Persoal takrif miskin di Johor

MUAR: Adun Maharani, Dr Mohamad Taslim mempersoalkan kriteria yang diguna pakai Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung kenyataannya bahawa kadar kemiskinan di negeri itu sejak 2014 adalah 0.0 peratus.
 
Adun Permas itu mendakwa, Johor berjaya mengekalkan kadar kemiskinan 0.0 peratus sejak 2014 berbanding 0.9 peratus pada 2012 ketika membentangkan Bajet Johor 2018 di Kota Iskandar Iskandar Puteri Johor Bahru, 23 November lalu.
 
Kenyataan tersebut menurut Dr Mohamad, menggambarkan seolah-olah sudah tiada lagi orang miskin di negeri Johor, sedangkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, termasuk wakil rakyat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) masih berjalan seperti biasa.
 
“Bahkan jumlah pemohonnya juga semakin bertambah ramai. Adakah sekarang ini golongan yang menerima bantuan ini bukan dari kalangan orang miskin?” soal beliau yang turut menyifatkan kenyataan tersebut sebagai mengelirukan.
 
Ini kerana nyata beliau, realiti sebenar menunjukkan masih ramai lagi rakyat negeri Johor yang berstatus miskin atau pun miskin tegar dan golongan ini masih memerlukan bantuan kerajaan.
 
“Ini dapat dibuktikan di kawasan yang saya wakili sejak 2008 di mana masih terdapat begitu ramai golongan rakyat yang susah hinggakan sekiranya mereka ini diberi sekampit beras (10 kg) untuk sebulan pun mereka sudah cukup bersyukur.
 
“Selain itu peningkatan permohonan bantuan di JKM dan Baitulmal pada setiap tahun juga membuktikan bahawa kadar kemiskinan rakyat negeri ini semakin meningkat bukan semakin menurun.
 
“Walaupun mungkin peruntukkan tidak meningkat, tetapi permohonan untuk mendapatkan bantuan ini terus meningkat saban tahun. Ini jelas menunjukkan kenyataan Menteri Besar berhubung kadar kemiskinan rakyat ini tidak mencerminkan keadaan sebenar yang berlaku,” jelas beliau.
 
Menurut Dr Mohamad lagi, pemberian BR1M kepada rakyat yang berpendapatan di bawah RM4,000 adalah bukti jelas bahawa kadar kemiskinan masih terlalu tinggi.
 
“Jikalau golongan yang berpendapatan sehingga RM4,000 pun masih perlu dibantu, maka istilah miskin sifar ini amat tidak relevan buat masa ini. Ini kerana pendapatan sebanyak itu hanya cukup untuk makan sahaja, itu pun kadang-kadang tidak cukup, untuk simpanan memang jauh sekali.
 
“Lebih malang lagi kesan dari kemiskinan ini menyebabkan terdapat di kalangan rakyat yang tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka untuk meneruskan pengajian hingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi berpunca dari  desakan kewangan.
 
“Oleh kerana itu jangan ada pihak lebih-lebih lagi pihak yang berautoriti mengeluarkan statistik mengelirukan bertujuan untuk mengaburi mata rakyat semata-mata, begitu juga dengan istilah-istilah yang sekadar untuk menyedapkan hati rakyat sahaja, tidak lebih dari itu,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 28/11/2017
Advertisement