Amphicoach: Kerajaan Terengganu dilihat cuai

AMARAN Kerajaan Negeri Terengganu kepada pembekal bas amfibia secara kata dua pada 11 November 2017 lalu menimbulkan banyak persoalan yang sewajarnya diteliti secara jujur. Kata dua dilontarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dengan membangkitkan isu teknikal itu amat perlu. Namun, menghala ke meja perundangan walaupun dilihat wajar, tetapi jelas terlambat selain menunjukkan kecuaian ketara di pihak kerajaan. Ironinya, permasalahan berlaku kini membenarkan kemusykilan pernah kami utarakan dahulu.
 
Kelemahan nyata pihak kerajaan negeri apabila garis panduan oleh pihak Kementerian Kewangan berkaitan Kaedah Perolehan Kerajaan yang menetapkan bahawa kontrak perbekalan perlu termaktub dengan elemen sebagaimana diperincikan, seolah-olah telah diabaikan. Antaranya, Apakah aset yang ingin dibeli?; Menetapkan spesifikasi aset yang dimaksudkan; Sokongan perkhidmatan selepas jualan; Jaminan pengeluar; Tempoh penghantaran dan Manfaat pemindahan teknologi (technology transfer) yang diperolehi melalui pembelian aset berkaitan.
 
Kami juga pernah beberapa kali menyuarakan kewajaran pembeliannya dahulu, namun sebaliknya pihak Kerajaan Negeri Terengganu bermegah mendabik dada sebagai pemilik ke-13 di dunia yang mempunyai kenderaan Amphicoach. Munasabah terhadap perkara ini telah dinyatakan sejak cetusan untuk membeli bas amfibia ini dimulakan pada penghujung tahun 2013 lagi. Namun, usaha pembelian bas ini dimulakan juga pada tahun 2014, seterusnya dijangka berjaya menerima pada 30 Ogos 2015.
 
Malangnya, didakwa berlaku masalah sistem hidraulik dan menyebabkan penghantarannya tertangguh. Dari semakan dibuat, telah empat kali penangguhan kerja ini (EOT) berlaku iaitu pada 7 Disember 2015, 2 Mei dan 26 November 2016 serta Januari 2017. Semakan lanjut kami lakukan turut menemui banyak keraguan yang menuntut penjelasan telus daripada pihak Kerajaan Negeri Terengganu. Kerana ia sangat berkait dengan perancangan di masa lalu dan kesan akibat ditanggung kini.
 
Berdasar rujukan, kontraktor yang telah berjaya memperolehi projek membekalkan bas amfibia ini merupakan sebuah syarikat baharu iaitu ditubuhkan pada 27 Mac 2014. Bermakna ia ditubuhkan selepas cetusan idea pembelian bas ini dibawa pada penghujung tahun 2013 oleh pihak kerajaan. Malah, berdasar rekod urus niaga, syarikat ini juga ditubuhkan semata-mata untuk membekalkan bas amfibia kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Kontraktor pembekal ini adalah Alam Perkasa Technology Sdn.Bhd.
 
Semakan kepada penyata kewangan tahunan syarikat Alam Perkasa Technology Sdn Bhd direkodkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula mendapati bahawa syarikat berkenaan telah menerima sebanyak RM2,295,000 pada tahun kewangan 2015. Penyata itu sangat dipercayai sebagai sebahagian imbuhan terhadap khidmat pembekalan tersebut dan tiada pendapatan yang dicatatkan pada tahun 2016. Walhal, deposit yang dibayar oleh pihak Kerajaan Negeri Terengganu hanyalah 50 peratus dari jumlah harga sebuah amfibia.
 
Di sinilah menuntut Kerajaan Negeri Terengganu menjelaskan kepada rakyat jumlah yang telah dibayar kepada pihak syarikat pembekal tersebut. Tetapi lebih malang apabila Kerajaan Negeri Terengganu dilihat tidak memiliki satu perancangan yang komprehensif untuk memanfaatkan penggunaan bas amphibia ini. Pada peringkat awal, ia dilihat akan digunakan untuk merancakkan pelancongan di Tasik Kenyir. Namun yang berlaku ialah pihak Kerajaan Negeri Terengganu menyerahkan bas ini kepada pihak Pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI).
 
Malah, ia sepatutnya di bawah seliaan TTI berikutan pembinaan Peluncur Serbaguna Untuk Amphicoach di TTI dengan harga RM487,000.  Pembinanya adalah kontraktor Double Z KT Resources yang ditubuhkan pada 1 Februari 2014. Selain itu, Amphicoach turut dirancang untuk dimanfaatkan bagi tujuan khidmat ketika bencana banjir. Dalam masa sama, TTI River Cruise juga sepatutnya perlu diberikan sokongan. Pun begitu, hakikat yang terjadi adalah ia hanya tersadai di dermaga TTI tanpa pemasaran agresif pihak berwajib.
 
Sehubungan itu, kami menggesa pihak Kerajaan Negeri Terengganu tampil memberi keterangan tanpa selindung terhadap seluruh keraguan berkait urus niaga dan perkhidmatan ini. Kerana wujud unsur-unsur salah urus tadbir, kecuaian, kegagalan bahkan penyelewengan terancang. Sewajarnya, pihak kerajaan bertindak secara profesional dan efisyen dalam urusan pentadbiran termasuk berbelanja secara berhemah dalam urusan kewangan. Namun kini umpama ‘Nasi sudah menjadi bubur’.
 
USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu
30 November 2017 | 11 Rabiul Awwal 1438 – HARAKAHDAILY 30/11/2017

Advertisement