Pembalakan HSBE satu kemusnahan khazanah

PEMBALAKAN di Hutan Simpan Bukit Enggang yang melibatkan keluasan 1,000 hektar telah mengakibatkan kerosakan yang serius terhadap alam sekitar dan menjejaskan urusan seharian pendudukan persekitaran. 
 
Penebangan yang dikategori sebagai gondol itu melibatkan kompartmen 12, 13, 14 dan 15 dan menyebabkan semua pokok ditebang habis serta hasil kayu kayannya tidak kira besar mahu pun kecil, diangkut keluar. 
 
Sementara itu bukit bukau telah diteres dan mengakibatkan berlaku rekahan dan runtuhan tebing, sekaligus menimbus alur dan sungai yang menjadi sumber air kepada beberapa buah kampung berhampiran. 
 
 
Kesan terhadap sumber air
 
Akibat dari tindakan itu sumber air masyarakat dari Bukit Enggang tidak boleh digunakan. Tiga buah empangan yang dibina oleh penduduk kampung, dua daripadanya telah ditembusi tanah sementara satu lagi menanti masa untuk musnah.
 
Air dicemari dengan selut serta lumpur sehinggakan penduduk kampung terpaksa mencari alternatif lain beralih kepada sumber air perigi. Malah banjir lumpur telah melanda di beberapa buah kampung seperti Kampung Paya Terendam, Durian Burung dan Balong Air mengakibatkan rumah, surau, halaman, kawasan tanaman dan lain-lainnya dipenuhi lumpur.
 
 
Sejarah Bukit Enggang
 
Kisah penebangan rakus Bukit Enggang ini sebenarnya telah dipopularkan oleh sasterawan terkenal, Dato’ Shahnon Ahmad dalam novelnya ‘Srengenge’ pada tahun 1974.
 
Novel berkenaan mengkisahkan bagaimana penduduk Sik ketika itu menentang cubaan menggondolkan Bukit Enggang yang sememangnya menjadi punca rezeki mereka, malah bukit yang kaya dengan khazanah hutannya amat digilai oleh kapitalis sejak tahun 1970-an lagi. 
 
 
Ladang komersil TLC dan Albizia
 
Sebuah Anak Syarikat (GLC) Kerajaan Negeri Kedah iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI) merupakan antara yang bertanggungjawab di atas pembalakan perkenaan yang dikatakan penebangan untuk dijadikan ladang komersial Timber Latex Clone (TLC) dan Albizia
 
TLC dan Albizia merupakan tanaman komersial untuk ditebang, kemudian ditanam lagi serta ditebang berulang-ulang. Ini menyebabkan hutan asli musnah serta semakin pupus akibat ketamakan keuntungan semata-mata. 
 
Persoalannya kenapa kerajaan membalak untuk tanaman yang lebih rendah kualiti dan fungsinya berbanding hutan asli? TLC dan Albizia tidak berupaya menandingi hutan asli dari segi sumbangannya kepada kehidupan. 
 
Andainya benar penggondolan Bukit Enggang untuk projek berkenaan kenapa tidak ianya dilaksanakan di kawasan seluas 4,000 ekar di Gunung Inas, yang diluluskan kepada PT Rubber JV Kedah Agro pada tahun 2007 untuk pembangunan Ladang ganti. Sedangkan sehingga kini, kawasan berkenaan dibiarkan tanpa dimanfaatkan.
 
 
Penebangan untuk keuntungan
 
Ladang Hutan Ganti yang memusnahkan hutan asli itu dilihat hanya sekadar alasan untuk menutup tujuan sebenar iaitu mengaut keuntungan segera dari pasaran kayu balak tropika bermutu tinggi.
 
Tambahan pula penebangan melibatkan Ladang Hutan Ganti tidak termasuk dalam kouta tebangan tahunan bagi setiap negeri yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara dan Dasar-dasar Majlis Perhutanan Negara.
 
