengkujuh

MUSIM tengkujuh gelombang kedua, mula melanda negeri Terengganu sejak Khamis lalu, membawa kisah duka ‘sang nelayan’ yang tidak dapat meneruskan usaha untuk ‘mencari makan’.
 
Hujan lebat dan angin kencang yang melanda bandar raya ini pada Ahad, telah menyebabkan pokok-pokok besar di Jalan Kemajuan tumbang dan meranapkan sebahagian besar khemah perniagaan Karnival Batu Burok.
 
Pada ketika itu, Abdul Ghani Mamat, 68, ditemui berada di pangkalan ‘sek-sek ke lautnya’, duduk di atas timbunan pukat lama.
 
Sambil merenung kocakan air muara dan mendengar siulan kencang badai yang melanda, beliau berkata, kena tengok kepada keadaan angin, barulah boleh turun mencari rezeki semula.
 
“Biasanya angin (tengkujuh) macam ni…..seminggu baru ‘linang’ semula, baru boleh turun ‘ke laut’ balik…..biasa gitu. Sementara tu, makan apa ‘hak’ adalah,” ujar beliau yang sudah lebih 30 tahun mencari rezeki dengan menangkap ikan.
 
Menurutnya, lebih kurang 100 orang nelayan bot ‘fiber’ dan dua buah bot laut dalam yang melabuhkan perahu mereka di pangkalan hujung tanjung, Seberang Takir itu.
 
Kebanyakan mereka yang menjadikan kawasan itu sebagai ‘port’ tempat lepak, membaiki pukat dan lain-lain penyelenggaraan alatan menangkap ikan, agak bebas dan tidak bergantung kepada ‘bantuan kerajaan’.
 
“Ada sebahagiannya dapat, yang lain tak dapat (bantuan)……kena daftar dengan (Jabatan) Perikanan, kalau ‘lesen’ mati tak boleh bantuan, nak hidup semula tak mudah juga. Tak apalah…..kita bergantung rezeki dari Allah, bukan dari Umno,” tegasnya.
 
Katanya, rata-rata bot yang digunakan oleh nelayan di situ, adalah dibeli sendiri atau disewa dari nelayan lain yang sudah tidak ‘turun ke laut’.
 
Tidak ada bantuan yang diterima untuk membaiki bot, sebagaimana yang diterima oleh pemilik ‘bot penambang’ yang ‘disogok’ bantuan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
 
“Sebab itu orang gelar, Razif ni MB Seberang Takir…….beri RM30,000 seorang kepada bot penambang……..siapa mereka? Semua orang sini, orang Seberang Takir je yang dapat, nelayan tak dapat…..tak ada bantuan bot,” kata beliau.
 
Beliau turut bersungut, katanya, kalau mereka pergi ke laut melalui bawah jambatan ‘Drawbridge’ yang sedang dibina itu, kena berhati-hati.
 
Laluan itu, bukan lagi muara sungai, tapi katanya, ia hanya sebuah ‘longkang’ besar berikuran 40 meter lebar.
 
“Laluan tu dah sempit……..kalau berselisih dua bot bahaya, air situ sangat deras, waktu (cuaca) macam ni memang tak berani nak lalu situ. Waktu tenang pun kena jaga-jaga sebab tu bukan kuala lagi tu…..dia dah jadi longkang besar, ada kayu-kayu pulak situ, silap-silap bot boleh tenggelam,” kata beliau.
 
Beliau turut melahirkan rasa hairan, bagaimana Kerajaan Umno-BN Terengganu boleh meluluskan pembinaan jambatan yang dianggap ‘pelik’ itu.
 
Sambil menyifatkan ia adalah suatu pembaziran wang rakyat, jambatan angkut itu beliau akui menyusahkan ribuan golongan nelayan yang menjadikan muara sungai Terengganu itu sebagai pintu keluar masuk.
 
Sejurus sebelum ribut melanda, dari kejauhan kelihatan kelibat perahu-perahu layar kecil berpusing-pusing dalam ‘basin’ Pulau Duyong, berhampiran ‘Duyong Marina and Resort’.
 
Kawasan tersebut, pernah tumpuan peminat sukan air itu, kerana penganjuran Piala Monsun beberapa tahun lalu.
 
Piala Monsun adalah merupakan pusingan akhir ‘World Match Racing Tour (WMRT)’ telah diadakan di Pulau Duyong, Terengganu sejak 2005 sebelum beralih kepada Danga Bay di Johor tahun 2015.
 
Semasa pelancarannya, mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ia memacu aktiviti ekonomi bagi perniagaan setempat di Terengganu semasa musim tengkujuh.
 
Ia juga didakwa memberi peluang pekerjaan kepada para nelayan yang tidak dapat turun ke laut menangkap ikan semasa tengkujuh.
 
Namun kesemua dakwaan itu, disangkal oleh Abdul Ghani Mamat yang menegaskan, beliau berada di situ, di pangkalan itu, sejak bermula Piala Monsun dan sehinggalah kini, kejohanan tersebut tidak lagi berlangsung.
 
“Mana ada nelayan dapat faedah dari Piala Monsun……saya jadi nelayan masa tu, sekarang saya masih jadi nelayan dan tak ada nelayan yang kaya sebab ‘Monsoon Cup’. Yang untung orang lain….orang asing, orang luar yang datang, orang Terengganu tak dapat apa,” jelas beliau.
 
Ia di sokong oleh dapatan satu kajian yang dibuat oleh Nurul Azhani Mohd Azmin; Kajian Persepsi Komuniti Tempatan Terhadap Pelancongan Sukan: Monsoon Cup, Pulau Duyung.
 
Kajian itu menyatakan, jumlah penduduk tempatan yang bekerja di Kelab Teluk Warisan (sekarang ‘Duyong Marina and Resort’) tidak mencecah 10 orang. 
 
“Penduduk Pulau Duyung yang bekerja di Kelab Teluk Warisan adalah tidak lebih dari 10 orang. Kebanyakkan mereka bekerja sebagai tukang sapu dan tukang kebun,” kata responden 10, yang merupakan Wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Kelematan Kampung Pulau Duyong
 
Dapatan itu menambah lagi, peluang pekerjaan, terdapat seramai 20 orang pekerja sementara yang diambil dari kalangan penduduk tempatan. 
 
Pekerja sementara ini diambil hanya ketika berlangsungnya acara Monsoon Cup dan pihak pengurusan Kelab Teluk Warisan kurang mengambil pekerja tempatan sebagai pekerja kerana mereka memerlukan pekerja yang berpengalaman. 
 
Analisis ini adalah berdasarkan kenyataan daripada responden 15 kajian yang merupakan seoranh Pdnolong Pengurus Jualan, Heritage Bay Club,
 
“Kami bukan tidak mahu mengambil pekerja dari kalangan penduduk tempatan tetapi kami memerlukan pekerja yang boleh independent dan boleh bekerja lebih masa. Kita tidak mempunyai lebih masa untuk melatih mereka. Selalunya kami ramai ambil pekerja sementara daripada UiTM, Dungun,” menurut kajian itu. – HARAKAHDAILY 28/11/2017
Advertisement