PAS telah lama perjuang pramugari tutup aurat

ISU pemakaian tudung oleh pramugari yang beragama Islam sudah lama dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PAS dalam persidangan Dewan Rakyat,  kata Ahli parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah  Mohd Yusuf.

Advertisement

Katanya, PAS berbuat demikian supaya kerajaan mengubah polisinya bagi membolehkan anak kapal yang bergama Islam melaksanakan tugasnya dalam Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) atau syarikat lain seperti Air Asia, Malindo Air dan Firefly.

“Kita sarankan kepada kerajaan supaya melaksanakan polisi menutup aurat bukan sahaja diwajib kepada syarikat penerbangan awam tetapi kepada sektor  swasta supaya pakaian seragam mereka menutup aurat sebagaimana disyariatkan oleh Islam,” kata semasa menghubungi Harakah, hari ini.

Katanya, ia selaras dengan Islam sebagai agama persekutuan negara ini.

Oleh itu, beliau berharap sebarang halangan termasuk akta dan sebagainya perlu dipinda.

Beliau berkata, ia tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakan  perintah Allah SWT seperti mana disebut dalam al-Quran supaya dipraktikkan dalam negara ini.

“Kita merdeka lebih daripada 60 tahun maka tidak ada alasan untuk berdolak-dalik dalam isu ini.

“Sebelum ini pun ada syarikat penerbangan yang membolehkan juruterbang memakai pakaian yang menutup aurat.

“Jadi tidak salah petugas atau pramugari di semua syarikat penerbangan negara ini melaksanakan pamakaian tudung dalam kapal terbang,” katanya lagi.

Begitu juga katanya, sebelum ini pramugari MAS menutup aurat  semasa membawa jemaah haji ke tanah suci.

Tegasnya, kerajaan wajar meminda mana-mana akta yang menjadi halangan bagi mengarahkan sektor awam atau swasta bagi membolehkan kakitangan mereka  menutup aurat khususnya yang beragama Islam.

Dalam persidangan rakyat, 22 November lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata, pramugari muslim yang bekerja dengan MAS perlu dibenarkan memakai tudung. – HARAKAHDAILY 28/11/2017