Walau bagaimanapun dasar ketujuh (7) di dalam Dasar-Dasar Perhutanan Negara menggariskan pelaksanaannya untuk menampung kekurangan bekalan kayu dari hutan asli, namun apa yang dibuat oleh MBI ini lebih kepada memusnah sama sekali bekalan kayu asli. 
 
 
Bercanggah Dasar Perhutanan Negara
 
Perbuatan tersebut bercanggah dari garis panduan dasar ke 11 yang ditetapkan di dalam Dasar-dasar Perhutanan Negara iaitu menggalakkan pelaburan sektor swasta dalam pembangunan hutan yang dimajukan di kawasan persendirian.
 
Namun MBI yang merupakan GLC yang menerima modal dan ‘keistimewaan’ daripada kerajaan telah membangunkan ladang hutan bukan di tanah persendirian tetapi di hutan asli yang dihilangkan selama-lamanya. 
 
Selain itu mengikut dasar ke lapan (8) aktiviti pembalakan dan membangunkan hutan ganti tidak melibatkan masyarakat setempat secara aktif.
 
Sementara itu dasar ke enam (6) menggalakkan penyertaan bumiputera secara agresif juga tidak berlaku memandangkan semua pengusaha pembalakan itu adalah dari bukan bumiputra dan berasal dari luar Kedah. 
 
Kontraktor yang dilantik (Jaentique Sdn Bhd) hanyalah ‘Ali Baba’ yang menerima bayaran wang lesen sahaja. Sementara itu MBI pula bukannya ‘Bumiputra’ dalam maksud sebenar jika dirujuk kepada Perlembagaan. 
 
Peluang pekerjaan dibuka kepada warga asing dengan upah 30 sen untuk setiap pokok yang ditanam tetapi penduduk Bumiputra hanya menerima selut dan lumpur sahaja.
 
Dasar ke 14 dan 15 juga diabaikan apabila syarikat terlibat telah bertindak memusnahkan flora, fauna, kepentingan orang ramai serta penggunaan air daripada hutan.
 
 
 
Tindakan Jabatan Alam Sekitar
 
Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar digesa agar menjalankan pemantauan dan pemeriksaan semula proses kelulusan projek dan adakah ia bertepatan dengan kehendak undang-undang serta memenuhi kehendak Preliminary EIA, Detailed EIA dan Mengulas & Memeriksa Laporan Penilaian. 
 
Jabatan Alam Sekitar diharapkan agar mengambil tindakan segera sekiranya penebangan tersebut jelas berlakunya perlanggaran peraturan agar mana-mana agensi atau syarikat yang mengambil mudah isu-isu alam sekitar tidak sewenang-wenangnya beroperasi semata-mata mengejar keuntungan mudah.
 
 
Nasib rakyat
 
 
Oleh itu jangan biarkan rakyat, bumi, unggas serta flora dan fauna menangis merintis akibat kerakusan manusia yang hanya mengejar keuntungan dan kekayaan. Walhal dalam masa sama memusnahkan khazanah hutan yang amat bernilai.
 
Ataukah, nasib penduduk setempat yang terpaksa menanggung risiko berganda akibat pembalakan dan penebangan rakus itu dibiarkan begitu sahaja. 
 
Tidakkan kerajaan terfikir untuk memberi pampasan kepada 100 keluarga yang baru-baru ini kediaman, kebun tanaman dan lain-lain dilanda banjir lumpur dan mengakibatkan kerugian?
 
Apakah di sana pemimpin Umno gah mencanangkan kehebatan mereka menerajui kerajaan sedangkan di sini rakyat bergelumang dengan kesusahan dan tangisan?
 
* Ringkasan oleh Wartawan Harakah, SARINA ISMAIL dari Memorandum Isu Hutan Simpan Bukit Enggang Sik yang diserahkan kepada pihak Kerajaan Negeri Kedah oleh PAS Kedah, Jawatankuasa Bertindak dan NGO-NGO
 
 HARAKAHDAILY 28/11/2017
Advertisement