Sejak bila Hanipa Maidin berubah jadi liberal?

MEMBACA tulisan Pengerusi KANUN PAN merangkap Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, yang kini popular kerana pembelaan beliau ke atas golongan ateis, jelas beliau sangat istiqamah memperjuangkan kepentingan Islam, khususnya di dalam isu murtad, sebelum ini.
 
Kes Anthony Rayappan
 
Di dalam tulisan Hanipa Maidin bertajuk “Kes Muhamad Rayappan Menimbulkan Banyak Tandatanya” pada 21 Disember 2006 umpamanya, Hanipa Maidin mempersoalkan tindakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tuntutan ke atas mayat Anthony Rayappan yang dilaporkan memeluk Islam pada bulan Januari 1990 tetapi menukar agamanya kepada Kristian pada bulan Mei 1999 dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan kad pengenalannya dengan memuatkan status agama barunya pada 2000.
 
Kata Hanipa Maidin, tindakan MAIS pada 6 Disember 2006 ini bertentangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pada 1 Disember 2006 dan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Disember 2006 bahawa si mati adalah seorang Islam di masa kematiannya.
 
Kata Hanipa Maidin lagi, tindakan JPN meluluskan permohonan menukar status agama yang dibuat oleh Anthony Rayappan pada 2000 juga adalah tidak sah kerana tiada perintah daripada Mahkamah Syariah yang menyatakan Anthony Rayappan adalah seorang murtad.
 
Kata beliau lagi, tindakan MAIS pada 6 Disember 2006 ini bukan sahaja tidak menghormati keputusan Mahkamah Rayuan Syariah tetapi juga menghampakan dan menghiris perasaan orang Islam dalam keadaan MAIS diharap melindungi kepentingan Islam dalam isu ini.
 
Kes Subashini Rajasingham
 
Di dalam tulisan Hanipa Maidin bertajuk “Kes Subashini V Rajeswaran – Ketidakadilan Ke Atas Orang Islam Kenapa Didiamkan” pada 20 Mei 2007 pula, Hanipa Maidin mempersoalkan tindakan peguam Subashini Rajasingham yang tidak membangkitkan soal Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 yang secara jelas mendiskriminasi pihak yang beragama Islam kerana melarang pihak yang beragama Islam untuk pergi ke Mahkamah Sivil bagi mendapatkan perintah penceraian.
 
Kata Hanipa Maidin, tindakan Mahkamah Rayuan tidak membenarkan permohonan injuksi Subashini Rajasingham bagi menghalang bekas suaminya, Saravanan Thangathoray, dari mengIslamkan dua anak mereka dan dari memulakan atau meneruskan prosiding berhubung dengan perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah adalah satu tindakan yang betul.
 
Kata Hanipa Maidin lagi, keputusan Mahkamah Rayuan ini telah dikritik secara bertalu-talu oleh pihak bukan Islam dan juga sesetengah orang Islam sendiri kerana menyatakan bahawa Subashini Rajasingham masih mempunyai peluang (recourse) untuk pergi ke Mahkamah Rayuan Syariah jika beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.
 
Kritikan ini, kata beliau, mengabaikan atau mengenepikan perkara-perkara seperti ketidakadilan Seksyen 51 akta ini mahupun Seksyen 3 (3) akta ini yang memperuntukkan bahawa akta ini tidak terpakai kepada orang Islam tetapi memaksa bekas suami Subashini Rajasingham untuk tunduk dan menyerah diri kepada bidangkuasa Mahkamah Sivil.
 
Kata beliau lagi, kes ini “merupakan satu lagi plot baru pihak-pihak tertentu memanipulasi keadaan bagi mewujudkan satu rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam khususnya terhadap peranan Mahkamah Syariah dan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini”.
 
Kes Lina Joy
 
Di dalam tulisan Hanipa Maidin bertajuk “Keputusan Lina Joy – Menang Ya, Lega Tidak” pada 12 Jun 2007 pula, Hanipa Maidin memuji tindakan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang, di dalam satu keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan, menolak penghujahan peguam Lina Joy dan juga NGO yang menyokong Lina Joy yang meminta mahkamah memutuskan bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan mutlak untuk Lina Joy keluar dari agama Islam dan menjadi Kristian.
 
Begitupun, kata Hanipa Maidin, bagi mengelakkan kes seperti Lina Joy ini berulang kembali, kerajaan perlu menjadikan murtad sebagai satu kesalahan di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan atau Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 kerana antara isu yang dibangkitkan di dalam kes Lina Joy ini adalah berkaitan dengan isu bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk membicarakan kes murtad.
 
Kata Hanipa Maidin lagi, Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali menasihati agar pihak kerajaan memperuntukkan secara jelas di dalam undang-undang (khususnya di Wilayah Persekutuan) bahawa murtad hendaklah dibicarakan di Mahkamah Syariah tetapi nasihat tersebut tidak diendahkan yang mengakibatkan sehingga kini tidak ada peruntukan secara jelas di Wilayah Perekutuan bahawa murtad hendaklah dibicarakan di Mahkamah Syariah. 
 
Kata beliau lagi, kerajaan juga perlu meminda sekali lagi Peraturan 14 daripada Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dengan memperuntukkan secara jelas bahawa mana-mana orang Islam yang ingin membuat pertukaran kad pengenalan atau menukar butir-butir namanya kepada nama bukan Islam atau membuang perkataan Islam di dalam kad pengenalannya wajib mengemukakan perintah bermeterai daripada Mahkamah Syariah kepada pihak JPN.
 
