Syok bajet ketika dibentang

SARANAN Islam buat seluruh ummah, hendaklah hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Ia dikongsi oleh semua tamadun.

Advertisement

Pesanan itu tidak berlaku untuk rakyat kita di bawah pentadbiran yang ada ini.

Yang terjadi kepada sekalian pacal, dua tiga minggu sudah lebih senang dari hari ini. Payah hendak memikirkan esok akan lebih senang. Kerana akhir-akhir ini pacal tidak pernah senang, ertinya kita semua susah. Jika semalam cukup susah, maka hari ini lebih susah.

Tinjauan yang dibuat oleh media atas pasaran basah harian, semuanya mengaku yang mahal dua minggu dulu tidak semahal yang mahal sekarang.

Antara keperluan harian seperti ikan dan sayur lebih dari dua kali naik dalam masa kurang dari sepuluh hari. Ikan kembung adalah lauk hari orang awam selama-lamanya. Bawal, gegerut, senangin bukan lauk mereka. Ia lauk orang berada.

Mereka tidak beli bawal kerana harganya tinggi. Tetapi ikan kembung hari ini lebih mahal dari bawal awal tahun ini. Saya tidak mahu sebut berapa harganya sekarang. Kalau saya sebut nescaya makan tak berlauk sekarang.

Keadaan barang mahal, tidak padan dengan pendapatan semua, amat ketara di bawah pentadbiran Najib yang mewawasankan pendapatan tinggi. Pendapatan tak tinggi-tinggi. Yang tinggi dan tinggi harga barang.

Bila PM Najib mewawaskan pendapatan tinggi tentulah dia hendak melihat dicapai dalam masa pentadbirannya. Tentulah tempoh pentadbirannya tidak sampai 22 tahun seperti dia dan rakan-rakannya selalu jejek sekarang.

Pendapatan itu sudah diinjak untuk rakyat dalam TN50. Masa itu mungkin 40 peratus orang yang ada hari ini sudah tidak ada lagi. Khairy Jamaluddin kalau ada lagi sudah bertongkat.

Suasana serba payah sekarang adalah takdir selepas pembentangan Bajet 2018. Sebelum pembentangan bajet Oktober lalu sumuanya sudah susah, tetapi tidak serba susah.

Sekalipun bajet itu guna mengadakan peruntukan supaya kerajaan boleh berbelanja, bukan itu saja tujuannya. Ia adalah untuk merangsang keadaan yang lebih senang untuk semua dan jangka panjang kesenangan tahun-tahun muka.

Agong tidak dapat mimpi seperti Raja Mesir semasa Nabi Yusuf dipenjara. Mimpi Raja Rayyan ditakbir Nabi Yusuf bahawa wilayah sekitar Laut Mediterranean akan subur selama tujuh tahun dan akan diikuti tujuh tahun kemarau tanaman tidak menjadi.

Maka Nabi Yusuf membuat bajet, mengisi sebanyak stok makanan semasa subur bagi bekalan masa kemarau.

Najib tidak menunggu mimpi Agong menyediakan bajet 2018 dan TN50. Makanya yang dia sendiri dakwa ibu segala bajetnya sejak dulu menjanjikan agihan peruntukan besar untuk semua. Tun Ghafar Baba dulu suka menyebut juta-juta. Najib pula suka bilion-bilion. Semua syok kerana masing-masing dapat bahagian dari bilion yang diguruhkan. Tiada yang tidak dapat apa-apa.

Semua keluar berpusu-pusu setelah mendengar guruh di Parliman untuk menyambut hujan di luar Parliman. Bajet menjanjikan rahmat untuk semua. Rahmat hanya dari Allah. Ia belum datang.

Kaum Aad mengharapkan langit gelap membawa hujan setelah lama tidak hujan. Yang turun taufan membinasakan kaum Aad dan segala tamadunnya.

Rahmat bajet pada pembentangannya. Hujan di luar Parliman membawa kenaikan harga minyak beberapa kali seminggu dan harga barang yang melambung tiap-tiap minggu.

Selepas bajet dibentang semuanya tidak seronok lagi. Negara keluarkan minyak, rakyat tiada duit hendak isi minyak motokar. Laut lambakkan ikan kembung, rakyat mampu beli seekor dua untuk satu keluarga. Bajet tak dapat beri lauk. Takut masa TN50 makan tak berlauk. – HARAKAHDAILY 29/11/2017