Mahfuz bersama PH satu dunia telah tahu

KUALA LUMPUR: Pengisytiharan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar bahawa perjuangan politik beliau kini bersama dengan Pakatan Harapan (PH) adalah sekadar formaliti sahaja.
 
Naib Presiden PAS Idris Ahmad juga berkata bahawa semua pihak sudah sedia maklum akan sikap beliau.
 
“Ucapan beliau itu pun bukanlah satu berita sebenarnya kerana satu dunia sudah tahu tentang pihak sebelah mana  beliau berada. Jikalau tidak mengaku pun orang akan menilainya dari segi tindakan. Ini kerana dari segi tindakannya sudah pun menggambarkan isi hatinya,” ujar beliau.
 
Meskipun Mahfuz tidak mengumumkan komponen manakah yang akan disertainya secara, perkara itu menurut Idris adalah sama dengan Adun Anak Bukit Amiruddin Hamzah yang sudah sekian lama terpisah dari parti. 
 
Ini jelasnya, dapat dicerminkan melalui tindakan Amirudin meletakkan jawatan sebagai YDP Kuala Kedah, tidak menghadirkan diri ke program-program PAS termasuklah Muktamar Tahunan PAS tahun 2017 yang diadakan di Kedah.
 
“Ia bukanlah satu tindakan mengejutkan daripada kedua-dua individu tersebut. Pernyataan Mahuz yang mengatakan bahawa lebih ramai pimpinan PAS di pelbagai peringkat akan bertindak keluar parti juga tidak akan memberi apa-apa kesan.
 
“Sesiapa pun pernah bertindak sedemikian hatta Presiden PAS sekalipun pernah mengambil langkah keluar parti,” jelas Idris.
 
Begitu juga Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, Naib Presiden yang pernah berbuat demikian jadi PAS sejak lama sudah berpengalaman melalui perkara-perkara sebegitu katanya.
 
“Perjuangan PAS ini bukan kerana individu, malah ahlinya berjuang atas dasar PAS itu sendiri. Mereka bersama-sama kita selagi mana PAS berpegang pada prinsip-prinsip Islam. Sedangkan para pimpinan boleh datang dan pergi serta boleh digilap,” terang beliau.
 
Menyentuh isu pencalonan Mahfuz sebagai calon mewakili PAS, beliau menasihatkannya agar menunggu pilihanraya. 
 
Saya sendiri pun belum tentu jadi calon pilihanraya lagi, malahan isu berkenaan bukanlah hak peribadi kerana ia tertakluk pada keputusan parti katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/11/2017
Advertisement