PAS sangkal Johor sifar miskin

BATU PAHAT: PAS Johor menyangkal kenyataan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, yang mendakwa Kerajaan Negeri Johor telah berjaya mengekalkan kadar kemiskinan 0.0 peratus sejak 2014 berbanding 0.9 peratus pada 2012.
 
Menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tersasar, PAS Johor juga tidak menolak kemungkinan perkiraan tersebut mungkin hanya berdasarkan kepada data-data di atas kertas sahaja, sedangkan realiti sebenar yang berlaku adalah sebaliknya.
 
Sehubungan itu PAS Johor menyeru Menteri Besar supaya turun padang untuk melihat sendiri kehidupan rakyat yang rata-ratanya begitu tertekan dengan kos sara hidup begitu tinggi hari ini, tegas Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin.
 
Adun Puteri Wangsa itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Khaled ketika membentangkan Bajet Johor 2018 di Kota Iskandar Iskandar Puteri Johor Bahru, 23 November lalu.
 
Sebagai bukti menurut Ustaz Abdullah, rakyat yang tidak mampu memiliki rumah sendiri masih begitu ramai di negeri itu hingga ramai menjadi gelandangan sekali gus menafikan sama sekali kenyataan tersebut.
 
“Kita seringkali memberi bantuan kepada  golongan asnaf ini termasuk golongan gelandangan tersebut dan ini menunjukkan masih terdapat ramai golongan rakyat yang masih memerlukan bantuan kerajaan.
 
“Hari ini telah muncul beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tampil untuk membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan gelandangan yang jumlahnya agak begitu ramai di negeri ini.
 
“Kesan dari tekanan hidup yang begitu menghimpit rakyat ini menyebabkan kadar kemiskinan rakyat menjadi bertambah tinggi, bukan semakin berkurangan. Sebab itu kita menyifatkan kenyataan menteri besar ini sebagai tidak tepat,” tegas beliau.
 
Ustaz Abdullah seterusnya menegaskan, pemimpin perlu melihat keadaan rakyat secara menyeluruh dan tidak melihat atau menilai sebahagian atau kelompok tertentu sahaja.
 
“Adalah tidak adil jika kita menyamaratakan taraf kehidupan seluruh rakyat negeri ini dengan hanya melihat sebahagian golongan atau kelompok tertentu sahaja. Kaedah seumpama ini dibimbangi  akan mendorong kepada berlakunya ketidakadilan kepada rakyat.
 
“Justeru bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan, maka sekali lagi saya mendesak Menteri Besar termasuk pimpinan kerajaan negeri supaya dapat meluangkan masa untuk turun padang bertemu dan melihat sendiri keadaan sebenar kehidupan seharian rakyat  negeri ini,” seru beliau lagi. – HARAKAHDAILY 28/11/2017
Advertisement