Kata beliau lagi, berbekalkan dengan pengiktirafan Mahkamah Persekutuan dalam kes ini mengenai kesyumulan Islam, maka pengundi-pengundi yang beragama Islam wajib menggunakan hak mengundi mereka sebagai “bargaining power” ke atas parti politik yang ingin mendapatkan undi mereka agar Islam sebagai Al-Deen ditegakkan di negara ini.
 
Tambah beliau: “Kalau pihak-pihak yang ingin murtad boleh menggunakan (baca menyalahgunakan) Artikel 11 untuk menghancurkan Islam dengan memohon hak untuk murtad maka kenapakah orang Islam yang komited pada agamanya tidak boleh menggunakan Artikel yang sama untuk berhujah bahawa hak mengamalkan agama di dalam Artikel 11 adalah merangkumi pengamalan agama secara syumul dalam semua aspek kehidupannya dan ianya tidak boleh disekat oleh mana-mana pihak.”
 
Seru beliau: “Wahai saudara-saudaraku orang Islam, bangun dan minta hak kamu!!!”
 
Kes Siti Fatimah Tan
 
Di dalam tulisan Hanipa Maidin bertajuk “Keputusan Mahkamah Syariah Pulau Pinang Tidak Selari Dengan Pandangan Fuqaha’ Islam” pada 12 Mei 2008 pula, Hanipa Maidin menyatakan kekecewaan beliau dengan tindakan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang membenarkan permohonan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Abdullah, 39, untuk mendapatkan pengisytiharan keluar daripada agama Islam (murtad) di atas alasan Siti Fatimah Tan tidak mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk agama itu pada 25 Julai 1998.
 
Kata Hanipa Maidin, keputusan tersebut membawa kesan yang amat besar dan mendalam kerana ia dikatakan “boleh membuka ruang yang besar kepada orang Islam yang tidak begitu komited dengan agamanya untuk memohon kepada Mahkamah Syariah bagi menukar agamanya atas alasan ia tidak lagi berpegang atau beramal dengan ajaran Islam”.
 
Kata Hanipa Maidin lagi, kesilapan di dalam keputusan tersebut bermula apabila Hakim tersebut tidak mendekati murtad sebagai satu jenayah sepertimana yang ditentukan oleh fuqaha’ Islam. Ini kerana apabila murtad dikategorikan sebagai satu jenayah, tidak timbul seorang Islam itu mempunyai hak untuk membuat permohonan untuk murtad, sebaliknya negara yang bertanggungjawab membawa pesalah murtad ke mahkamah untuk dibicarakan atas tuduhan murtad dan jika didapati bersalah si murtad tersebut boleh dihukum.
 
Kata beliau lagi: “Islam mempunyai sebab tersendiri menjadikan murtad sebagai satu kesalahan jenayah. Menjadikan murtad sebagai satu jenayah adalah selari dengan maqasid syariah yang meletakkan agama sebagai satu perkara asas yang amat perlu dilindungi.”
 
Kes Ateis Amerika Syarikat
 
Di dalam tulisan Hanipa Maidin bertajuk “Hakim Amerika Pertahan Islam Di Mahkamah” pada 12 Mac 2012 pula, Hanipa Maidin memuji tindakan seorang hakim di sebuah mahkamah di Pennsylvania, Amerika Syarikat, bernama Mark Martin, yang membebaskan seorang Islam, Talaag Elbayomy, dari tuduhan mengganggu (harrassament) kerana memukul seorang ateis, Ernie Perce, kerana perbuatan Ernie Perce yang telah menghina Nabi Muhammad dengan memakai pakaian yang menunjukkan kononnya mayat Nabi Muhammad sedang bangun dan berjalan di dalam satu perarakan sempena menyambut Hari Halloween.
 
Turut disebutkan oleh beliau ialah kenyataan hakim tersebut yang berbunyi: “Di dalam masyarakat kita (Amerika Syarikat) kita mempunyai Perlembagaan yang memberi kita banyak hak khususnya hak di bawah Pindaan Pertama. Amat malang setengah orang mengguna Pindaan Pertama tersebut bagi membuat provokasi ke atas orang lain dengan sengaja. Saya tidak fikir itulah yang diniatkan oleh datuk moyang kita terdahulu. Saya rasa datuk moyang kita berniat untuk mengguna Pindaan Pertama tersebut bagi membolehkan kita menyampaikan apa yang ada di minda kita dan bukannya bagi menghina dan mencerca orang lain atau budaya mereka – yang malangnya itulah yang kamu lakukan.”
 
Kesimpulan
 
Berdasarkan kepada lima tulisan Hanipa Maidin ini, jelas beliau sangat istiqamah memperjuangkan kepentingan Islam, khususnya di dalam isu murtad, walaupun setelah PAS menyertai Pakatan Rakyat pada tahun 2008. Ini sekali gus menimbulkan pertanyaan: Sejak bila dan apa punca sebenar Hanipa Maidin berubah menjadi liberal, khususnya dalam menangani isu murtad ini? Apakah sejak menang di kerusi P113 Sepang pada PRU 13 (setelah kalah dengan majoriti 3,820 undi di kerusi P95 Tanjong Karang pada PRU 12)? – HARAKAHDAILY 29/11/2017
Advertisement