Antara senyuman dan tangisan Rohingya

PELUANG  dan kesempatan mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya di sempadan Cox’s Bazar, Bangladesh amat bermakna bagi Dewan Muslimat PAS Terengganu.

Advertisement

Ketuanya, Ustazah Zarani Othman menceritakan penyertaan beliau bersama delegasi itu merupakan satu pengalaman yang cukup berharga.

Penyertaannya  menyaksikan pertautan di atas satu akidah Islam dan rasa kemanusiaan yang dapat menyatukan hati-hati manusia walaupun sebelum itu tidak pernah bertemu dan tidak pernah mengenali antara satu sama lain.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

 

Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya itu diketuai oleh Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief), Mohammad  Sanusi Mohd Nor dan PASRelief Terengganu, Yahaya Ali bermula 13 sehingga 17 November lalu.

Pada misi bantuan itu, PASRelief Terengganu sebelum ini telah melancarkan kempen tersebut dan berjaya mengumpul lebih RM500,000 wang sumbangan dari umat Islam di Terengganu.

Terengganu adalah negeri paling banyak menyumbang kepada PASRelief dan semua kutipan itu untuk Tabung Kemanusiaan Rohingya sebanyak RM535,315.75 dalam tempoh satu bulan kempennya.

Harakah difahamkan, sumbangan itu disalurkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan iaitu Coperation of Humanity Activities (CHA) melalui wakilnya, Selimullah Musted Ahmad bagi menunaikan amanah untuk melaksanakan beberapa projek yang dicadangkan itu.

Antaranya, pakej makanan untuk lebih 5000 keluarga, 51 buah ‘shelter home’ atau khemah kediaman, 10 unit Sekolah beserta dengan peralatan dan buku-buku teks, 44 buah ‘tubewell’ (telaga tiub), tempat mandi wanita sebanyak 20 unit, tiga buah masjid, pakaian, selimut serta kos gaji atau elaun kepada 10 orang guru selama tujuh bulan pertama ini.

Ustazah Zarani  menceritakan pengalamannya sewaktu mengagihkan  makanan, selimut, pakaian sekolah dan duit untuk mangsa pelarian dan anak-anak Rohingya di kem-kem di Balukhali, Chakmarkul, Thengkhali, Palongkhali dan Khutupalong.

Operasi tersebut berjalan lancar dengan bantuan dan kerjasama baik daripada pihak berkuasa (tentera) Bangladesh yang menguruskan mereka di kem-kem tersebut.

Dengan ditemani jurubahasa bernama Osman dan Shahid, barangan keperluan tersebut diserahkan kepada   pelarian yang baharu tiba dan sedang beratur menunggu giliran untuk ditempatkan di dalam kem-kem yang sedia ada itu.

Malahan, ada yang sedang menunggu giliran masing-masing selama dua atau tiga hari dalam keadaan serba kekurangan dan menyedihkan.

“Saya sempat juga mendukung bayi yang baharu lahir. Sedih memikirkan nasib mereka tetapi rasa kagum dengan setengah-setengah wanita dan muslimat Rohingya yang masih lagi dapat menjaga maruah serta aurat mereka.

“Duit-duit yang kami bawa hanya boleh diberi secara sembunyi-sembunyi kerana terlalu ramai yang memerlukannya tidak kira orang tua, muda atau kanak-kanak. Kita pegang saja poket pasti kita akan diekori dan dikerumuni… tiada rasa segan dan silu lagi apabila hidup terumbang-ambing, tiada tempat dan haluan untuk dituju,” cerita Ustazah Zarani.

Ketibaan di Kem Balukhali, pada 16 November memberi peluang kepada delegasi PASRelief Malaysia  melawat sekolah-sekolah yang dibina, tubewell yang dipasang, masjid atau musolla didirikan, rumah kediaman yang dibina berdindingkan ‘kanvas’ atau plastik hitam dan buluh yang telah siap dibina oleh PASRelief  semasa kunjungan misi sebelum ini.

Dengan menaiki beberapa anak bukit, mereka sampai untuk program Perasmian Masjid PASRelief Malaysia di Kem Balukhali dan disambut oleh saudara-saudara Rohingya  yang beratur dengan ‘bunga manggar’ Rohingya.

Ahli-ahli rombongan PASRelief diraikan dengan seadanya. Program dimulakan dengan ucapan perasmian yang penuh semangat oleh Pengarah PASRelief Malaysia, Mohammad Sanusi dan diakhiri lawatan itu dengan muslimin solat berjamaah.  

“Bagi muslimat pula, kami berkesempatan bersalam-salaman dengan muslimat Rohingya yang sama-sama menunggu ketibaan rombongan PASRelief. Saya sempat masuk ke dalam khemah perlindungan muslimat yang bersebelahan dengan sebuah masjid PASRelief.

“Kami semua diraikan dengan penuh padat muslimat Rohingya tetapi hanya sekejap saja. Ada khemah yang hampir-hampir hendak runtuh apabila ramai lagi muslimat di luar yang ingin masuk ke dalam (khemah),” ujarnya.

Menurut Ustazah Zarani, pengalaman berharga itu, sudah pasti tidak dapat dilupakan oleh setiap ahli rombongan. Tambahan pula Di kem Balukhali itu terdapat sekolah yang dibina oleh PASRelief Malaysia.

“Ketika kami sampai kanak-kanak sedang menunggu untuk belajar. Para pelajar anak-anak Rohingya itu diberikan sumbangan pakaian yang kami bawa. Yang sangat mengembirakan saya, mereka begitu bersemangat dan tekun untuk belajar dan boleh membaca surah-surah dalam  Al-Quran dengan fasih dan lancar.

“Semangat dan kesungguhan mereka menjadikan saya dan kawan-kawan yang lain bersemangat untuk menghabiskan tugas dan lawatan kami sehingga dua hari,”ujarnya.

Turut serta bersama rombongan PASRelief itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia ,Normala Sudirman, Ketua Ameerah Terengganu, Zuraida Mohd Nor dan wakil media dari Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Azizah Mahmod.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Ustaz Ariffin Deraman, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu dan Setiausahanya, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ustaz Mohd Soud Said. Turut serta Ketua Pemuda PAS Kemaman, Ustaz Ramlan Mahmood.{/mprestriction}